Di Penghujung Senja

April 16, 2008

Oleh Mastura Abdullah

Penat melangkah, akhirnya dia duduk berteleku menghadap lautan yang terbentang luas di hadapannya. Semenjak patah dahan berpaut, dia cuba menjadi sandaran adik-adiknya yang berlima itu.

Tiga tahun lepas, ketika ibu bapanya maut dalam kecelakaan jalan raya dan dia pula, hampir hilang nyawa dalam tragedi yang sama, berhempas pula dia cuba berdiri kembali dalam duka yang sangat menyakitkan itu. Saudara mara yang dahulu sentiasa bersama, mula membawa diri. Akhirnya, tinggal dia dan adik-adiknya yang masih kecil itu untuk meneruskan perjuangan dalam arus deras ini.

Segulung ijazah yang pernah digenggamnya juga tidak pernah membawanya ke mana. Hingga ke hari ini, dia masih mencari sebuah sinar harapan di hadapan lautan itu.

“Kak Aishah, tak mahu balik lagi? Kejap lagi dah masuk waktu Maghrib,” sapa Zahim sambil menyentuh bahunya lembut.

Terasa ada kasih sayang yang padu di kala sentuhan itu menyapa lembut bahunya. Dan tatkala hampir menitiskan mutiara jernih, Aishah menoleh dan sebuah senyuman diukir buat permata hatinya itu.

Hening pagi memberi satu sinar baru buat dirinya. Usai memanjat doa kerana masih diberi nyawa dan sebuah keluarga, dia turun ke laut untuk mencari sesuap nasi buat diri dan adik-adiknya.

Dan begitulah rutin hariannya setiap hari, hasil tangkapan dari laut yang kadang-kadang ada dan kadang-kadang tidak itu tidak pernah menjadi beban buat dirinya, malah dia bersyukur kerana masih berpeluang melihat senyuman di wajah adik-adiknya setiap kali dia pulang ke rumah. “Aishah!”

Suara garau itu menyapa lembut telinganya. Lama benar dia tidak mendengar suara itu menyapanya.

“Aishah…”

Terasa hampir benar suara itu dengan telinganya sehingga dia kaku seketika. Baki hasil tangkapan itu sudah siap dimasukkan ke dalam plastik. Itu sahaja yang tinggal buat santapan malam nanti.

“Aishah, aku di sini sayang.”

“Aku tak perlukan kau, Azlan. Dunia aku yang kecil ini tak layak menyambut kau,” balasnya lembut tetapi cukup untuk menyedari kedudukannya di samping lelaki itu.

Berjuta kali dia cuba menjauhkan diri daripada lelaki yang bernama Mohd Azlan Iskandar itu tetapi cubaannya tidak pernah berjaya.

Benar, hatinya tertarik pada budi bahasa lelaki itu tetapi malang sekali, terlalu banyak yang perlu difikirkan selain kehendak hatinya.

“Aishah…”

“Lan, aku mohon pengertian kau, Lan. Aku punya tanggungjawab besar. Banyak yang aku perlu fikirkan selain daripada diriku. Aku tak pernah layak berganding dengan kau Lan,” beritahunya perlahan.

Dia tahu, pasar ikan itu bukan untuk lelaki ternama seperti Azlan. Lelaki itu biasa hidup dalam kemewahan sedang dirinya pula, hanya layak menjalani kehidupan itu.

“Aishah, kau tak pernah mahu terima hakikat, aku bukan seperti yang kau sangka. Kau tak pernah beri aku peluang untuk terima dirimu seadanya.”

“Aku balik dulu, Lan. Aku doakan kau bertemu insan yang menyayangi dirimu seadanya.”

Dan seperti selalu, dia meninggalkan lelaki itu terpinga-pinga. Sedaya yang mungkin dia cuba membuang wajah lelaki itu sehingga dia tiba di rumahnya.

Dingin malam mengajaknya melihat keadaan adik-adiknya yang sedang lena diulit mimpi. Dia mengukir senyuman bila dilihatnya kaki Iman berada di atas perut Hakimi.

Lantas dengan cermat, dia membetulkan kedudukan adik-adiknya. Dan seperti selalu, dia mengucup lembut dahi adik-adiknya itu.

“Maafkan akak, Angah, Shahrul, Iman, Hakimi, Zahim. Buat masa ini, hanya ini yang mampu akak sediakan buat kalian semua. Akak tahu, hidup kalian tidak sempurna kerana akak tapi akak akan usahakan yang terbaik buat kalian semua.”

Tanpa diduga, air mata Angah merembes keluar dari kelopak mata yang tertutup rapat itu. Aishah yang masih tidak menjangka reaksi Angah ketika itu, terpaku di situ tetapi tidak lama. Angah bangun dan terus memeluknya sambil menangis teresak-esak.

“Kak Aishah dah banyak berkorban untuk Angah dan adik-adik. Dulu kak Aishah koma dua minggu, kaki patah tapi kak Aishah tak pernah merungut. Mana ada orang perempuan nak jadi nelayan? Tapi kak Aisyah buat, Angah tak tahu macam mana nak balas jasa kak Aishah.”

Dengan lembut, bahu adiknya itu diusap. Semenjak kehilangan arwah emak dan ayahnya, tidak pernah sekalipun air matanya menitis dan dia tidak akan membenarkan air matanya jatuh walaupun dia berasa hiba yang teramat ketika ini. Tidak akan sekali, dia mengaku kalah di hadapan adik-adiknya.

“Akak tak mahu Angah menangis, apa yang akak buat, itu memang untuk adik-adik. Yang akak harapkan, adik-adik berjaya supaya tak perlu jadi nelayan macam akak.”

Ketika pulang dari laut tengah hari itu, Aishah segera menurunkan hasil tangkapannya ke darat. Belum sempat dia menambat perahu, adik-adiknya sudah menanti di kaki air.

“Kak Aishah!”

Lambaian adik-adiknya menggamit Aishah supaya segera menghampiri mereka.

“Kenapa Kimi?”

“Kak Aishah dapat surat,” kata Hakimi sambil menyerahkan sekeping sampul berwarna coklat kepadanya.

Sebenarnya, sudah sekian lama dia tidak menerima sebarang surat dari sesiapapun terutama daripada syarikat swasta kerana sejak enam bulan yang lalu, dia mula menumpukan sepenuh masa kepada kerja menangkap ikan.

“Sukacita dimaklumkan bahawa anda telah ditawarkan jawatan sebagai Pereka Bentuk Dalaman. Sila lapor diri…”

Seakan tidak percaya dengan isi kandungan surat yang baru dibacanya sebentar tadi, Aishah membaca semula isi surat itu.

“Cubit akan sekali Kimi,” pintanya, membuatkan Hakimi menjadi sedikit terkejut.

Lama Hakimi memandang wajahnya, seakan meminta satu kepastian.

“Kenapa kak?”

“Akak dapat kerja, Kimi.”

“Alhamdulillah.”

Mendengar ungkapan tanda bersyukur itu, Aishah seakan terjaga daripada mimpinya. Dalam hati dia mengucapkan perkataan yang sama. Isnin depan dia perlu melapor diri, ini bermakna, dia perlu berhijrah ke kota jika ingin menerima tawaran itu.

Bagaimana dengan rumah peninggalan arwah emak dan ayahnya itu? Bagaimana dengan perahu yang ditinggalkan untuknya menyambung hidup? Bagaimana pula dengan persekolahan adik-adiknya?

“Kak Aishah.”

“Kita balik rumah dulu, Kimi.”

Sebuah senyuman manis dihulur buat adiknya dan persoalan yang masih bersarang di dalam benaknya dibiarkan sahaja seperti mana angin laut itu berlalu.

Aishah terdiam saat ibu Azlan datang membawa lamaran untuknya. Lama dia menyepi diri. Sedar kekurangan diri yang terlalu banyak itu, dia hanya mampu menundukkan wajahnya sahaja.

“Aishah…”

“Makcik, saya anak yatim piatu, jauh saya dengan Azlan macam pipit dengan enggang. Azlan berhak dapat gadis yang lebih baik daripada saya,” jelasnya, perlahan.

Lelaki itu mula dikenalinya sejak tiga tahun setengah yang lalu. Mereka bertemu secara kebetulan, ketika itu Azlan salah seorang ahli panel temu duga di sebuah firma reka bentuk dalaman. Walaupun tidak berjaya mendapat tempat di firma itu, namun Azlan kerap menghubunginya.

Pertama kali, ketika bersemuka dengan lelaki itu, Azlan terus menyatakan hasrat hatinya hendak menyunting Aishah sebagai suri hidupnya dan dia, terang-terangan melabel lelaki itu sebagai gila.

Sejak awal dahulu hingga kini, walaupun Azlan kerap membantunya, tidak pernah barang sekali dia melayan lelaki itu dengan sewajarnya. Kerap kali dia menolak hasrat lelaki itu, walaupun dia amat menyenangi sikap Azlan yang nyata jujur dan ikhlas hendak menyunting dirinya sebagai teman hidup lelaki itu. Dan Azlan pula, tidak pernah sekalipun mengalah dengan dirinya walaupun ditolak berkali-kali.

“Aishah, kita semua tak ada beza pun. Di sisi Allah, iman dan takwa sahaja yang membezakan kita. Azlan pilih Aishah sebab apa yang ada pada diri Aishah. Makcik yakin dan pasti, pilihan Azlan tepat.”

“Aishah ada adik-adik, makcik. Adik-adik Aishah tanggungjawab Aishah. Aishah tak mahu berpisah dengan adik-adik. Hanya adik-adik harta Aishah dunia akhirat. Kalau Aishah mengguris perasaan makcik, Aishah minta maaf tapi Aishah cukup bimbang kalau Azlan atau sesiapa sahaja tak dapat terima adik-adik Aishah. Adik Aishah bukan seorang tapi lima orang, makcik.”

Perlahan dia meluahkan kebimbangannya. Selepas itu, lama dia menyepi sebelum menyambung kembali bicaranya.

“Aishah tahu selepas berkahwin, tanggungjawab Aishah hanya pada suami tapi adik-adik Aishah ini bagaimana, makcik? Tak sanggup Aishah hendak membiarkan mereka terkapai. Sebab itu Aishah mengharapkan pertimbangan Azlan atau sesiapa sahaja. Aishah mahu jaga adik-adik Aishah sampai mereka berjaya dalam hidup, makcik. Aishah akan jaga mereka sehingga mereka tak perlukan Aishah lagi.”

“Kalau begitu, Angah dan adik-adik tak perlukan kak Aishah lagi. Kami boleh hidup tanpa kak Aishah. Kak Aishah berkahwinlah. Angah tahu abang Azlan baik. Tak akan ada orang yang lebih baik selain abang Azlan yang boleh jaga kak Aishah sepanjang hayat. Kak Aishah tak perlu bimbangkan kami sebab kami dah besar. Kalau kak Aishah yang perempuan boleh turun ke laut, tangkap ikan untuk sara kami, kenapa Angah yang lelaki ini tak boleh tangkap ikan untuk teruskan hidup?” tutur Angah perlahan tetapi cukup untuk menyentap perasaan halusnya.

