Kekuatan Sebuah Doa

Mei 30, 2008

Siti adalah seorang yang miskin. suaminya sedang sakit dan sudah berbulan-bulan tidak dapat bekerja. dia memiliki tujuh orang anak kecil yang sedang kelaparan di rumah. Suatu hari Siti pergi ke sebuah supermarket Parkson Ria dengan bajunya yang compang-camping. Dengan teragak-agak dia memohon agar dibolehkan berhutang.

Encik Kamal, si pemilik supermarket mengusirnya keluar. Sambil terus menggambarkan situasi keluarganya, si ibuterus merayu.

“Tolonglah, encik. Saya janji akan segera membayar hutang tersebut setelah mendapat wang.”

Encik Kamal tetap tidak mengabulkan permohonan tersebut. alasan yang diberinya, “Kalau nak berhutang, awak perlu sekurang-kurangnya mempunyai kad kredit.”

Di kaunter pembayaran, ada seorang pelanggan lain bernama Nurhaliza, seorang gadis ayu yang dari awal mendengar dialog tersebut. Dia mendekati keduanya dan berkata: “Tak apalah, Encik Kamal. biar saya saja yang bayar untuknya.”

Kerana malu, si pemilik kedai akhirnya berkata, “Eh, takpelah, cik. Ini hal kecil aje. Kasihan juga saya tengok makcik ini.”

Sambil berfikir sejenak, Encik Kamal akhirnya berkata, “Beginilah, makcik. Tuliskan senarai barang keperluan yang makcik perlu dalam kertas ini dan timbangkan beratnya. Saya akan memberikan potongan harga secara percuma mengikut berat kertas itu.” katanya sambil tersenyum di dalam hati. sekurang-kurangnya tidaklah dia dianggap sebagai seorang yang tamak oleh gadis itu.

Dengan ragu-ragu dan hampir putus asa dengan tawaran tersebut, Siti menundukkan kepalanya sebentar sambil menulis sesuatu di atas kertas. setelah kertas tersebut diletakkan ke dalam timbangan, mata si pemilik kedai bagai terbeliak melihat jarum timbangan bergerak jatuh ke bawah secara mendadak. dia menatap pelanggan yang ingin menolong tadi sambil berbisik, “Benarkah apa yang aku lihat?”

Si pelanggan yang baik hati itu hanya tersenyum.

Semasa Siti mengambil barang-barang yang diperlukannya, Encik Kamal diam-diam mengalihkan kertas tersebut ke sisi timbangan yang lain. tetapi jarum timbangan masih jatuh ke bawah seolah-olah diletakkan guni pasir. Setelah siti mendapatkan semua barang-barang yang diperlukannya, Encik Kamal terus mengangkat barang-barang tersebut ke atas timbangan, sehingga tidak muat lagi tetapi masih tidak mampu menimbangi berat kertas tersebut.

Walaupun berasa aneh dengan fenomena itu, Encik Kamal tidak dapat berbuat apa-apa kerana perkara itu berlaku di luar jangkaannya. Setelah mengucapkan terima kasih, Siti beredar pulang ke rumah dengan hati gembira, sambil mengendong barang-barang yang diperolehnya. Suami dan anak-anaknya sedang setia menanti di rumah.

Setelah Siti hilang dari pandangan, si pemilik kedai diam-diam membelek kertas di atas timbangan tersebut.  Tertulis sebuah doa pendek: “Tuhan, hanya Engkau Maha Mengetahui apa yang hambaMu perlukan. Hamba menyerahkan segalanya ke dalam tanganMu.”

Apabila diteliti, akhirnya Encik Kamal mendapati timbangan yang dipakai tersebut ternyata rosak. Dia menyesal dan malu dengan keangkuhan dirinya sendiri.

Pengajaran: Hanya Tuhan yang Maha Memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Berdoalah kepada TuhanMu yang Maha Pengasih, nescaya akan dikabulkanNya. kekuatan sebuah doa terletak pada keyakinan dan penyerahan kita pada pertolongan Allah.


Cinta di bangku sekolah

Mei 28, 2008

Oleh Ruhaiza Rusmin

USIA masih setahun jagung dan masih bersekolah namun sudah mempunyai keinginan bercinta dan mempunyai teman lelaki.

Lebih menakutkan, ada yang sanggup mengenepikan ke luarga dan mengabaikan persekolahan kerana taksub pada emosi.

Sukar mengagak apa sebenarnya kehendak remaja hari ini terutama yang masih belajar. Meskipun guru mahupun keluarga sudah puas memberi nasihat, gelodak perasaan mengatasi pertimbangan akal.

Menghadapi situasi ini, guru terutama kaunselor berada dalam dilema, antara memikul tanggungjawab dan me mahami kehendak pelajar.

Mereka cuba mengimbangi kedua-duanya supaya tidak dikatakan berat sebelah.

