Arkib Bulanan: Julai 2010

Syarat Untuk Bahagia

Untuk bertemu dengan orang yang tepat, kamu harus memainkan peranan yang penting juga. Ini kerana sedikit sebanyak sikap kamu mempengaruhi hubungan yang dijalin. Jadi berikut adalah empat syarat penting yang harus ada dalam diri kamu andai ingin cinta berakhir bahagia….

happiness

1. Cintailah Diri Sendiri Sebelum Kamu Mencintai Orang Lain
Kebanyakan dari kamu apabila bercinta sanggup mengetepikan kemahuan, keinginan serta keperluan diri sendiri demi insan yang bergelar kekasih. Inilah kesilapan paling besar. Andai kamu sendiri tidak belajar menyayangi diri sendiri bagaimana orang lain ingin menyayangi diri kamu. Jadi pastikan kamu sayang diri sendiri terlebih dahulu sebelum kamu ingin menyayangi orang lain.

2. Punya Pendirian Yang Tetap
Seorang yang punya pendirian akan tahu apa yang dia inginkan untuk diri dan tidak akan berubah mengikut cara orang lain biarpun orang yang di sayanginya. Inilah yang terbaik kerana apabila kamu tidak berpendirian, itulah yang menjadi punca hidup mudah dikongkong atau ditentukan oleh orang lain. Ini secara tidak langsung membuka ruang untuk orang mempermainkan hati kamu.

3. Bahagikan Hidup kamu Dengan Hal-hal Yang Lain
Paling sering berlaku, apabila kamu telah menyayangi seseorang sepenuh hidup kamu akan di habiskan untuk si dia sahaja. Segala hobi dan aktiviti kamu turut dihentikan demi untuk memberi perhatian pada si dia. Namun jangan lupa hidup ini bila kita hanya bergantung pada seseorang dan satu hal sahaja iaitu cinta, inilah punca utama yang boleh membuat kamu kecewa teramat sangat apabila hubungan yang dibina terputus di tengah jalan. Jadi belajarlah membahagikan hidup kamu dengan cinta, kerjaya, keluarga, hobi dan sebagainya. Percayalah kamu akan rasa hidup akan lebih lengkap dan bahagia bila bijak membahagikan segala-galanya dengan baik dan teratur.

4. Berkorban Biarlah Berpada-Pada
Ada yang sanggup bersusah payah dan menyakiti hati sendiri demi melihat orang yang disayangi bahagia. Tidak salah untuk berkorban namun berpada-padalah. Jangan terlalu meletakkan diri kamu serendah-rendahnya hingga sanggup biarkan diri sendiri merana semata-mata mahu menggembirakan orang lain. Hidup ini dalam hal apa pun perlu seimbang. Sekiranya si dia ingin gembira maka kamu juga ada hak untuk rasa sebegitu rupa.

Motivasi: Remaja dan sikap terbuka

KETERBUKAAN tidak sama dengan fahaman liberal. Liberal tidak menjadikan agama dan nilainya sebagai pedoman. Ia berasaskan pendekatan empiris (logik akal) dan tidak mengambil pertimbangan al-Quran sebagai sandaran.

Keterbukaan bermakna kita memperkongsi perkara-perkara yang baik dan bermanfaat daripada sumber tamadun, budaya dan tradisi lain yang sifatnya menyumbang.

Apabila para sahabat mencadangkan kepada Nabi SAW supaya tawanan perang Badar yang mahir membaca dan menulis mengajar anak-anak orang Islam sebagai syarat pembebasan mereka, baginda menyetujuinya.

Dikatakan 17 anak-anak Islam yang belajar membaca dan menulis. Ini menunjukkan keterbukaan dan kebijaksanaan baginda membawa manfaat kepada anak-anak Islam ketika itu, walaupun daripada tawanan perang.

Al-Biruni seorang tokoh ilmuwan Islam yang unggul mempelajari bahasa Hindi apabila menjelajah India. Hasil penguasaan bahasa itu, beliau mendapat ilmu dan maklumat mengenai matematik, sains dan perubatan. Kemudiannya ilmu itu diolah supaya selari dengan syarak dan menjadi sebahagian daripada khazanah ilmu kita.

Tamadun Cina sejak awal lagi menghasilkan kertas, mesin cetak dan bahan kimia. Ia amat bermanfaat bagi orang Islam merakamkan al-Quran dan menghasilkan sebuah mushaf (kitab).

Ini menunjukkan keterbukaan Islam dalam tradisi Islam terhadap ilmu-ilmu berbanding yang menyumbang dan bermanfaat dari Barat serta tamadun lain.

Keterbukaan bagi remaja tidak harus menganggap yang Barat itu segala-galanya. Kekaguman kita terhadap kemajuan dan kemodenan mereka harus diiringi keupayaan menyaring supaya sesuatu yang bermanfaat memberi manfaat yang tinggi.

Golongan remaja amat terdedah untuk meneroka ilmu pengetahuan daripada segala benua dan tamadun. Bersikap terbuka kepada hal-hal yang positif menyumbang dan bermanfaat setelah sekian lama menjadi resmi dalam pembangunan tamadun Islam.

Bersikap terbuka bukan bermakna kita menerima apa sahaja daripada mana-mana budaya dan tamadun.

Mengambil ilmu dari Barat dan Timur harus selari dengan kepentingan nilai-nilai Islam yang mendukung kesejahteraan manusia dan keadilan sejagat.

Namun, dalam masa yang sama, remaja tidak wajar bersikap tertutup dalam lingkungan berfikir terbatas sehingga tidak mampu mengolah perubahan zaman.

Perubahan bagi sesuatu zaman harus didukung nilai-nilai yang sifatnya fitrah. Walaupun teknologi berkembang dalam keadaan yang luar biasa, ia selamanya dilihat sebagai alat, bukan matlamat.

Ia digunakan berasakan pertimbangan yang baik dan memberi kebaikan. Usaha membangunkan teknologi tinggi mesti diimbangi dengan sentuhan keinsanan yang tinggi.

Oleh NURUL IZZAH SIDEK