Selama ini dia berjaya menutup rasa sedihnya tetapi tidak pada hari ini. Kata-kata Angah terkesan hingga ke hati. Tanpa malu dan rasa bersalah, dia menitiskan air mata di hadapan Hajah Normah.

Aishah membulatkan tekad. Tawaran sebagai pereka bentuk dalaman di firma Indah Sejarah akan ditolaknya. Hampir seminggu memikirkannya, dikuatkan lagi dengan petunjuk yang diterimanya selepas tiga malam menunaikan solat istikharah, dia nekad.

Mungkin itu yang terbaik buat diri dan adik-adiknya. Dengan jumlah simpanan yang sudah melebihi lima ribu ringgit, dia tahu dia boleh mengusahakan sebuah perniagaan secara kecil-kecilan. Sudah tiba masa dia perlu bangkit secara perlahan-lahan untuk membina masa depan yang lebih cemerlang.

“Aishah.”

Namanya diseru perlahan. Aishah tergamam melihat keadaan Azlan yang tidak begitu terurus ketika itu.

“Azlan, kau kenapa?”

“Aku rindukan kau, Aishah.”

“Azlan…”

“Kenapa kau tak pernah beri aku peluang, Aishah?”

“Aku tak layak untuk sesiapapun, Azlan. Aku tak layak bagi peluang pada sesiapapun,” jawabnya perlahan.

Sehingga kini, dia masih belum dapat memberi segala kebahagiaan kepada adik-adiknya dan bagaimana dia mampu mencari kebahagiaan buat dirinya?

“Aku sayangkan kau, Aishah. Kau tahu aku ikhlas ingin jadikan kau sebagai isteriku dunia akhirat dan kau juga tahu aku tidak akan sesekali mengabaikan adik-adikmu.”

Tulus pengakuan itu kedengaran di telinganya. Azlan menghampirinya dan dia semakin lama semakin dapat dilihat betapa lemahnya lelaki itu ketika ini. Azlan sakitkah?

“Aku sayangkan kau, Aishah. Dunia akhirat aku sayangkan kau. Aku harap Aishah, besar harapanku agar kau sudi jadi isteriku, dunia akhirat.”

Tidak sempat dia menjawab, lelaki itu rebah di hujung kakinya. Mata itu terpejam rapat hingga dia cemas tiba-tiba.

Hampir dua tahun berlalu dan kini, perniagaan keropok lekor yang diusahakannya secara kecil-kecilan telah mula berkembang. Berkat usahanya dan juga sokongan keluarganya, perniagaannya semakin maju.

“Ibu…,” panggil Zulaikha.

Larian si kecil itu menghiburkan hatinya. Bengkang bengkok lariannya ketika itu dia dikejar oleh ayahnya, Mohd Azlan Iskandar. Teringat saat lelaki itu rebah ketika melamarnya dua tahun yang lepas.

Menggeletar seluruh tubuhnya saat itu. Selepas dibawa ke hospital, baru dia tahu lelaki itu diserang demam denggi. Semenjak itu, baru dia belajar mengenal erti kasih terhadap Azlan.

Baru dia sedar yang dia sangat memerlukan lelaki itu dalam seluruh kehidupannya. Dan apabila Azlan mulai pulih, tanpa berselindung dia mengakui perasaan sayangnya terhadap Azlan.

Dan kini, selepas dua tahun menjadi suri hidup Azlan, mereka dianugerahkan seorang puteri. Dia tidak lagi turun ke laut sebaliknya dia kini giat menjalankan perusahaan keropok lekor berkat sokongan Azlan dan keluarga mertuanya. Angah? Alhamdulillah, Angah kini sedang buat persediaan untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Ireland.

Shahrul sedang belajar di MRSM Terendak manakala Iman belajar di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah, Kuantan. Yang setia berada di sampingnya ketika ini adalah Kimi dan Zahim kerana masing-masing berada di sekolah rendah. Alhamdulillah, dia punya sebuah keluarga yang cukup sempurna.

“Ibu, ayah!” Jerit Zulaikha sambil merangkul kakinya.

Aishah ketawa kecil sambil mendukung Zulaikha yang sungguh agresif kerana mahu mengelak daripada usikan ayahnya. Azlan menghampiri Aishah sambil memaut pinggangnya. Hidung si kecil itu dicuit beberapa kali.

“Abang kuat sangat menyakat Zulaikha.”

“Anak abang ni comel, Aishah. Abang geram nak cubit selalu.”

“Terima kasih Aishah sebab sudi terima abang dalam hidup Aishah. Terima kasih juga pada Aishah sebab selalu buat abang rasa sempurna. Terima kasih untuk segala-galanya.”

Tulus kata-kata itu dibisikkan ke telinganya. Hanya sebuah senyuman diukir buat suami tercinta. Dalam hati, tidak putus dia berdoa supaya bahagian di dunia dan akhirat sentiasa menjadi miliknya dan suami.

“Pagi esok kita ziarah kubur arwah mak dengan ayah ya abang?”

Tiada jawapan selain rangkulan di pinggangnya yang semakin erat. Suara si kecil itupun semakin ceria bila si ayah setia mengusiknya. Aishah tidak perlu meneka kerana jawapan yang dimahukannya sudah pasti di sebalik senyuman itu.


Lagu Rindu

April 2, 2008

Oleh Kamariah Safri

Kali ini suara Hayani sedikit keras. Cuba menarik perhatian saya yang masih lagi tekun menghadap skrin komputer. Terlalu banyak urusan kewangan yang perlu dibereskan, sementelah bulan semakin hampir pada penghujungnya.

“Dia dah balik…” sekali lagi Hayani bersuara sambil mencuit bahu saya. Saya memandang Hayani seketika. Tersenyum kelat. Kembali menghadap skrin komputer, cuba memberi tumpuan meskipun hati saya sedikit berdebar.

“Kijang Putih kau dah balik.” Hayani menepuk mesra bahu saya sambil berlalu menuju ke mejanya. Kali ini tumpuan saya sedikit terjejas.

“Balik? Kijang Putih? ” Hati saya berbisik perlahan.

Siapa dia? Siapa Kijang Putih yang Hayani cuba maksudkan? Kijang Putih. Beberapa kali saya menyebut perkataan itu dalam hati.

Saya memejam mata rapat-rapat. Lama. Baru saya teringat. Baru minda saya terbuka. Baru fikiran saya mula memikir. Dia dah balik? Kijang Putih dah balik? Dada saya semakin berdebar. Jantung saya berdegup pantas.

Mata saya terasa pedih. Tanpa saya sedari ada air yang mengalir perlahan. Panas pipi saya untuk seketika. Cepat saya menyeka dan memandang ke arah Hayani. Dia juga nampak tekun dengan tugasnya.

Seolah sebentar tadi dia tidak berkata sesuatu pada saya. Atau mungkin hanya telinga saya seolah terdengar sesuatu. Saya sendiri kurang pasti. Lama saya merenung ke arah Hayani, mengharap dia menoleh ke arah saya.

Hampa. Hayani tetap meneruskan tugasnya seolah percakapannya sebentar tadi tidak membawa sebarang makna.

Kijang Putih. Aneh. Rasanya nama tersebut sudah lama tidak bermukim di hati saya. Namun begitu tidak juga pernah lekang daripada kamus hati saya.

“Patutlah semalam saya bermimpi kijang putih makan garam di tapak tangan saya.” Saya termangu sambil mengerutkan dahi. Dia ketawa nakal melihat gelagat saya terpinga.

“Maaf. Saya Haikal.” Dia menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan saya. Saya menjadi semakin terpinga dan keliru.

Saya memandang sekitar. Nasib baik pelanggan di kedai buku Popular petang Sabtu itu tidak ramai. Kalau tidak, saya pasti malu sendiri bila disapa dengan tiba-tiba oleh lelaki yang tidak saya kenali.

“Maafkan saya. Saya ingin berkenalan dengan saudari. Ikhlas.”

Sekali lagi dia bersuara. Lama saya merenung dia.

Boleh tahan, bisik hati kecil saya. Berseluar jeans lusuh dengan kemeja-T berwarna biru laut dan berjaket kain denim yang hampir lusuh.

Dia memandang saya dengan satu pengharapan. Sepasang mata redupnya cukup menggoda. Pandangan kami bertukar. Entah kenapa ada satu perasaan halus yang mengalir perlahan dalam hati saya.

Tanpa sedar saya menyambut huluran tangannya. “Aina Farina,” saya bersuara perlahan. Dia tersenyum puas.

Sejak dari waktu itu, saya dan dia selalu berhubungan, entah kenapa saya menjadi teruja bila bersamanya.

Hubungan kami rapat walaupun bidang kerjaya kami berlainan. Kami sepakat dalam banyak perkara. Kata rakan sekerja, saya nampak begitu selesa dan serasi bila bersama dia.

Kami berkongsi minat memancing dan membaca. Masa lapang kadangkala kami penuhi dengan menonton teater dan berjam-jam memancing di Tasik Perdana tanpa sebarang hasil. Dan sesekali menemani dia membaca puisi di Rumah Pena.

Kerana dia juga saya mula belajar tentang keindahan puisi. Mengenali dunia teater. Mengagumi karya agung Datuk A Samad Said, Datuk Shahnon Ahmad dan beberapa sasterawan negara yang lain.

Persahabatan yang terbina antara kami jujur dan ikhlas, tanpa sebarang harapan dan impian. Namun putik untuk membungakan kasih ada ketika terjelma juga dalam jiwa, tanpa saya sedar. Lagu rindu adakalanya bertandang juga dalam hati walaupun saya tidak pernah melayan irama tersebut.

Saya biarkan ia berlalu tanpa rasa, tanpa nada. Namun ada ketikanya kocak kasih itu berbekam juga dalam jiwa saya. Saya cuba memahami dirinya yang sebenar. Memahami kehendak nuraninya yang tidak begitu jelas.

“Saya ingin pergi. Merantau ke negara orang. Rutin hidup di sini tidak begitu mencabar. Saya teringin nak sambut millenium di negara orang.”

Begitu bersahaja dia menuturkan kata-kata berkenaan hampir tujuh tahun yang lalu tatkala kami sedang leka memancing di sebuah kolam berbayar.

Saya menjadi begitu terpana. Gelodak hati dan jiwa saya ketika itu Tuhan saja yang tahu. Ingin saja saya menghalang tapi siapa saya di hati dia. Tidak ada langsung nada ragu-ragu dalam percakapannya.

Saya jadi keliru dan tidak menentu. Saya tidak mengerti apa yang dikatakan Haikal tapi cuba memahami dan mendalami sebaik mungkin.

“Aina, awak jangan bimbang. Saya takkan lupakan Kijang Putih. Apa yang tersirat di hati awak, itu jugalah yang tersurat di hati saya.”