Guru kaunselor di sebuah sekolah menengah di Shah Alam, Selangor, Norlela Abdul Rahman, berkata dia cuba me mahami kehendak sebenar pelajar terutama berkaitan emo si.

Menurutnya, tumbesaran fizikal dan emosi remaja hari ini berbeza selain pengaruh persekitaran luas dan mencabar menjadikan mereka lebih cepat dewasa.

“Pelajar dulu tidak memperoleh maklumat yang cepat, ruang pergaulan terhad serta masih berpegang pada rasa hormat kepada ibu bapa menjadikan emosi atau pergerakan mudah dikawal.

“Sebaliknya, pelajar hari ini memperoleh maklumat di hujung jari, institusi keluarga juga sudah renggang men jadikan mereka lebih matang dan berani menyahut per mainan emosi daripada rakan berlawanan jenis.

“Masalahnya, apabila masyarakat melihat situasi ini, sudah tentu tidak suka manakala guru pula pening kepala sebab pada masa ini, mereka seharusnya menumpukan perhatian pada sekolah bukan teman lelaki,” katanya.

Media massa sering memaparkan tragedi atau permasalahan membabitkan pelajar sekolah yang masih remaja terjebak dalam kemelut percintaan usia muda.

Permainan emosi itu secara tidak langsung menimbulkan polemik di kalangan masyarakat yang menganggapnya pe nyakit sosial yang perlu ditangani segera.

Apatah lagi dengan pelbagai kes seperti bohsia dan rogol yang membuatkan masyarakat tidak menggemari senario itu.

Mengulas mengenai pertikaian isu ketidakfahaman ke hendak golongan muda, Norlela berkata, perasaan tidak puas hati pelajar terhadap guru, ibu bapa atau masyarakat tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, tanggapan pelajar ini ialah mereka dikongkong dan tidak dipercayai selain menganggap emosi bersifat sub jektif serta tidak mampu dikawal.

“Selalunya, itulah anggapan pelajar. Masalahnya kedua-dua pihak melihat konteks itu daripada perspektif berbeza, go longan muda mahukan kebebasan tapi golongan dewasa beranggapan masanya belum sesuai.

“Konflik tercetus dan jika tidak diselesaikan akan me lebarkan jurang perbezaan itu. Jalan penyelesaian ada tapi caranya pula tidak kena seperti salah seorang menunjukkan kuasa veto menyebabkan penolakan ketara.

“Berdasarkan pengalaman, semakin ditolak, pelajar ini akan menunjukkan pemberontakan dan membina sikap ingin mencuba hingga akhirnya tidak mampu dikawal. Jika sampai tahap ini, sukar mendampingi mereka kecuali jika timbul kesedaran untuk berubah,” katanya.

Ditanya mengenai kaedah sesuai menangani masalah emosi pelajar sekolah, menurutnya, penumpuan aspek asas seperti komunikasi dua hala sangat berkesan.

“Malangnya, kebanyakan ibu bapa tidak mahu mengambil berat atau bercakap dengan anak malah memberi sepatah dua kata nasihat pun susah. Mereka lebih pentingkan aspek ekonomi berbanding keperluan emosi anak.

“Apabila sering diabaikan, sudah tentu mereka mencari orang mengambil berat, contohnya kekasih. Apabila setiap hari berkongsi masalah, emosi boleh berubah sekali gus melalaikan dan lari daripada tujuan asal iaitu belajar.

“Emosi itu khayalan, tapi mereka rasa lega dan gembira. Selepas itu, mula merancang masa depan, melakukan perkara di luar batasan menyebabkan masyarakat tidak dapat terima,” katanya.

Mengenai pelajar bercinta pada usia muda, beliau berkata, perubahan zaman menyebabkan perasaan itu tidak wajar dipersalahkan asal boleh menjuruskan pada landasan po sitif.

“Emosi bersifat subjektif, jadi sukar halang keinginan itu, cuma pelajar perlu diberi bimbingan agar menjuruskan perasaan itu bagi mencerna kecemerlangan. Contohnya, menjadikan matlamat hidup bersama masa depan dengan belajar bersungguh-sungguh.

“Ibu bapa pula janganlah terlalu mengongkong anak, se baliknya beri panduan apa yang boleh dilakukan dan tidak ketika belajar. Saya percaya, jika ada kemesraan, jalinan ikatan kekeluargaan erat dan dengan sikap mengambil berat masalah emosi pelajar boleh diatasi,” katanya.


Bila kawan jadi kekasih

Mei 23, 2008

Kawan yang selama ini kamu kenali sudah bertahun-tahun lamanya, tiba-tiba membuatkan hati anda berdebar-debar dan jatuh cinta. Adakah hubungan ini akan berjalan dengan lancar?