Dia merenung saya dalam-dalam sambil memegang erat tangan saya. Mata saya terasa pedih dan panas.

Tanpa dapat dibendung, ada air hangat yang mengalir perlahan. Dan dia dengan tenang menyeka air mata yang berlinang di pipi saya.

Saya merenung wajahnya dalam-dalam. Merenung tajam ke sepasang mata redupnya. Mata yang membuat hati saya berdebar-debar, mata yang kerap mengundang resah gelisah dalam lena mahupun jaga saya. Namun, sinar matanya tetap redup seredup bayu petang. Tenang dan mendamaikan.

Dia pergi juga akhirnya. Siapalah saya untuk menghalang pemergiannya. Saya hanya mampu menghantar dengan pandangan yang sayu. Hanya sekeping kad ditinggalkan untuk saya. Di dalamnya tertera perkataan.

“Kijang Putih pergi untuk seketika, satu hari nanti pasti kembali untuk bermain di pinggir kali…”

Saya tidak arif untuk mentafsir apa yang tersurat. Tapi saya berjanji pada diri sendiri, saya akan menunggu dia kembali.

Tahun pertama Haikal di negara orang, banyak kiriman berita untuk saya. Meskipun ada kemudahan e-mel, SMS, dia begitu gemar mencatat segala berita tentang dirinya di tempat baru.

Saya pula menjadi begitu teruja untuk menanti kunjungan warkah bersetemkan daun maple. Penantian saya tidak sia-sia. Ia membuahkan sesuatu yang indah. Hampir setiap purnama pasti ada berita darinya. Hati saya mula dibuai lagu rindu bila warkah darinya lewat tiba.

Namun, saya selalu memujuk hati sendiri, ‘Aina Farina, dia mungkin sibuk dengan agenda barunya.’ Lalu lagu rindu yang bersenandung dalam jiwa saya hilang begitu saja.

Tahun kedua masih lagi ada berita darinya. Walaupun tidak seghairah dulu namun masih ada catatan untuk saya. Saya menghidu sesuatu daripada catatannya.

Ada resah yang membara di jiwanya. Ada hati yang berkelana tanpa musimnya. Dia seolah mencari sesuatu atau cuba melarikan diri daripada sesuatu. Saya tak pandai untuk memberi nasihat cuma sekadar berharap dan berdoa agar dia akan temui apa yang dicarinya.

Poskad terakhir yang saya terima, Haikal menyatakan dia akan menyambung pelajarannya dalam bidang seni. Dan semenjak itu, dia terus menyepi. Tiada lagi catatan untuk saya.

Atas sebab apa dia menyepi, hingga hari ini saya betul-betul tidak mengerti. Saya cuba juga mengutusinya dan bertanya khabar. Malangnya tak ada catatan lagi untuk saya.

Kadangkala saya bertanya sendiri, adakah saya telah menulis sesuatu yang menyinggung perasaannya lalu ghairahnya untuk berkongsi cerita dengan saya menjadi pupus. Saya sendiri tidak pasti. Atau sememangnya dia tidak telus dalam persahabatan kami.

Akhirnya lagu rindu semakin bersenandung dalam setiap mimpi saya hingga kesudahannya lena saya hanya dialun irama sepi yang tak bernada.

‘Aina Farina, jangan terlalu mengharap pada sesuatu yang tak pasti. Nanti memakan diri sendiri.’ Hati kecil saya selalu berbisik namun naluri saya masih mengharap. Harapan yang di awang-awangan.

“Dah hampir tujuh bulan dia di sini, Aina.” Hayani bersuara perlahan. Saya tersentak sambil mengerutkan dahi.

Segala yang berlagu di minda hilang serta-merta. Saya mengeluh perlahan. Memandang ke arah Hayani yang tekun memandu meredah kesesakan lalu lintas.

Lebuh Ampang mana mungkin sunyi tatkala waktu senja mula menjengah. Keadaan semakin meruncing bila hujan mula turun dengan renyai-renyai.

“Dari mana aku dapat tahu dia dah ada di sini, kau jangan tanya. Apa yang aku tahu dia dah balik tapi aku tak pasti, balik terus atau hanya sementara.” Hayani seolah mengerti kerut dahi saya yang meminta kepastian.

“Mengeluh,” Hayani menegur bila saya melepaskan keluhan yang berat. Saya hanya mengangguk perlahan.

“Katanya dia sekarang aktif mengarah teater. Dengar cerita bulan depan nak mulakan projek besar. Persembahan teater sulungnya di Istana Budaya.”

Kali ini saya terlopong. Benar-benar kagum dari mana Hayani mendapat maklumat terkini tentang Kijang Putih.

“Haris beritahu aku, dia terpilih untuk berlakon dalam teater yang bakal diarahkan oleh seorang pengarah yang baru balik dari luar negara. Katanya ada ijazah dalam Seni Persembahan. Dari cerita Haris, aku dapat agak dia Kijang Putih kau.”

Sekali lagi saya menahan keluhan. Kereta yang dipandu oleh Hayani terasa seperti merangkak. Kalau boleh saya ingin segera sampai ke rumah.

Mandi, tidur dan bermimpi. Berharap dalam mimpi nanti akan bertemu dengan kijang putih. Bermain dan mengusap mesra bulunya sama seperti yang saya lakukan pada kucing kesayangan saya, Embun.

Saya tersenyum sendiri. Harapan dan impian saya mungkin jauh tersasar daripada kenyataan. Keliru, sedih, hampa, marah dan bahagia berbaur dalam minda saya. Apapun, saya rasa lega kerana dia telah selamat berada di tanah airnya sendiri. Berjuang untuk memartabatkan seni warisan bangsanya sendiri.

“Hujan nampaknya semakin lebat. Tak tahulah pukul berapa kita nak sampai rumah ni,” Hayani merengus sambil tangannya lincah menukar stesen radio. Mungkin untuk mencari maklumat tentang kesesakan jalan raya.

… menyanyi kerana gembira, menyanyi kerana sedih, menyanyi kerana rindu.. aduh siapa dapat membaca hatiku saat ini…

Jari Hayani terhenti, dia memandang ke arah saya. Tersenyum. Masing-masing melayan lagu yang semakin menjadi santapan halwa telinga pendengar masa kini.

Hujan semakin mencurah. Terasa begitu dingin sekali. Saya memejamkan mata rapat-rapat. Cuba melayan perasaan sendiri, aduh siapa dapat membaca hatiku saat ini…

Patah lirik tersebut terngiang-ngiang di telinga saya.

Benar, tak ada siapa yang tahu apa yang bermukim di hati saya saat ini. Saya terbayangkan sekumpulan kijang putih sedang bermain-main di satu kawasan belukar di pinggir kali yang airnya mengalir jernih.

“Kijang putih cium buntut Kancil, patutlah, jalan jam teruk.” Jeritan Hayani buat saya terpinga-pinga.

Segera saya menurunkan cermin tingkap untuk meninjau dan mencari kijang putih. Air hujan menerpa masuk tanpa dilawa. Saya tergamam seketika. Tersedar.

“Bukan kijang putihlah tapi rusa putih. Sorry.” Hayani mengenyitkan mata kirinya pada saya.

Nakal. Saya menggelengkan kepala sambil tersenyum. Segera menutup kembali cermin tingkap dan kembali memejamkan mata. Mengharap sesuatu yang indah bakal bertandang. Hampa.

“Cukup cukuplah tu. Aku tahu kau rindukan Kijang Putih tu. Minggu depan Pekan Teater dah mula. Aku pasti dia akan berkampung di situ.”

Hayani menepuk lembut paha saya. Tepukan mesra seorang sahabat yang cukup memahami saya. Saya rasa cukup terharu.

Kijang Putih dah kembali, itu pasti. Yang tidak pasti kenapa Kijang Putih begitu mudah melupakan kenangan yang pernah tercipta antara saya dan dia. Tidak adakah sekelumit lagu rindunya pada saya?

Soalan itu tidak pernah mati dari jiwa dan saya tak memerlukan jawapan yang pasti. Kerana kini saya mula belajar mengerti.

Haikal, hadirmu bagai bayu, mengulit lagu rindu, pergimu bagai debu, melenyapkan seribu kenangan yang bermukim di kalbu. Dan Aina Farina akan terus menanti dan menanti pada impian yang tidak pasti.
 


Cerpen Cinta: Cinta Secangkir Kopi

Mac 31, 2008

Oleh : Haryani Kamilan

HUJAN lebat yang turun sejak jam tiga petang tadi belum nampak mahu reda. Aliya menyuluh pandang dari cermin lutsinar yang semakin berwap. Dikesat-kesat cermin dengan kain pengelap yang memang bersangkut pada apronnya. Biar pandangannya lebih jelas.

Aliya mengeluh. Dilirik jam pada pergelangan tangan, sudah menjangkau ke pukul 6.30 petang. Kalau hujan terus-terusan lebat begini alamatnya kuranglah pelanggan Salina Cafe hari itu.

Dialih pemerhatiannya pada Kak Ina yang sedang duduk di kaunter. Khusyuk benar pemilik Salina Cafe itu membuat kira-kira perniagaannya.

Entah runsing entah tidak agaknya dia. Maklum saja dari tengah hari tadi pelanggan boleh dihitung dengan jari. Sekarang pun Salina Cafe tak berpengunjung. Lengang. Aliya mengeluh lagi. Diselit semula kain pengelap pada apron.
“Banyak untung Kak Ina?” soal Aliya sambil berjalan menuju kaunter. Kak Ina panggung kepala.

“Awak tengok sajalah pelanggan hari ini, dah tau dah untung ruginya kan,” dia berkias.

Aliya sekadar senyum tawar. Dia tahu Kak Ina cekal orangnya, tak mudah mengalah. Adat perniagaan memang selalu ada pasang surutnya. Lagipun Salina Cafe baru sebulan beroperasi. Nak kira untung buat masa ini memanglah payah.

“Musim hujan sekarang ni kak, tu yang orang susah nak singgah agaknya. Kalau kafe ni dalam shopping complex mungkinlah ramai yang datang.”

Kak Ina sudah meletakkan pennya. Mungkin benar juga kata-kata Aliya tadi. Mungkin kafe ini tidak strategik kedudukannya. Mungkin juga lokasinya yang terletak di tengah-tengah deretan kedai buat orang ramai tidak berapa perasan kewujudannya. Memang sejak sebulan yang lalu, perniagaannya susah nak balik modal. Setakat dapat bayar gaji pekerjanya yang tiga orang dan bayar sewa kedai saja. Untungnya tak seberapa. Kak Ina bertopang dagu.

“Nak sewa kedai dalam ‘shopping complex’ bukannya murah dik, lagipun akak dah buat ‘renovation’. Nak tak nak kita kena ‘survive’ dululah untuk dua tiga bulan ni, akak cuma perlukan sokongan kamu semua buat masa ni.”