JIKA dahulu, kamu menganggap dirinya seorang sahabat sejati, sanggup berkongsi suka dan duka serta menjadi teman yang paling setia mendengar masalah anda, kini lain pula situasinya.

Apa yang berlaku kini ialah situasi yang dilalui kamu berdua tiba-tiba menjadi suatu kejutan besar bak dentuman gunung berapi yang memuntahkan laharnya. Kawan yang selama ini dimahkotakan sebagai teman biasa kini bertukar menjadi kekasih istimewa kamu.

Persoalannya, adakah hubungan kamu akan berjalan dengan lancar sekiranya bercinta dengan sahabat sendiri? Adakah dia juga merasakan hal yang sama seperti kamu? Dan adakah kamu harus menyatakan perasaan itu terhadapnya?

Begitulah yang akan berlaku sekiranya hati seorang sahabat seperti kamu mengalami perubahan cinta yang drastik setelah sekian lama berkawan biasa dengannya.

Apabila kamu dilamun cinta dengan teman biasa, perlu diteliti semua aspek peribadinya, sebelum sesuatu hubungan itu menjadi bertambah intim. Takut nanti, ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

Kata orang, bercinta dengan sahabat sendiri akan mencetuskan kekangan dalam sesebuah perhubungan. Sekiranya kamu khuatir persahabatan itu akan berakhir dengan saling benci-membenci, kamu harus mempertimbangkan aspek pro dan kontranya.

Pro

*Kamu harus menyukai seluruh peribadinya. Kamu juga perlu tahu bagaimana perubahan hatinya, apakah yang membuatkan dia bahagia sekiranya menjalin hubungan cinta dengan kamu dan apakah perkara yang perlu dihindari.

*Kamu sanggup melewati suka dan duka bersama, tidak kira apa juga rintangan yang dihadapi berbanding sewaktu menjalinkan hubungan persahabatan dahulu.

*Kamu mengenali ibu bapanya dan diterima baik oleh mereka. Yang pasti, kamu seharusnya mempunyai nilai-nilai positif yang membawa ke arah kebahagiaan kedua-dua belah pihak.

Kontra

*Memandangkan kamu berdua sudah mengenali perilaku masing-masing, maka tiada lagi hal-hal yang boleh membuatkan kamu perlu bertanya atau mencipta keterujaan. Ia mungkin menimbulkan rasa bosan jika anda masih mahu melakukannya.

*Anda meminati karakternya ketika bergelar sahabat. Tetapi tidak mustahil karakter itu boleh berubah setelah hubungan yang dibina bertukar menjadi kekasih.

*Malah sikap seperti cemburu dan syak wasangka yang melampau mungkin antara sikap yang tidak pernah anda sangka muncul pada si dia yang dahulunya hanya seorang teman biasa.

*Sebagai sahabat, hubungan kamu berdua dilihat bertambah baik, tetapi ia berubah setelah menjadi teman istimewa. Kamu akan kehilangan orang yang selalu menjadi pendengar yang baik. Dan siapa yang akan menjadi pendengar setia apabila dia yang menjadi topik pembicaraan kamu?

Risiko bercinta dengan sahabat?

Daripada segi pro dan kontra yang telah disenaraikan, aspek kontra lebih berkemungkinan membawa kamu ke arah kehancuran sebuah persahabatan yang begitu indah.

Kamu merasakan telah mengenali hatinya dengan baik sebagai sahabat, tetapi sebagai kekasih segalanya akan berubah.

Sementara aspek lain pula, terdapat risiko yang harus kamu hadapi apabila berterus-terang mengenai perasaan. Jangan meluahkan perasaan ini kerana ia akan muncul sekiranya kamu cuba menahan dan menyembunyikannya.

Duduk dengan tenang, pertimbangkan aspek pro dan kontranya. Jangan lupa, risiko yang mungkin terjadi. Ingat, kamu tidak akan mengetahui sejauh manakah perasaannya terhadap kamu sekiranya kamu takut untuk cuba bertanya sendiri.

Apabila kamu berdua berjaya mengungkap perasaan cinta itu, mungkin pada awalnya ia akan menimbulkan sedikit kejanggalan, tetapi kesudahannya, ia akan berakhir dengan kegembiraan. Selamat mencuba.

 

Sumber: Kosmo!


30 Tanda Jatuh Cinta

Mei 22, 2008

Rasa jatuh cinta sukar digambarkan mahu pun diucapkan dengan kata-kata. Siapa yang jatuh cinta akan sentiasa diusik perasaan. Semua menjadi indah dan membahagiakan. Namun mengalami cinta umpama bermain api. Jika tahu mengendalikannya, selamat diri. Jika tidak, terbakar hangus dan merana diri. Remaja dan belia bahkan yang sudah berumahtangga pun akan mengalami cinta. Semuanya kerana cinta tidak mengenal usia dan latar belakang. Cinta boleh terjadi bila-bila masa. Jadi bagaimana mengenali bila dan bagaimana seseorang itu dihinggapi rasa cinta? Cuba semak 30 tanda jatuh cinta di bawah ini supaya dapat melengkapi diri sebelum menghadapi atau menangkisnya. Terpulang sama ada mahu teruskan pemburuan cinta, mengalami percintaan atau menghindari cinta. Asalkan anda bahagia.

1. Sukar melelapkan mata
Biasanya anda jarang mengalami masalah untuk tidur. Kali ini, sejak bertemu dan berkenalan dengannya ingatan anda kepada si dia kian menebal hingga mengganggu tidur anda.

2. Perasaan sentiasa berdebar
Perasaan anda sentiasa berdebar-debar jika bertembung dengan si dia di jalan. Malah anda jadi kelam kabut dan menggeabah apabila dia menghampiri anda.

3. Suka ambil tahu
Anda semakin berminat untuk ambil tahu tentang latar belakang dan perkembangan si dia. Anda tekun mendengar cerita mengenai si dia dan sering bertanya tentang si dia dari kawan-kawannya.

4. Resah gelisah
Hati anda merasa resah dan gelisah bila si dia tidak kelihatan. Anda tercari-cari kalau-kalau terlihat kelibat bayangnya.

5. Dihinggapi cemburu
Anda mula merasa cemburu bila si dia berbual dan melayan kehadiran orang lain sekalipun kawan-kawanya. Ikutkan hati anda, biarlah dia berbual dan melayan anda seorang. Sikap anda itu ketara kelihatan sehingga disedari kawan-kawan anda sendiri.
6. Hobi baru, termenung
Bila tidak melakukan sesuatu, anda segera termenung. Fikiran anda jauh melayang dan pancaindera anda tertutup untuk menyedari hal-hal yang berlaku di sekeliling anda. Di mata anda terbayang-bayang wajah si dia dan anda berada di sampingnya.

7. Dating
Ada sahaja alasan anda ajukan kepadanya untuk berjumpa. Kemudian secara terang, anda tawarkan keluar bersama. Kesempatan yang terluang atau di hari cuti pasti anda habiskan untuk dating. Kadang-kadang anda buat temujanji lagi di waktu malam sekalipun baru petang tadi anda berdua sudah berjalan-jalan.

8. Rindu.
Anda tidak dapat mengawal perasaan. Setiap saat mengingati si dia, bagaikan terdengar suaranya sayup-sayup di telinga. Apapun yang dipandang akan mengingatkan anda kepada si dia. Anda ingin berjumpa dan melihat wajahnya.

9. Bergayut di telefon
Sekalipun bayaran telefon mahal, anda sanggup menghabiskan masa berjam-jam sehingga terjejas masa tidur anda hanya untuk berbual kosong dengan si dia. Anda tidak peduli kalau bil meningkat atau perlu beli kad telefon banyak-banyak. Yang penting dapat dengar suaranya untuk melepaskan rindu. Lagipun anda baru lena tidur setelah mendengar suara si dia.

10. Berubah citarasa
Kehadiran si dia berjaya mengubah citarasa anda tentang pelbagai perkara. Sejak kebelakangan ini, anda lebih berminat untuk menghayati senikata lagu-lagu berirama sentimental yang bertemakan percintaan. Sebelum ini anda lebih gemar mendengar irama rock, heavy metal dan hip hop.

11. Memberi hadiah
Anda memberi si dia hadiah padahal hari lahirnya masih jauh. Anda peka dengan perkembangan semasanya supaya dapat dijadikan alasan untuk memberikan hadiah. Malah, tiap bulan anda memberikannya hadiah sekalipun harus berbelanja besar. Yang pasti, anda akan memberikan hadiah yang paling istimewa di hari lahirnya nanti.

12. Awal ke tempat kerja
Sejak menaruh minat kepadanya, anda lebih bersemangat untuk datang ke pejabat malah datang lebih awal lagi. Anda harapkan ada peluang anda berbual berdua dengannya atau sarapan pagi bersama di kantin.

13. Lebih rajin
Prestasi kerja anda semakin men ingkat jika dibandingkan sebelum ini. Anda jadi lebih semangat, kreatif dan berfikiran positif. Perkembangan anda yang membanggakan itu disenangi kawan-kawan dan majikan.

14. Menjaga penampilan
Penampilan anda tidak lagi ringkas dan sederhana. Meskipun anda lelaki, anda akan mengunjungi salon kecantikan untuk potongan rambut yang bergaya dan rawatan muka. Pakaian anda berubah corak menjadi lebih menjurus kepada fesyen mutakhir. Wajah berhias dengan mekap hingga nampak mempersona. Dari rambut ke hujung kaki anda cantik menawan dan segak bergaya.