Aliya bersimpati. Kata-kata Kak Ina mengundang gundah di hatinya. Dia faham perasaan Kak Ina. Seorang janda muda yang tidak pernah putus asa dan jarang sekali menyesali takdir yang menimpa dirinya setelah diceraikan suami tiga bulan lepas.

Dia sendiri terhutang budi pada Kak Ina. Sejak diberi peluang bekerja sebagai pelayan dan pembancuh minuman di Salina Cafe, hidupnya tidak lagi kesuntukan wang seperti dulu.

Oh! Dia anak yatim piatu yang merantau ke bandar Johor Bahru. Tidak punya adik beradik lain dan sebelum ini hanya menumpang kasih neneknya di kampung. Dengan berbekalkan kelulusan SPM (V), Aliya telah diterima bekerja dan terus diambil tinggal bersama menemani Kak Ina yang kebetulan sudah hidup berseorangan.

Betapa besar kepercayaan Kak Ina padanya. Untuk itu, sampai hari ini Aliya masih berpegang pada janji. Dia pasti akan memberikan sokongan setiap saat. Dan setiap keringat yang tumpah memang hanya untuk Salina Cafe.

“Sabarlah kak, insyaAllah satu hari nanti mesti nampak hasilnya.” Dia memberi semangat.

Kak Ina pegang lembut bahu Aliya, tanda syukur punya pekerja yang memahami.

Perbualan mereka tiba-tiba dimatikan dek bunyi kerincing yang sengaja digantung pada pintu. Seorang lelaki yang masih berbaju hujan masuk ke dalam kafe. Kak Ina dan Aliya berpandangan. Kemudian saling berganti senyum menandakan rezeki sudah masuk.

“Hujan lebat kat luar ya bang…” Aliya berbasa-basi. Dia yang sudah pun berdiri di hadapan lelaki itu mengeluarkan buku nota dan sebatang pen dari kocek apron. Lelaki yang baru sahaja menanggalkan baju hujan itu tersenyum. Mengangguk-angguk.

“Naik motor macam ni lah, habis basah lokos.” Mata mereka bertentangan. Tapi entah kenapa senyuman dan pandangan lelaki itu sekonyong-konyong membuat Aliya terkesima.

‘Handsome’, desis hati Aliya. Belum pernah dia nampak lelaki itu sebelum ini. Aliya yang sebentar tadi terpegun dengan kekacakan lelaki itu cepat-cepat mematikan lamunan.

“Abang nak order apa?”

Lelaki itu membelek menu yang siap tersedia di atas meja.

“Bagi kopi o dengan roti bakar satu ya.” Dia senyum lagi. Bergetar jantung Aliya melihatnya. Tanpa lengah dia terus ke dapur.

Esoknya, lelaki itu datang lagi. Agak awal pagi waktu itu. Tapi kali ini dia tidak datang bersendirian. Tiga orang lagi sahabat dibawanya bersama. Aliya yang sememangnya ternanti-nantikan kehadiran lelaki itu, menghampiri.

“Kopi o dan mihun goreng,” pesannya, dihadiahkan sekuntum senyuman buat Aliya.

Melayang Aliya seketika. Mimpinya malam tadi bagai menjadi kenyataan. Siapa sangka hari ini si dia datang lagi. Masih memesan kopi o buatannya.

Setelah mengambil pesanan yang lain, Aliya segera kembali ke dapur. Dan tak sampai lima belas minit, pesanan mereka sudah terhidang.

“Tunggu sekejap.” Tiba-tiba lelaki itu bersuara apabila Aliya ingin berlalu. Aliya mengerut dahi.

“Kenapa? Ada apa-apa yang tak kena?”

Lelaki itu menggeleng. Dihirup perlahan kopi o, Aliya sekadar memerhati dalam debar.

“Sedap kopi ni, manisnya cukup. Siapa yang buat?”

Bagai hilang nafasnya seketika. Lelaki itu memuji kopi o buatannya! Aliya tidak terus menjawab. Dikendurkan nafasnya yang tersekat. Tidak mahu kelihatan gugup di hadapan yang lain.

“Saya …” Pandangan mereka bertaut. Lelaki itu melarik senyuman.

“Kopi awak ni buat saya teringat-ingat, sedap betul. Sebab tu saya bawa kawan-kawan saya ke mari.”

Serta-merta Aliya tertunduk malu. Merona wajahnya kemerahan. Memang tidak dinafikan Aliya pakar dalam membancuh air. Ilmu ketika menuntut di Sekolah Vokasional dulu diaplikasikan dalam kerjanya.

Kalau tidak, takkan Kak Ina terus menerimanya bekerja di Salina Cafe selepas tertarik dengan aroma kopi o bancuhan Aliya.

Diambil daripada resipi nenek katanya. Lagipun serbuk kopi yang digunakan memang dibeli dari kampungnya di Kluang. Ada sebuah kilang memproses kopi secara tradisional di sana. Mungkin sebab itu rasanya begitu asli.

Tidak hanya di hadapan Aliya, lelaki itu lanjutkan pujiannya pada Kak Ina. Dia nampak ikhlas dan bersungguh. Teman-temannya yang lain turut bersetuju. Buat Aliya merasa amat terharu.

Sejak itu, Kak Ina semakin yakin. Menyedari kafenya itu mempunyai potensi untuk lebih maju, dia telah mengatur beberapa strategi promosi supaya Salina Cafe lebih dikenali. Tekadnya begitu kuat untuk berjaya dalam usahanya kali ini.

Dia mahu buktikan sesuatu pada bekas suaminya. Hari ini Aliya dan dua lagi pekerja Salina Cafe, Fairus dan Rubi akan menggempur habis-habisan untuk mempromosikan Salina Cafe. Seharian mereka berdiri berganti-ganti di hadapan kafe untuk mengedarkan risalah-risalah promosi Salina Cafe.

Beberapa pakej menarik diberikan dengan harga yang berpatutan. Mereka juga menyediakan menu-menu baru untuk menarik perhatian orang ramai.

Terlanjur petang itu lelaki idaman Aliya singgah setelah dua hari dia tidak menjengah ke Salina Cafe, Aliya agak terkejut juga tetapi sangat gembira pada masa yang sama.

Pujian daripada lelaki itu benar-benar memberinya keyakinan yang sajian di Salina Cafe memang mampu menarik lebih ramai pelanggan. Cuma orang ramai yang tidak sedar barangkali.

Alah, kata orang, tak kenal maka tak cinta. Hari ini saja sudah nampak sedikit perubahan. Ada beberapa pengunjung baru menjamu selera di situ dan rata-ratanya memberi maklum balas positif. Mungkin sebab itu, Kak Ina asyik saya tersenyum sampai ke telinga.

“Sibuk nampak,” dia menegur kala giliran Aliya tiba untuk mengedarkan sedulang air kopi o yang diisi ke dalam beberapa gelas kertas mini. Aliya tergelak kecil.

“Bolehlah, nak rasa?” Disuakan gelas kertas mini itu pada lelaki yang sedang berdiri di sisinya.

“Tak cukup ni, saya nak rasa yang cawan besar.” Lelaki itu senyum.

“Masuklah kat dalam, boleh order kat dalam.”

Lelaki itu menggeleng-geleng.

“Saya nak air kopi o yang awak buat.”

Pandangan mereka bersatu. Lama. Dan lama-lama gelak lelaki itu pecah, tersipu-sipu Aliya seketika.

“Saya gurau saja, mari saya tolong awak.”

Dulang yang dipegang Aliya bertukar tangan. Sedaya dia cuba berlagak biasa tapi gemuruh di hati siapa yang tahu.

“Nama saya Amer, awak?”

Sempat lagi dia memberitahu namanya walaupun tangan lincah memberikan kopi o percuma pada orang-orang yang lalu lalang.

“Saya Aliya.” Hanya sekilas dia memandang Amer. Selebihnya dia hanya mampu tunduk sambil mengulum senyum.

******************

Hubungan Aliya dan Amer semakin akrab hari demi hari. Salina Cafe juga sudah nampak kemajuannya setelah lebih tiga bulan bergelumang dalam susah senang. Berkat kesabaran dan usaha Kak Ina serta pekerja-pekerjanya, hari ini dua sudah boleh bernafas lega.

Pengunjung Salina Cafe bukan saja daripada kalangan orang Melayu tetapi juga pelbagai kaum. Semakin hari semakin bertambah bilangannya. Bertambah-tambah juga keuntungan Kak Ina. Sampai ada masa mereka tidak menang tangan.

Sebab itu Kak Ina menambah lagi dua orang pekerja baru. Sekurang-kurangnya ringan sedikit bebanan kerja, lebih-lebih lagi dia turut menambah beberapa menu baru ala barat.

“Saya gembira tengok Kak Ina sekarang, saya rasa susah payah kami selam ni macam berbayar,” luah Aliya kala dia dan Amer meluangkan masa bersama.

Hembusan bayu Teluk Danga memberi tenang di hatinya. Tamsil kejadian-kejadian sedih yang pernah menyapa hidupnya dahulu seolah-olah mengajarnya menjadi seorang yang lebih tabah.

“Setiap kejayaan memang selalu disulami dengan dugaan, itu semua untuk melihat sejauh mana kekuatan kita nak mengharunginya.”

Aliya berkalih pandang. Direnung wajah Amer yang sedang duduk di sampingnya.

“Saya rasa hidup saya penuh, walaupun saya tak ada mak dan ayah, tak ada adik beradik. Tapi saya masih ada ramai lagi orang di sekeliling yang boleh saya menumpang kasih. Rasa rindu pula pada nenek kat kampung.”

Serta-merta Aliya diserbu sebak. Sudah dua minggu dia tidak pulang ke kampung menjenguk neneknya. Cuma dia tidak begitu risau kerana Mak Usu ada menjaga nenek lagipun daripada panggilan telefon semalam, dia tahu nenek sihat. Masih kuat lagi memetik kopi di kebun belakang rumah. Tapi dia rindu, dia rindu wajah nenek. Tak semena-mena air matanya mengalir.

“Hei, janganlah sedih sangat.” Amer segera menyeka air mata yang membasahi pipi gebu Aliya.

Diusap wajah gadis itu perlahan. Cantik. Aliya memang cantik. Kulitnya yang putih bersih itu membuat dia terpesona.

Pertama kali memandang Aliya, hatinya seakan berbisik untuk terus mendekati dan mengenali gadis manis itu.

Perasaannya lebih kuat bila merasa air kopi o yang dibuat Aliya. Memang enak. Bakat Aliya walaupun hanya sebagai pembancuh minuman itu sebenarnya boleh buat dia pergi lebih jauh. Dia yakin dengan pengalaman dan ilmu yang diperolehinya di Salina Cafe, tak mustahil satu hari nanti mungkin Aliya juga bakal buka kafenya sendiri. Jari-jemari Aliya digenggam Amer.

“Nanti kita balik kampung jumpa nenek ya.” Aliya terpana dengan tindakan Amer.

Namun sedikit demi sedikit senyumnya terbit semula. Lambat-lambat dia mengangguk.