15. Defensif
Maknanya anda melakukan pembelaan. Pantang orang lain salah cakap atau sekadar mengusik, anda akan mempertahankan si dia meskipun sampai anda marah dan timbul permusuhan. Ada masanya percakapan mereka itu ada kebenarannya, tetapi anda tetap bersikap defensif.

16. Merajuk
Sedikit salah, sedikit silap anda lekas merajuk. Anda sanggup tidak makan tengahari atau tidak menegur sapa selagi si dia tidak menegur dan meminta maaf. Anda juga terus merajuk sehingga dia berkali-kali memujuk.

17. Mudah bersalah sangka
Anda mudah merasa hampa lalu kecewa jika kemahuan atau permintaan anda tidak dipenuhi. Misalnya si dia tidak hadir temujanji, anda sangka dia mungkir janji. Anda anggap dia tidak memberi perhatian dan tidak mempunyai perasaan.

18. Sentiasa kata ‘Ya’
Apa pun katanya, pendapatnya dan permintaannya, anda jawab dengan ‘Ya’. Anda sentiasa akur dan menurut sekalipun ada di antara permintaannya yang keterlaluan dan pendapatnya kurang anda senangi.

19. Sanggup berkorban
Untuk si dia sanggup bersusah payah melakukannya semuanya. Dengan rela hati anda jadi pemandu peribadinya, jadi orang suruhan, meluangkan diri anda untuknya di hari cuti dan memenuhi setiap permintaannya.

20. Jadi orang lain
Tiba-tiba anda jadi pelakon yang terbaik kerana mahu memenuhi cirri-ciri peribadi yang menjadi idaman si dia. Di depannya anda seorang romantik dan berlemah lembut sekaipun kenyataannya anda seorang yang kasar dan mudah marah. Demi si dia, anda sanggup berubah menjadi orang lain.

21. Prihatin
Anda bukan hanya ambil tahu malah sentiasa menghulurkan tangan membantu. Anda akan pastikan si dia tidak mengalami sebarang masalah dalam kehidupan sehariannya dan menjamin kebajikan dan keselamatannya.

22. Berkhayal
Potret wajah si dia jadi teman setia di waktu keseorangan. Ada masanya anda habiskan masa hanya merenung wajahnya di potret sambil berangan-angan jauh. Berkhayal seperti itu anda rasa bahagia.

23. Inginkan persamaan
Sejak mengenali si dia anda berusaha mengikuti kegemaran dan citarasa untuk mempamerkan anda meminatnya. Anda akan mengemari filem dan lagu Hindustan, masakn barat dan meniru setiap tingkah lakunya. Anda mahukan wujud persamaan anda dengan si dia.

24. Sumber ilham
Kata-katanya menjadi pendorong semangat. Anda sedari bahawa anda mempunyai kemampuan untuk melangkah jauh dan mengejar cita-cita anda. Rupanya anda ada kelebihan tersendiri yang baru anda sedari. Si dialah yang membuka minda anda. Dialah sumber ilham anda.

25. Pasang impian
Anda sering termenung membayangkan impian masa depan anda bersama dia. Selalu berdua ke mana sahaja, lalu mendirikan rumahtangga, mempunyai sejumlah anak yang comel dan tinggal dalam sebuah rumah idaman bersama. Anda dan dia sama-sama susah dan senang dalam menjayakan cita-cita sekeluarga.

26. Suka memuji
Dari pendiam anda jadi seorang yang ramah mesra dan suka memuji. Anda peka dengan penampilan si dia dan lekas memberikan pujian dan sanjungan. Hati anda rasa berbunga-bunga dapat memuji dan apalagi kalau dia merasa bangga dan senang hati oleh puji-pujian anda.

27. Mulut manis
Anda hanya berkata hal-hal yang baik sahaja ketika bersamanya. Anda akan bersetuju dan mendukung percakapannya sekaipun tidak anda sukai. Tujuannya kerana anda tidak mahu menyinggung perasaan. Tambahan anda tidak mahu menjejaskan perhubungan yang baru berputik itu.

28. Tanda ingatan
Anda memberikan sesuatu yang istimewa seba gai tanda ingatan. Jika buku diberikan, anda akan tulis sedikit kata-kata di dalamnya sebagai renungan atau kenangan. Di hari raya anda hulurkan kad raya atau kad ucap selamat di hari lahirnya. Sekalipun tidak berterus-terang, dari kata-kata yang tercoret di dalam buku dan kad dapat mencerminkan luahan isi hati anda terhadapnya.

29. Inginkan perhatian
Anda selalu mengharapkan si dia memberikan perhatian dan mahu meluangkan masa bersama anda. Walaupun anda tidak mahu menyusahkan si dia, namun sedikit perhatian yang diberikannya sudah cukup menggembirakan hati dan anda hargai.