*****************

Permintaan kopi di Salina Cafe bukan saja terhad pada minuman tapi pelanggannya juga turut meminta supaya serbuk kopi yang digunakan dalam bancuhan kopi itu dipaketkan dan dijual. Kak Ina setuju melabur modal untuk membeli serbuk-serbuk kopi dari kampung Aliya dan dipaket dengan menggunakan jenama Aliya. Satu penghormatan yang tak terduga buat gadis itu, tidak disangka Kak Ina begitu menghargai air tangannya di Salina Cafe.

Beberapa restoran lain di sekitar Johor Bahru yang mengakui kesedapan kopi Aliya turut membuat tempahan dan membenarkan mereka meletakkan beberapa paket kopi untuk dijual di restoran mereka. Suatu hari ketika Aliya mengikut Kak Ina menghantar jualan serbuk kopi itu ke sebuah restoran, tiba-tiba mereka terperasankan Amer bersama seorang gadis cantik.

Mereka kelihatan begitu mesra dan hati Aliya lebih terguris kala gadis itu mengelap peluh pada wajah Amer. Kak Ina yang turut menyaksikan situasi itu serba salah. Dia tahu Amer memang rapat dengan Aliya walaupun dia tidak tahu sejauh mana hubungan mereka. Dia menoleh ke arah Aliya di sebelahnya. Aliya seolah-olah terkaku.

“Err Aliya, are you okay?” Serta-merta renungan Aliya mati.

“Okay, Aliya okay.” Dia hanya senyum sedikit.

“Kita biarkan dia pergi dulu ya, baru kita keluar dari kereta,” saran Kak Ina yang faham perasaan Aliya ketika itu. Aliya yang dari tadi tunduk hanya mengangguk kecil.

***********************

Sudah seminggu Amer tidak muncul. Aliya juga langsung tidak menghubunginya. Sejak peristiwa tempoh hari Aliya seperti tidak bermaya. Ada masanya Kak Ina sendiri nampak dia bermenung. Kak Ina tahu dia tidak boleh masuk campur dalam urusan peribadi Aliya. Tapi melihatkan keadaan Aliya begitu, dia turut sama risau.

“Kak Ina bukan nak menyibuk tapi Kak Ina tengok awak sekarang dan banyak menyendiri. Kenapa, ada masalah dengan kerja?” soalnya.

Saja ambil tahu perihal Aliya yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Aliya menggeleng.

“Tak adalah,” ringkas jawapannya.

“Habis tu? Pasal Amer?” Aliya diam. Angguk tidak, geleng pun tidak.

“Maaf Kak Ina tanya, awak dengan Amer tu memang ada hubungan istimewa ya?”

Aliya masih lagi mendiamkan diri. Lama-lama baru dia menjawab.

“Tak, kami tak ada apa-apa.”

Aliya yang tadinya mengelap cawan-cawan yang baru dicuci, mencapai sebiji lagi cawan dari dalam besen aluminium.

“Aliya sukakan dia?”

Dia berhenti mengelap. Soalan yang dia sendiri tidak tahu jawapannya. Memang Amer lelaki yang pertama singgah dalam hatinya. Tapi mungkin dia hanya bermain dengan perasaannya sendiri.

Siapalah dia mahu mendampingi Amer. Aduh! Kecewanya dia bila memikirkan tentang itu, dia memang benar-benar menyayangi lelaki itu. Air matanya menitis tanpa dipinta. Lama-lama Aliya teresak-esak. Kak Ina yang berada di sisinya memeluk tubuh Aliya penuh kasih dan simpati. Diusap-usap rambutnya.

“Sabarlah dik, ini cuma sebahagian daripada ujian Tuhan.” Di bahu Kak Ina, Aliya terus-menerus menangis.

******************

Hari itu Amer datang. Orang pertama yang dicarinya sesampai saja di Salina Cafe adalah Aliya. Hampanya dia bila gadis itu tidak ada.

“Kak Ina bagi dia cuti lama sikit jumpa nenek dia di kampung,” beritahu Kak Ina bila Amer bertanya tentang Aliya.

“Bila dia balik Kak Ina?” soal Amer ingin tahu.

“Dua hari lepas, sebenarnya Kak Ina ada benda sikit nak cerita pada Amer ni.”

Berlapis dahi Amer berkerut, nampak lain benar cara Kak Ina waktu itu.

“Cerita apa? Tentang Aliya?” Kak Ina mengangguk lalu Amer menurutnya ke sebuah meja.

********************

Rimbunan pohon kopi yang tumbuh merenek di belakang rumah nenek buat hati Aliya merasa gembira. Buahnya cukup lebat, harap-harap hasilnya nanti memberi untung untuk nenek, dia dan Salina Cafe.

Dicium bau buah kopi. Aliya tersenyum. Hilang sebentar dukanya. Lagiun dia sudah dapat menerima segala yang berlaku. Baginya hubungan cintanya dengan Amer hanya ibarat cinta pada secangkir kopi.

Habis kopinya, habislah nikmatnya. Enaknya cuma pada hirupan. Manisnya cuma seketika. Dia sudah tidak kisah lagi andai Amer bukan ditakdirkan untuknya. Walaupun hatinya pernah tercuit dengan rasa cinta tapi dia reda, Amer berhak memilih dan mencari bahagianya sendiri. Perlahan Aliya menghembuskan nafasnya.

“Aliya!”

Sekonyong-konyong Mak Su menyergahnya dari belakang. Melatah-latah Aliya terkejut dengan keletah Mak Su yang cuma tua dua tahun darinya.

“Hiss, Mak Su ni, terperanjat Liya tau.”

Sempat tangannya mengutil lengan Mak Su.

Mereka sama-sama ketawa.

“Adoi!Sakitlah, Mak Su gurau saja. Ada orang nak jumpa Liya lah, handsome.” Kata-kata Mak Su buat Aliya terpaku.

“Siapa?” Meleret-leret sengih Mak Su.

“Tu.” Dia memuncung ke arah seorang lelaki yang sedang berdiri di belakangnya.

“Amer?” Perlahan Amer melangkah menghampiri Aliya.

“I’m sorry, Kak Ina dah ceritakan segala-galanya and I’m so sorry.”

Aliya tunduk, tidak sanggup memandang lelaki di hadapannya.

“Aliya.” Dagu Aliya dipegang perlahan.

“Awak cemburu ya?”

Aliya tidak bersuara.

“Orang yang awak jumpa dengan saya hari tu adik perempuan saya lah, nanti saya kenalkan awak dengan dia ya.” Amer senyum tapi Aliya masih lagi ragu-ragu.

“Betul ke?”

“Iya, sumpah.”

“Tak baik sumpah-sumpah nanti kena sumpah jadi sesumpah baru tau.”

“Habis tu awak tak percaya?”

“Okay saya percaya,” Aliya mencebir tapi lambat-lambat dia melarik senyumannya.

“Haa macam tu lah, baru lega hati saya tengok awak senyum tapi saya ada satu permintaan ni.”

Aliya memandang Amer.

“Apa?”

“Saya rindulah dengan kopi o awak, buatkan saya seteko boleh? Nak minum puas-puas.”

Mereka sama-sama gelak.

“Awak ni, tu lah lama sangat tak ke Salina Cafe, kan dah rindu…”

Mereka melangkah menuju ke rumah nenek.

“Saya sibuklah, sorry lah sayang.” Pipi gebu Aliya dicubitnya.

“Hii, gatal tau.” Dan jari Aliya pantas mengutil lengan Amer. Lalu mereka berkejaran ke rumah nenek dalam rasa yang cukup bahagia.


Impian kasih

Mac 28, 2008

Oleh Norzehana Yusof

“Mudah-mudahankan, abang.” Lelaki di hadapannya itu hanya menganggukkan kepala. Terselit rasa bahagia yang mula berbunga di tangkai hatinya.

“Tapi, Sarah tak dapat bantu apa-apa. Sarah cuma dapat doakan abang berjaya capai impian abang tu.” Maisarah tersentak apabila bibirnya ditutup oleh tangan suaminya itu. “Impian kita.

That’s not only my dream.” Johan menarik tangannya semula.

Dia cuba memperbetulkan ungkapan yang terkeluar daripada bibir isterinya itu.

“Ok, our dream. Tapi, Sarah tak tolong abang pun.

Kalaulah Sarah tahu uruskan bisnes tentu Sarah dapat bantu abang.” Suara itu begitu perlahan sekali menerpa gegendang telinga lelaki di hadapannya itu.

Johan mencapai jemari lembut itu dan mengelusnya perlahan.

“Sarah tak dapat bantu abang tak bermakna kita tak dapat berkongsi impian.

Abang buat semua ni untuk kita dan Ika. Dorongan dan sokongan sayang buat abang kuat menempuh cabaran. Now, kita dah berjaya. Abang tak rasa abang mampu lakukannya tanpa Sarah dan Ika.” Maisarah merenung ke dalam anak mata itu lama. Cuba mencari keikhlasan di sebalik kata-kata lembut itu.

Adakah lelaki itu sudah lupa sejarah mereka dahulu? Ah! Mungkin Johan tidak mahu mengungkit kisah lama. Mereka sudah berjanji untuk tidak membuka kisah silam itu.

“Apa yang dimenungkan ni? Dah lewat nampaknya. Mari kita balik. Nanti Ika bising pula bila tengok kita balik lambat. Tentu dia tak tidur lagi.” Maisarah tersentak lantas menganggukkan kepala. Segera teringatkan anak kecilnya itu yang sudah berusia lapan tahun.

Johan mencapai jemarinya dan digenggam erat. Mereka berjalan beriringan meninggalkan kafe hotel bertaraf lima bintang itu. Senyuman tidak lekang daripada bibirnya.

Maisarah bersyukur mendapat suami yang bertanggungjawab dan penyayang seperti Johan.

“Kalau ditakdirkan abang pergi dulu, Sarah jagalah Ika baikbaik.” Tersentak jantungnya apabila kata-kata itu menampar cuping telinganya. Maisarah menegakkan badannya sambil merenung ke arah suaminya itu.

“Don’t say like that. I don’t like it.” Maisarah mengerutkan dahinya. Sungguh dia menyangka Johan akan menyebut tentang kematian ketika dia sedang dilamun angan-angan indah bersama suaminya itu.

“Ajal maut di tangan Tuhan.

Walau apa pun yang berlaku, abang nak Sarah tahu abang sayangkan Sarah dan Ika hingga ke akhir hayat.” Maisarah mula tidak sedap hati apabila Johan asyik menyebut tentang kematian.

“Sarah pun sayangkan abang.” Maisarah membalas ucapan sayang itu walaupun di hatinya mula berbunga curiga. Mengapa kata-kata yang terbit daripada bibir suaminya itu agak berlainan malam itu.

Persoalan itu hanya bermain di benaknya saja tanpa jawapan. Maisarah menggosok matanya.

Malam makin larut. Guruh di langit jelas kedengaran. Kilat sabung menyabung. Kedinginan mula menusuk ke tulang.

Maisarah menguap. Matanya mula mengantuk. Johan di sebelahnya tidak bersuara.

Hanya kedengaran lagu yang berkumandang di corong radio.

Maisarah menggosok matanya yang semakin mengecil dan akhirnya tertutup.

Tiba-tiba dia terjaga daripada lena. Dia merasakan badannya terhentak kuat sebelum dilambung seperti bola. Maisarah tersentak apabila melihat dirinya berada di tebing yang curam.

“Abang!!” Hanya wajah itu terlintas di fikirannya saat itu.

“Abang!” Maisarah menjerit kuat apabila melihat kereta yang dipandu suaminya terhumban ke dalam gaung tidak jauh dari tempat dia terbaring. Dia berlari ke tebing yang curam itu.

Namun suasana malam yang gelap gelita menyukarkan penglihatannya.

“Abang!!”Jeritannya bergema di lorong yang gelap itu. Matanya berpinar sebelum rebah ke tanah.

Tubuhnya disandarkan ke kerusi lemah. Kerusi itu dipusingkannya mengadap cermin telus yang menayangkan panorama yang cukup tenang dan damai sekali. Kalaulah hatinya juga sedamai itu. Alangkah bahagianya dia saat itu. Namun, kejadian sebulan yang lalu telah meragut seluruh kebahagiaan yang dibina olehnya selama ini.

Kedengaran sebuah keluhan terbit daripada bibir merekah itu. Maisarah melepaskan pandangannya jauh. Kalau boleh dia mahu membuang kedukaannya sejauh itu. Apapun yang dilakukannya, ia tetap berbekas dan menjadi parut yang tidak mungkin akan sembuh. Bunyi interkom yang terletak di atas meja membuatkannya berpaling.

“Puan Maisarah, ada guest nak jumpa puan.” Suara lembut setiausahanya itu melenyapkan memori yang bertandang di ingatannya tadi.

“Who?” Seingatnya dia tiada membuat sebarang temu janji pagi itu.

“Datin Karmila.” Bagai dipatuk ular Maisarah menegakkan tubuhnya yang bersandar di kerusi. Seribu satu perasaan kurang enak mula menguasai hatinya.

“Boleh saya bagi dia masuk?” Tiara bertanya apabila tiada jawapan yang terbit daripada bibirnya. “Ok.” Maisarah menjawab perlahan. Suaranya itu hampir tidak kedengaran.

Hatinya mula tidak keruan.

Apakah tujuan wanita itu mahu bertemu dengannya? Sedangkan selama ini, wanita itu berkeras tidak mahu memandang mukanya lagi. Maisarah berdoa di dalam hati. Dia membetulkan kedudukannya agar lebih selesa. Apa yang pasti, hatinya bagai dipukul badai ketika itu. Ketukan di pintu semakin menambah degupan di jantungnya yang semakin laju.

Seorang wanita separuh abad masuk. Mereka bertentangan mata seketika. Maisarah menelan air liur. Terasa jantungnya bagaikan berhenti berdegup ketika itu. “Silakan duduk, Datin.” Matanya memerhatikan wanita yang cukup bergaya itu melabuhkan punggung di sofa.

Mata wanita itu melilau melihat sekeliling pejabat. Lagaknya bagaikan pegawai polis yang sedang menyiasat.

“Datin, apa khabar?” Maisarah cuba memulakan bicara.

“Saya datang ke sini bukan untuk bertanya khabar. Saya rasa awak tentu faham maksud kedatangan saya ke mari. Saya tidak mahu membuang masa.” Begitu ego sekali wanita yang bernama Datin Karmila itu. Maisarah cuba menahan hatinya.

Kalau diikutkan hatinya, mahu saja dia menengking dan menghalau wanita itu keluar.

Namun dia masih lagi menghormati status wanita di hadapannya itu. “Ada lebih baik awak angkat kaki saja dan kita tak perlu memperbesarkan perkara yang kecil. Kita samasama tahu siapa yang lebih berhak.” Maisarah menghela nafasnya perlahan.

Tidak semudah itu dia akan mengalah. Apa hak wanita di hadapannya itu untuk mengambil alih syarikat yang telah dibina bertahun-tahun oleh arwah suaminya itu? “Datin jangan ingat saya akan mengalah begitu saja. Jika itu yang Datin ingat, Datin silap.

Saya akan mempertahankan hak saya.” Dia cuba menyatakan pendiriannya.

Dia sudah menjangka perkara itu akan berlaku.

Cuma tidak menyangka secepat itu.

Di kala dia masih lagi cuba meratapi kehilangan lelaki kesayangannya, dia menghadapi masalah yang terpaksa dihadapinya kini.

“Baik, kita tak perlu bertengkar.

Biar mahkamah tentukan siapa yang lebih berhak.” Datin Karmila bangun dan melangkah ke pintu meninggalkan Maisarah.

“Well, for your information.

Saya tak pernah anggap awak menantu saya. Jangan ingat awak akan dapat bolot walau sesen pun harta anak saya, faham?” Datin Karmila meninggalkannya dengan senyuman sinis.

Maisarah mengeluh perlahan.

Dirasakan ada batu yang menghempap kepalanya kala itu. Abang! Sarah tak kuat nak hadapi semua ni. Hatinya merintih sendiri.

“Kalau ditakdirkan abang pergi dulu, Sarah jagalah Ika baik-baik.” Bagaikan terngiang- ngiang kembali bait kata yang cukup meruntun hatinya. Rupanya itu adalah pesanan terakhir arwah suaminya sebelum meninggalkannya.

“Sarah akan jaga Ika baik-baik, bang.” Maisarah berkata sendiri.

Seolah-olah menjawab ungkapan kata suaminya itu.

Terasa bagaikan baru semalam suaminya itu pergi. Namun, dia tidak pernah menyalahkan takdir. Dia mahu menjadi kuat demi masa depan dia dan Ika.

Ika hanya ada dia sekarang.

Dia mesti kuat demi anak itu.

Setitis air mata jernih menitik daripada kelopak matanya. Ika di pangkuan- nya terjaga.

“Mama! Mama menangis, ya?” Anak kecil yang petah itu bertanya.

“Taklah, mata mama masuk habuk. Ika masuk tidur dulu, ya. Mama ada kerja nak buat.” Seperti biasa Ika akan mengucup tangan dan pipinya sebelum tidur.

“Night, mama.” Anaknya itu melangkah ke tingkat atas.

Lama direnungnya surat yang sampai ke mejanya pagi itu.

Surat bercop Fahmi & Associates itu dicapainya lemah.

Sejak menerima kedatangan Datin Karmila beberapa hari lepas, dia tidak senang duduk.

Sehingga ke hari itu, tiada surat guaman yang sampai padanya. Namun, surat yang satu ini telah membangkitkan resah di hatinya. Maisarah cuba bertenang. Dibukanya surat bersampul putih itu perlahan.

Matanya terbeliak apabila membaca isi kandungan surat bertaip kemas itu. Dia membaca ayat-ayat itu berulang kali. Mimpikah dia? Maisarah mengetap bibirnya. Dia perlu bertindak pantas. Jemarinya menekan interkom.

“Tiara, saya nak keluar.

Cancel appointment saya pagi ni.” Tanpa membuang masa dia menuju ke luar. Tidak sabar rasanya untuk tiba ke destinasi yang dituju.

Adakah ini penyelesaian di sebalik masalah yang membebankannya selama ini? Dia hanya mampu berdoa. Semoga nasib berpihak padanya kali ini. Apabila dia sampai ke bangunan pencakar langit itu, dia berhenti seketika. Cuba memastikan tempat ditujunya itu betul. Ya! Dia tidak silap. Lantas dipercepatkan langkahnya memasuki perut bangunan itu.

“Ya, Encik Fahmi sedang menunggu puan.” Gadis bertudung litup di hadapannya membawa dia menuju ke satu bilik. Maisarah melangkah masuk.

“Puan Maisarah, terima kasih sebab sudi datang. Saya Fahmi. Peguam peribadi arwah suami puan.” Lelaki di hadapannya menghulurkan tangan.

Mereka berjabat tangan.

“Saya tahu puan pasti tertanya-ta-nya kenapa saya minta puan datang ke mari.

Saya selaku peguam yang diamanahkan oleh arwah suami puan cuma menjalankan amanah sahaja. Puan tentu sudah sedia maklum tentang aset yang arwah suami puan ada sekarang.

Semua aset termasuk syarikat, rumah, saham dan wang simpanan peribadi arwah suami puan telah diwasiatkan kepada puan. Hak milik itu berkuat kuasa sebaik saja Encik Johan meninggal dunia.” Maisarah tergamam. Ya Allah! Dia bersyukur. Inilah yang diharapkannya selama ini.

Berhari-hari dia membuat solat hajat dan berdoa semoga masalahnya itu dipermudahkan.

Akhirnya dia menerima kejutan itu.

“Saya tahu puan pasti terkejut.

Sebenarnya arwah suami puan telah meletakkan nama puan sebagai waris kepada semua harta sejak dua tahun yang lepas. Arwah mahu saya merahsiakannya daripada puan. Dia tidak mahu sesiapa tahu lebih-lebih lagi keluarga arwah. Saya tidak dimaklumkan kenapa arwah berbuat demikian. Sebagai peguam, saya akur dengan permintaan arwah.” “Tapi, macam mana dengan wang RM300,000 yang dipinjamkan oleh Datin Karmila? Dia mahu menuntut haknya. Dalam hal ini, saya tak tahu nak berbuat apa. Saya tahu arwah suami saya ada meminjam wang sebanyak itu daripada mamanya sewaktu dia mahu membuka syarikat.” Maisarah menyatakan kegusarannya. Adakah dengan sebab itu dia akan kehilangan hak? Matanya dapat menangkap senyuman pada wajah peguam yang agak berusia itu.

“Itu puan jangan risau. Arwah suami puan telah melangsaikan hutangnya sebelum meninggal dunia. Saya ada menyimpan dokumen berkenaan pembayaran itu. Puan jangan risau.” Fahmi cuba meleraikan kebimbangan yang bersarang di hati wanita itu.

Maisarah menarik nafas lega.

Sungguh dia tidak menyangka arwah suaminya telah bersedia terlebih dahulu. Mungkin arwah suaminya tahu dia pasti akan dihimpit masalah jika hak pembahagian harta itu tidak disempurnakan dengan baik.

Maisarah tersenyum pahit.

Di sebalik kedukaan itu dia merasai nikmat kasih sayang Johan yang masih lagi menemaninya kala itu.

“Tahniah! Saya tahu puan mampu melaksanakan amanah arwah dengan jayanya.” Ucapan tahniah itu terbit daripada bibir peguam peribadi arwah suaminya yang turut dilantik oleh Maisarah sebagai peguam syarikatnya. Syarikatnya telah berjaya mendapat tender projek bernilai jutaan ringgit daripada pelabur asing.