30. Bertekad memilikinya
Secara drastik, anda berhasrat untuk memilikinya. Apapun keadaan dirinya, anda pasrah dan menerima. Anda ingin selalu di sampingnya, menjadi teman hidupnya sehidup semati.

 


Cinta Itu Menyakitkan?

Mei 21, 2008

Setiap orang mempunyai makna cinta yang tersendiri. Ada yang kata, cinta itu menyakitkan dan jangan kau hampirinya. Tetapi, ada juga yang kata, cinta itu mengasyikkan sehingga kau akan terbawa-bawa dengan ombak asmaranya. Dan ada juga yang kata, cinta itu indah dan tiada ungkapan yang dapat menyatakan maksud cinta yang sebenar.

Bagi yang mengatakan bahawa cinta itu menyakitkan, ianya memang benar. Walau sepadan mana pun sepasang kekasih itu, akan ada juga masalah yang timbul. Ianya boleh diibaratkan, langit tak semestinya sentiasa cerah. Dalam berkapel ini, kita memang tidak boleh lari dari masalah. Bahkan, kita sendiri yang perlu menghadapinya dan juga menyelesaikan masalah tersebut.

Kesakitan cinta ini makin terasa ngilunya apabila sebuah pasangan itu hancur musnah. Apa yang dijanjikan selama ini, menjadi dusta belaka. Ketika baru sahaja clash, semuanya menjadi tak kena. Semuanya dipersalahkan. Itu tak betul, ini tak betul. Terasa diri ini dihimpit oleh sebuah keretapi dan tiada siapa yang ingin menolong.

Jadi, sekiranya anda ingin bercinta dengan seseorang, ingatlah. Cinta ini tak semuanya indah. Dan anda perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Yang pasti, dalam percintaan akan ada pasang surutnya perhubungan. Cuma kita tidak tahu, bila ia akan berlaku. Mungkin hari ini, esok, lusa dan bila-bila masa.

Dipetik dari Legolas’s Blog


Serenity

Mei 20, 2008

Photobucket


Honk For love!

Mei 17, 2008


A Poem To Ponder

Mei 16, 2008

poem


Wajar bercinta

Mei 15, 2008

Oleh NORAINON OTHMAN

ADAKAH wajar budak sekolah bercinta? Jika ditanya ibu bapa atau orang dewasa, pasti ramai menjawab “tidak wajar.” Antara alasan ialah, mereka sepatutnya memberi sepenuh perhatian kepada pelajaran dan bukan perkara yang boleh melalaikan tumpuan.

Malah, ada ibu bapa berkata: “Wang belanja sekolah pun ibu bapa yang beri, mahu menanggung anak orang pula” atau “Masih berhingus, PMR (Penilaian Menengah Rendah) pun belum ambil sudah sibuk hendak bercinta.”

Percintaan di kalangan pelajar sekolah atau remaja sering dikaitkan dengan ‘cinta monyet’ iaitu cinta yang tidak bertahan lama atau tanpa matlamat perkahwinan.

Cuba tanya pula soalan itu pada remaja, adakah wajar mereka bercinta? Apakah pula jawapan mereka. Mungkin ada yang menjawab: “Cuma nak merasai pengalaman baru. Seronok ke tidak kalau ada pakwe macam kawan lain.”

Menjawab persoalan itu, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, berkata wajar remaja bercinta kerana ketika itu mereka sedang akil baligh dan melalui proses perkembangan daripada kanak-kanak kepada alam remaja.

Remaja lelaki yang sudah baligh manakala gadis yang kedatangan haid mempunyai perasaan semula jadi atau tarikan untuk berkawan pada rakan berlainan jantina.

Apapun, ibu bapa perlu memantau dengan siapa anak mereka berkawan, beritahu adab dan batas pergaulan, manakala pihak sekolah pula memberi pemantauan selama satu atau dua jam menerusi pendidikan agama atau moral.

Menurutnya, ibu atau bapa perlu memberi garis panduan dan menasihatkan anak mereka bahawa berkawan tidak menjadi kesalahan, tetapi perlu memastikan sejauh mana kejujuran kawan berkenaan.

“Katakan pada anak, jika kawan lelaki itu mengajar kamu menipu, melepak atau melakukan perbuatan tidak baik, adakah orang seperti itu layak dijadikan kawan atau layakkah lelaki seperti itu dibanggakan untuk menjadi suami?”

“Ada hadis menyebut ‘didiklah anak mengikut zaman’ dan apabila dikaji balik, memang ada kesesuaiannya dengan situasi hari ini. Apabila remaja perempuan mula datang haid, dia mula hendak berkawan dengan lelaki. Itu perasaan semula jadi dan ibu perlu menerangkan kepada anak mengenai batas pergaulan.