“Terima kasih.” Hanya itu yang mampu diucapkan. Dia cukup terharu kerana menerima pujian itu. Walhal, pada mulanya dia hampir pengsan apabila dimaklumkan akan memegang jawatan sebagai pengarah syarikat. Hampir saja dia menolak.

Namun, pesanan arwah suaminya telah membuatkannya kembali mengumpul sisa kekuatan.

“Saya tahu awak tak akan mampu melaksanakan tanggungjawab sebesar itu. Kalau awak tak dapat jaga syarikat dan cucu kami dengan baik.

Ada lebih baik kami saja yang menjaganya. Kami akan beri apa yang kamu tak mampu beri pada dia.” Tergiang-ngiang kembali kata-kata sinis ibu mentuanya apabila mendapat berita dia akan menerajui syarikat arwah suaminya.

Maisarah cuba bersabar.

Kata-kata penghinaan itu tidak meninggalkan kudis buatnya.

Kini, dia telah membuktikan bahawa dia mampu memikul tanggungjawab itu. Menjadi wanita berkerjaya, sekali gus ibu tunggal pada anaknya.

Matanya merenung langit luas. Bibirnya mengukir senyuman puas apabila berjaya melaksanakan impian arwah suaminya itu. Impian arwah suaminya yang mahu dia berkongsi impian bersama telah terlaksana. “Impian ini bukan impian abang sahaja tapi impian kita.”


Mengikir dendam mengukir sayang

Mac 20, 2008

Oleh Nahari Mastono Arukin

Mak, percayalah mak! Kak Long tahu kita anak orang miskin. Kak Long sedar siapa keluarga kita mak! Percayalah mak! Bapak, Kak Long tak ambil, Kak Long tak curi, percayalah pak!” Ngongoi dan ratap tangis Kak Long merampas seri wajah seorang pengantin baru.

Di hujung serambi, emak dan bapa duduk tunduk merenung lantai dengan pandangan yang polos.

“Dasar orang miskin, tak sedar diuntung. Ingatkan mbak yu nak nolong kamu anak-beranak tapi dasar orang merempat, pencuri!” Kebencian Wak Nab jelas terpancar pada kedut-kedut wajah tua yang kian dimamah usia. Drama sebabak tanpa pengarah itu terus menjadi tontonan tetamu yang hadir meraikan majlis perkahwinan Kak Long. Entah bagaimana cincin Wak Nab yang dipinjamkan kepada Kak Long lesap sebaik majlis persandingan berakhir.

Sebelum majlis bermula, emak beria-ia menolak tawaran Wak Nab, kakak saudara emak yang tergolong dalam kalangan orang berada untuk meminjamkan cincin kepada Kak Long.

“Melah, ambil cincin ni, takkan jari pengantin perempuan telanjang sahaja,” gesa Wak Nab.

Emak serba salah. Bapa juga bungkam seribu bahasa.

Akhirnya, antara terpaksa dan akur menjaga hati saudara, emak menerima tawaran Wak Nab. Maka, tersarunglah sebentuk cincin belah rotan pada jari kanan Kak Long manakala jari manis sebelah kiri dihias cincin tanda daripada pengantin lelaki.

“Bagaimana Datuk? Kami ni wakil pengantin lelaki amat berharap agar dapat jawapannya hari ni. Almaklum sahaja, kedua-dua pasangan sudah lama saling mengenali. Apa kata orang? Sejak zaman di bangku sekolah? Lagipun Datuk berdua sudah kenal Fahir kan?” “Datuk?” “Datuk?” “Kak Long, kenapa ni? Wakil lelaki bertanya tu? Kak Long, Kak Long… Abang Long? Suara Alang membisikkan sesuatu pada telinga Kak Long. Suasana hening tiba-tiba.

“Begini ya, adat kita orang Melayu orang meminang kita minta masa memberi jawapan.

Kami sebagai ibu bapa kena berbincang dengan yang empunya badan.” Suara Kak Long bergetar.

Pandangan matanya jatuh pada seseorang. Sepasang mata Kak Long bagaikan tidak berkelip, tajam merenung wajah seseorang yang tiba-tiba merampas seri wajah bakal ibu pengantin. Abang Long tidak bersuara. Wakil daripada pihak lelaki berpandangan sesama sendiri.

“Ibu, kenapa ni? Apa salah saya? Apa salah Fahir? Saya tak faham ibu! Ayah, tolonglah ayah, kenapa ibu tiba-tiba tak setuju, kenapa ibu tiba-tiba menolak Fahir? Kenapa bu?” Teriak tangis Khadija memenuhi ruang tamu rumah agam Datuk Shamsudin dan Datuk Halimah.

“Mak Lang, tolong Mak Lang, kenapa ibu tiba-tiba begini? Mak Lang, kenapa ibu tolak Fahir? Mak Lang, cakaplah Mak Lang, saya perlu penjelasan! Mak Lang, kenapa Mak Lang diam, tolonglah Mak Lang!”.

Aku benar-benar serba salah. Kak Long saudara kandungku sedangkan Khadija juga darah dagingku.

Kepada Khadija dan Fahir, aku katakan belajarlah menanam pohon sabar anakku! Aku perlu lakukan sesuatu.

Sesuatu yang boleh menyejukkan api dendam Kak Long yang sudah sekian lama meratah saraf kehidupan Kak Long.

Jangan Kak Long, jangan biarkan api dendam itu membakar seluruh tubuh Kak Long! Bukankah api dendam itu telah menghantar Kak Long ke puncak kejayaan seperti hari ini? Khadija tidak bersalah. Khadija tidak faham apa yang berlaku hampir sesuku abad yang lalu.

“Alang boleh kata apa sahaja. Alang tak rasa apa yang Kak Long rasa. Sakit ni Lang, sakit di dalam ni..” Kak Long bersuara lirih sambil memegang dadanya kemas.

Suara Kak Long sarat dengan kesakitan yang sukar dimengerti.

Dalam. Mana mungkin aku tak faham. Mana mungkin aku tak mengerti.

Aku dan Kak Long membesar dalam dunia yang sama.

Aku dan Kak Long samasama ke kebun getah saban hari membantu emak dan bapa. Aku kenal warna susu getah sebagaimana yang Kak Long kenal. Aku tahu rasa gatal dan sakitnya digigit pacat sama seperti yang Kak Long tahu rasa. Aku kenal busuknya bau getah buku sama seperti yang Kak Long kenal.

Malah, aku juga tahu bagaimana membersihkan getah sekerap sama seperti yang Kak Long tahu. Kak Long, bukankah kita meniti titian usang yang serupa? Bukankah kita berlindung di bawah pondok bocor yang sama? Bukankah kita menyuap nasi berlaukkan ikan yang sama masinnya? “Alang, bezanya warna hitam itu terpalit pada wajah Kak Long bukan wajah Alang! Kalau Alang rasa sedih, Kak Long rasa hampir mati…” Suara Kak Long bergetar dalam.

Kak Long benar, warna hitam itu terpalit pada wajah Kak Long tapi dalam wajah Kak Long ada wajah Alang, ada wajah Angah, ada wajah Uda, ada wajah Ateh, ada wajah Acik, ada wajah Acu, ada wajah emak dan ada wajah bapa! Hampir tiga dasawarsa Kak Long bawa api dendam itu menyala. Kerap juga aku ingatkan Kak Long dendam dan cinta Abang Long telah membuatkan dia menawan dunia niaga yang penuh pancaroba.

“Abang, saya anak orang miskin, hina, merempat dan …” Kak Long meraung dalam kesedihan yang amat parah kurasa.

Kasihan Abang Long, hari pertamanya menjadi sebahagian keluargaku disambut dengan sejarah luka yang pahit. Namun, wajah jernih Abang Long persis isyarat setiap dugaan adalah kemanisan masa depan yang harus dirungkai maknanya oleh setiap manusia.

“Halimah, abang pilih kamu pun kerana kemiskinan hartamu tapi kamu ada kekayaan peribadi yang luhur. Bangun, berhentilah menangis, jangan biarkan air mata kamu siasia.” Bersama Abang Long yang sabar, tenang dan sangat mencintainya, Kak Long merangkak, bertatih, berjalan jatuh, berjalan dan akhirnya berlari mengutip satu persatu mutiara di sepanjang perjalanan hidupnya. Abang Long 10 tahun lebih dewasa daripada Kak Long pada pandangan mataku ialah lelaki matang yang berjaya menuntun tangan Kak Long bingkas daripada kesedihan yang berlarutan.

Abang Long yang mengasuh Kak Long erti berusaha dengan sabar. Satu persatu jenis perniagaan diusahakan, jatuh, bangun, jatuh semula, kembali bangun menjadi ramuan perjalanan hidup Kak Long. Betapa aku akur, luhur kasih Abang Long umpama nilakandi yang amat berharga buat seorang perempuan seperti Kak Long yang masa kecilnya sarat derita.

Kejayaan Kak Long dalam dunia niaga aku sambut penuh kesyukuran, paling penting Kak Long berjaya mengusir kemiskinan yang dimusuhinya sejak kecil seperti kata Kak Long, “… kerana kita miskin Lang, Wak Nab pandang harga diri Kak Long macam sampah …” Aku turut menyaksikan kedewasaan perjalanan hidup kami namun tatkala berpeluang bertemu, Kak Long masih sesekali membisikkan.

“Dendam Kak Long sampai mati Lang! Kak Long takkan maafkan orang tua itu, dia menjadi jelatang yang menjadi igauan benci dalam hidup Kak Long!” “Tapi Kak Long, peristiwa itu sudah lama berlalu. Dendam ni Kak Long, jika tidak dibunuh, ia akan membunuh kita.” “Bercakap lebih mudah daripada merasainya Lang.” “Tapi Kak Long, Khadija dan Fahir tidak bersalah.

Jangan hukum mereka kerana dendam Kak Long!” Aku merayu buat kesekian kalinya.

“Tapi Lang, Fahir cucu Wak Nab! Perempuan yang telah menginjak maruah dan harga diri Kak Long pada saat Kak Long mahu mengecap manisnya nikmat cinta, tidak kejamkah itu semua Alang? Kenapa, kerana kita miskin kan?” “Kak Long, kerana kemiskinan kita dipandang murah dan rendah di mata orang kan? Tapi, Alang berterima kasih pada kemiskinan masa silam kita. Kemiskinan telah mengasuh Alang jadi sedar dan tahu diri. Kemiskinan juga menjadikan Alang lebih kental berusaha. Kemiskinan harta emak dan bapa menjadikan Alang, Kak Long dan adik-adik kaya budi bahasa dan budi pekerti kerana hanya itu yang kita mampu beli waktu itu tanpa wang.

“Jika Alang tak rasa susah, miskin, merempat dan melarat, mana mungkin Alang tahu nikmatnya senang. Kalau Kak Long marah pada masa silam kita, Alang pula sangat berterima kasih kerana Tuhan beri kesempatan kepada alang untuk mengecap kemiskinan.