“Pada hari ini, apabila kita semakin terbuka dengan anak, mudah untuk kita menasihatkannya mengenai perkara baik atau buruk. Beritahu anak, seorang lelaki yang baik tidak akan mengheret perempuan disayangi kepada perkara tidak baik atau mencemarkan maruah,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa juga wajar bertanya anak sama ada dia mempunyai teman lelaki atau teman wanita.

“Kita bukan lelaki pra sejarah, tidak salah bertanya anak mengenai perkara itu. Bukan bertujuan menggalakkan anak bercinta, tetapi menunjukkan kita adalah ibu bapa yang berfikiran terbuka dan mengambil berat serta memahami proses perkembangan diri anak,” katanya.

Beliau berkata, untuk menyekat kebebasan anak adalah tidak wajar. Oleh itu, jika mengizinkan anak keluar, beritahu anak mengenai batas waktu iaitu bila dia selewat-lewatnya harus pulang.

“Sebagai orang tua, kita tidak boleh menunjukkan perasaan curiga terhadap anak, tetapi harus mengatasinya dengan bijaksana. Contohnya, ibu bapa boleh keluar bersama anak ke sesuatu tempat seperti kompleks beli-belah.

“Apabila sampai di tempat dituju, beri kebebasan kepada anak ke mana dia mahu pergi, misalnya tempat yang menjadi tumpuan remaja, manakala ibu bapa pergi ke tempat yang orang dewasa suka. Sebelum melepaskannya pergi, berjanji dengan anak jumpa di sesuatu tempat pada jam tertentu untuk pulang bersama,” katanya.


Remaja dan perbezaan pendapat

Mei 14, 2008

SETIAP makhluk ciptaan Allah mempunyai keunikannya yang tersendiri yang membuatkannya berbeza antara satu dengan yang lain.

Penciptaan manusia juga terkandung diversiti sama ada dari segi luaran mahupun dalaman. Semua ini merupakan tanda kebesaran Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana dalam penciptaan alam.

Kepelbagaian yang wujud turut merangkumi perbezaan pendapat atau persepsi di kalangan manusia itu sendiri dalam pelbagai perkara. Fenomena ini sebenarnya merupakan satu rahmat buat manusia ke arah mencapai kemaslahatan hidup.

Persoalannya ialah bagaimana kita hendak menanggapi perbezaan pendapat yang berlaku agar penyelesaian konflik tercapai, kesyumulan agama terdukung dan perpaduan terpelihara. Hal ini tentunya memerlukan kebijaksanaan kita dalam menginterpretasi dukungan fikrah terhadap realiti semasa yang serba mencabar.

Mengenali pemikiran sehala, dua hala

Pemikiran sehala menjadikan seseorang itu hanya berfikir bahawa hanya pendapatnya sahaja yang betul dan tidak memandang kepada pendapat orang lain. Hal ini mendorong ke arah pemikiran yang tidak kreatif dan cepat berasa tersinggung jika pendapatnya disanggah.

Pemikiran dua hala berlaku apabila terdapat perbezaan atau pertambahan pendapat terhadap suatu isu pokok yang diutarakan. Pendapat yang pelbagai dalam sesebuah perbincangan akan menjadikan perbincangan tersebut lebih terisi dan sudut pandangannya akan menjadi lebih luas.

Kaedah berbeza pendapat pula mestilah selari dengan adab-adab supaya apa yang disampaikan lebih mudah difahami pihak yang mendengar serta tercapai matlamat perbincangan untuk menemui kesimpulan bersama.

Dalam usaha kita untuk mencapai kesepakatan berkenaan sesuatu perkara, Islam menganjurkan kita melakukan kegiatan bermusyawarah. Dengan bermusyawarah maka kita dapat mempertimbangkan pelbagai saranan bersama hujah dibawa. Natijahnya keputusan terbaik mungkin dapat dicapai serta mendapat sokongan semua pihak terlibat.

Dalam surah Ali Imran ayat 159 Allah berfirman yang bermaksud: Dan bermesyuaratlah dengan mereka, dan apabila kamu telah berazam, bertawakkallah kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT menyukai orang-orang yang bertawakal.

Melalui musyawarah yang diadakan, ahli musyawarah perlu berniat ke arah mencapai kesepakatan dan kemaslahatan yang lebih baik. Ketua atau amir yang dipilih akan menerangkan isu yang ingin diperbincangkan.

Amir akan meminta pendapat atau cadangan semua pihak sebelum keputusan akhir ditentukannya. Dalam hal ini, amir bertawakal dalam mengambil keputusan untuk dipatuhi dan disokong oleh ahli-ahli musyawarah tersebut.

Dalam sesebuah perbincangan yang melibatkan sekurang-kurangnya dua pihak, keterbukaan pemikiran kedua-dua belah pihak adalah perlu dalam usaha mencapai kesepakatan dalam perkara yang diperbincangkan.

Ini memerlukan pihak pertama untuk memberi peluang dalam menyuarakan sudut pandangannya dan pihak kedua pula berusaha mendengar dengan niat memahami dan menilai. Setelah tamat penjelasan pihak pertama, barulah pihak kedua memberi pendapat supaya pihak pertama pula dapat memahami perspektif pihak kedua.

Sekiranya kedua-dua belah pihak lebih cenderung menyampaikan pendapat masing-masing tanpa mahu berusaha mendengar atau memahami antara satu sama lain, maka ia hanya menjadi perdebatan yang mungkin tidak sampai ke penghujungnya.

Diyakini bahawa apabila satu pihak mula bertoleransi untuk mendengar, pihak yang lagi satu pula akan menyusul untuk turut sama mendengar pendapat pihak yang pertama tadi.

Kita perlu menyuarakan pandangan kita secara berasas, yakni berdasarkan fakta atau bukti yang benar yang boleh menguatkan hujah kita. Hujah tanpa sandaran bukti atau dalil sebenarnya melemahkan penegasan hujah itu sendiri.

Perbezaan pendapat juga harus berlandaskan kepada nilai keilmuan serta kekuatan akal yang mahu berfikir serta merenung dan bukan semata-mata berpandukan kepada emosi.

Hal ini kerana seandainya emosi menjadi sandaran tunggal maka perkara yang ternyata baik serta benar mungkin ditolak hanya kerana ia dianjurkan oleh pihak yang berlainan pendapat tadi.

Justeru adalah penting untuk kita melengkapkan diri dengan ilmu yang berkaitan agar pendapat yang dihujahkan itu mempunyai asas dan kredibiliti untuk dipertimbangkan serta diterima oleh pihak lain.

Yang berbeza tetap berbeza

Namun tidak semua perkara perlu menjurus kepada persamaan, yakni yang mana boleh diterima kita terima, dan yang berbeza akan tetap berbeza. Dalam anutan akidah khasnya, sudah tentu kita berbeza dengan yang bukan Muslim. Firman Allah melalui ayat kelima surah Al-Kafiruun yang bermaksud: Bagi kamu agamamu dan bagiku agamaku.

Bab akidah merupakan perkara pokok dan muktamad yang tidak boleh wujud perbezaan di kalangan umat Islam yang berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam hal cabang atau furu’, perbezaan pendapat atau khilaf berkenaan pentafsiran sesuatu perkara mungkin berlaku di kalangan ulama yang berusaha berijtihad sebaik mungkin.

Bukan semua perkara yang berasal dari Barat itu dapat diterima secara bulat-bulat tetapi bukan semuanya perlu ditolak sepenuhnya. Apa yang hadir dari Barat tetapi tidak bercanggah dengan ajaran Islam, seharusnya ia dipelajari dan diperkembangkan.

Sebagai contoh, sifat ketekunan masyarakat Barat dalam menuntut ilmu seharusnya dicontohi dan diasimilasikan ke dalam kehidupan seharian seorang Muslim. Islam sendiri sebenarnya amat menggalakkan umatnya untuk menyuburkan budaya keilmuan agar kemajuan tercapai demi manfaat sejagat.

Pada masa yang sama remaja Islam harus membina kekuatan ilmu yang berpandukan Al-Quran dan Sunah supaya ia menjadi benteng dalam menepis serangan pemikiran (ghazwatul fikr) yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Kini terdapat segelintir tokoh-tokoh Barat yang berusaha menerbitkan karya-karya yang menyinggung sensitiviti umat Islam di seluruh dunia. Sememangnya dalam hal ini kita perlu bangkit untuk membela kesucian agama Islam yang tercinta.

Di samping bantahan yang mungkin bersifat defensif atau menghukum, kita juga perlu menganalisis faktor wujudnya persepsi negatif mereka terhadap agama Islam, adakah ia semata-mata berpunca daripada rentetan emosi kebencian terhadap Islam atau mungkin turut berpunca daripada kejahilan mereka berkenaan ajaran Islam yang sebenar.

Justeru situasi yang tegang seperti mutakhir ini juga perlu dijernihkan dengan pendekatan yang bersifat berhemah serta mendidik seperti penganjuran dialog antara agama dan tamadun agar yang jelas berbeza dihormati bersama dan yang bersifat sejagat didukung bersama.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, perbezaan pendapat merupakan satu lumrah dalam kehidupan manusia seharian. Islam telah menggariskan adab-adab dalam perbezaan pendapat yang sememangnya bertujuan mencapai kemaslahatan bersama.

Dalam kita menyuarakan bantahan kepada tindak tanduk Barat yang melampaui batas terhadap Islam, kita juga perlu membina kekuatan umat serta memperluaskan dakwah demi menjamin kesejahteraan umat dan ketinggian syiar Islam dalam jangka panjang.