Kemiskinanlah yang telah membenihkan tekad sehingga Alang berjaya hari ini. Siapa tak kenal Datuk Halimah Jaskiran, tokoh usahawan berjaya?” Kak Long diam. Demikian selalunya perbincangan kami berakhir namun aku tak pernah mundur walau setapak.

Semakin tinggi gunung dendam Kak Long, semakin tinggi juga gunung hasratku untuk menyedarkan Kak Long bahawa api dendam perlu dipadamkan dengan cinta dan kasih sayang! Kerana kasih dan sayangku terhadap Kak Longlah yang menjadikan aku tak pernah undur memujuk dan terus memujuk.

“Kak Long masih ingat tak, waktu kecil Alang lambat pandai membaca kan tapi Kak Long dah pandai membaca masa tu. Alang masih ingat, Kak Long suka bacakan kisah-kisah nabi, kisah-kisah pejuang tanah air, Kak Long kata walaupun kehidupan nabi-nabi dan para pejuang negara kita penuh kesukaran namun tiada sekelumit dendam terhadap orang-orang yang menganiayai mereka. Kak Long masih ingat kan?” Kak Long terus diam. Barangkali larut dalam kenangan silam waktu kami benar-benar anak orang susah. Atau barangkali Kak Long sedar, aku sedang memancingnya ke lembah nostalgia yang kejap melandasi hidup kami.

Barangkali Kak Long kembali ingat, akulah satu-satu adiknya yang tidak jemu-jemu mendengar cerita-cerita Kak Long. Dan saban waktu akulah juga yang tidak letih membisikkan, padamkan api dendam itu Kak Long! Pagi yang manis aku diundang Kak Long ke rumah agamnya.

Kak Long kata Abang Long yang beria-ia mahu berbincang tentang perniagaan barunya denganku. Namun, ketibaanku disambut linangan air mata Khadija. Khadija, anak sulung Kak Long yang rapat denganku.

Pelukan Khadija yang erat bersama juraian air mata bagaikan isyarat yang hampir menggugurkan jantungku! Fahir, lelaki yang sepatutnya sudah menjadi tunangan Khadija juga ada bersama.

Kak Long duduk membisu di hujung ruang tamu rumahnya.

Seperti biasa, Abang Long yang tenang menyambut ketibaanku dengan senyum yang sukar kutafsirkan maknanya.

“Apa ni Kak Long? Apa semua ni Abang Long? Khadija mengapa menangis nak? Katakan Abang Long, masih gagal lagikah saya?” Bertalu- talu pertanyaan kuajukan kepada Abang Long.

Tiba-tiba Kak Long bangun dan memelukku erat. Esak tangis Kak Long yang hiba turut mengheretku bersedih.

“Terima kasih dik, terima kasih Lang, terima kasih kerana tak pernah letih ‘mengajar’ Kak Long. Alang memang seorang guru yang baik, benarlah kata arwah bapa, Alang nanti akan jadi seorang guru. Alang bukan sahaja seorang guru pada anak murid Alang tapi Alang telah menjadi guru terbaik kepada Kak Long.

“Terima kasih kerana menyedarkan Kak Long bahawa Abang Long adalah anugerah termahal pernah Kak Long terima. Terima kasih, Kak Long telah padamkan api dendam itu Lang. Terima kasih, terima kasih dik!” Air mata Kak Long yang hangat terasa basah di dadaku. Air mata yang sekian lama disimpan dalam gua dendam yang dalam! Khadija menghampiriku. Aku cium dahinya penuh kasih.

Sungguh benar, api dendam hanya dapat dipadamkan dengan kasih sayang yang luhur tapi bersabarlah kerana barangkali perjalanannya sangat panjang!


Cerpen Cinta: Kaulah Mata Hatiku

Mac 10, 2008

Oleh Siti Sohaidayati Sohib

Deburan sang ombak yang tidak jemu-jemu menghempas pantai dapat kurasai percikannya dengan hujung kaki. Di dalam kegelapan ini, hatiku berilusi, memanifestasikan fatamorgana indah ciptaan Tuhan biarpun ia terlalu jauh daripada pandangan panca indera.

“Seri …” Arshad bersuara, cuba menarik perhatianku.

Bau haruman berjenama Davidoff yang begitu semerbak menandakan Arshad sedang berdiri tidak jauh dariku.

“Ada apa Shad panggil Seri?” Aku mengulumkan senyuman, cuba mencari-cari dari mana arah bunyi suara lelaki yang telah kukenali semenjak tiga tahun yang lalu sewaktu kami sama-sama menuntut di menara gading.
“Seri sukakan tempat ni?” Dia mengajakku untuk terus berbicara.

“Suka, tempat ni sejuk, banyak angin tapi sayangnya Seri tak nampak,” balasku jujur.

“Tapi Seri boleh menafsirkannya dengan mata hati kan?” Arshad mengajukan pertanyaannya.

“Hmm tapi tak sejelas seperti mereka yang mampu melihat,” kataku lirih.

“Seri, kalau Shad jadi ombak, Seri akan jadi apanya?” Soalan dari bibir Arshad itu kurasakan persis pertanyaan yang selalu diutarakan oleh anak-anak kecil.

“Merepeklah Shad ni.” Aku membalas acuh tak acuh.

“Seri, jawablah untuk Shad, Shad teringin nak dengar jawapan dari mulut Seri…” Rayuan Arshad cukup membuatkan aku tertawa geli hati.

“Shad kan kawan baik Seri. Kalau Shad dah rela sangat nak jadi ombak, Seri kenalah jadi pantainya, takut-takut kalau tak ada pantai nanti ombak tu jadi tsunami pula,” gurauku sambil ketawa panjang.

“Habis, kalau Shad jadi kumbang? Seri sudi ke jadi bunganya?”

Pertanyaan Arshad itu membuatkan aku terdiam. Kaku dan kelu seribu bahasa.

“Seri…” Kali ini Arshad menggapai jari jemari halusku lalu digenggam mesra.

“Shad tak nak kehilangan Seri walaupun sedetik dan sebenarnya Shad ingin melamar Seri untuk dijadikan suri di dalam hidup Shad.”

Genggaman tangannya di jemariku tambah erat.

Aku kaget lalu tunduk cuba menyembunyikan wajah daripada pandangan mata Arshad sambil mencari-cari kalimah terbaik untuk membalas bicaranya yang sungguh jauh daripada jangkaan hatiku.

“Seri, Shad dah lama menyintai Seri dalam diam.” Luahan Arshad itu membuatkan aku diulit resah.

“Shad, Seri tak tahu sama ada sekarang ni, Seri yang buta atau Shad sebenarnya yang buta. Shad kan tahu yang Seri ni cacat…! Tak sesempurna dan seayu wanita lain.”

Aku meluahkan segala ketidakpercayaanku pada setiap kata-kata Arshad.

“Tidak sayang. Kalau selama ini Seri tak dapat melihat, biarlah Shad yang akan menjadi mata untuk menyuluh hidup Seri buat selama-lamanya. Shad sungguh-sungguh menyintai Seri.” Lelaki itu mengulangi lagi kalimah cintanya.

“Shad, Seri tak sangka sejauh itu perasaan Shad terhadap Seri. Bermadah itu memang mudah dilafazkan dari lidah tapi hakikatnya Seri takut kalau suatu masa nanti Shad yang akan menyesal tak sudah.” Aku cuba menyedarkan Arshad daripada terus dibuai lena.

“Seri, dengarlah! Ini adalah keputusan seorang lelaki yang bernama Arshad Hakimi, Shad tak sanggup berpisah dengan Seri. Jawapan soal hati ini ada pada hati Seri sendiri.

“Beristikharahlah, semoga Tuhan benar-benar memberikan petunjuk pada Seri yang kehadiran Arshad ni memang dititipkan untuk menemani dan menyuluhi kegelapan hidup Seri,” tegas Arshad panjang dan penuh makna.

Bunyi gurauan sang ombak di bibir pantai masih kuat mendesah. Begitu juga persoalan hati yang baru dibahaskan oleh Arshad sebentar tadi. Bicaranya terlalu mengocak ketenangan dan meninggalkan buih-buih resah di tubir hati.

Malam makin gelap. Segelap pandanganku ini. Aku tahu di luar sana pasti ada sinar rembulan tetapi sinaran indah itu tidak mungkin sampai ke mata hatiku kerana ia sudah digerhanai resah.

Aku buntu. Bukan mudah untuk membalas cinta Arshad lantaran aku belum mencapai impianku. Sedari kecil, aku memang bercita-cita untuk menjadi seorang guru namun lantaran aku dilahirkan daripada golongan orang kurang upaya, bidang profesional itu masih belum terbuka untuk orang yang senasib dengan diriku.

Segulung ijazah yang aku miliki dalam jurusan Sains Soisal juga masih belum menjanjikan sebarang jenis kerjaya yang sesuai dengan keadaan diriku ini.

Sesungguhnya hasrat yang tertarik di hati kecilku ini ialah ingin menjejaki jejak langkah ayah dan ibu yang menyandang jawatan sebagai seorang guru dan mendidik anak bangsanya. Hasrat itu juga pernah kusuarakan kepada Arshad dan dia sungguh berbangga dengan impian murniku.

Sebagai seorang wanita juga, aku akur dengan fitrah alam. Setiap wanita pasangannya adalah lelaki. Di sebalik kecacatan kekalku ini, suatu masa nanti aku juga mempunyai naluri untuk hidup bersama seorang insan yang dipanggil suami, riuh dikelilingi cahaya mata dan berbahagia hingga ke akhir hayat.

Namun, apakah ada lelaki berjiwa luhur yang mampu menerima diri ini seadanya? Persoalan itu mengingatkan aku tentang lamaran Arshad tempoh hari.

Sesungguhnya aku tidak pernah menatap wajah Arshad apatah lagi menafsirkan renungan dari sinar matanya untuk mengukur sejauh mana kejujurannya terhadap diriku. Aku cuma mengenali suara garaunya dan mengecam kehadirannya melalui bau haruman yang sering dipakai ketika dia bersamaku.

Ada kalanya juga, jika dia sudah lama tidak menjengukku, terbit jua rasa rinduku pada lelaki itu. Malangnya, aku tidak mampu membaca bahasa cintanya yang terpamer di sebalik keprihatinannya meladeni setiap kerenahku.

“Apa perlukah aku menukar nama Arshad daripada seorang insan yang bernama sahabat kepada seorang lelaki yang bergelar kekasih?”

Kewarasan akalku cuba berbicara pada hati. Akhirnya hanya resah dan buntu yang datang tanpa henti.

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui segenap zahir dan batinku dan tidak ada satu urusan pun daripada setiap urusanku yang tersembunyi oleh-Mu. Berikanlah aku petunjuk seandainya pilihan ini baik untukku pada agamaku, duniaku dan kesudahan urusanku pada masa kini dan masa akan datang.”

Sepotong doa kudus itu kupanjatkan sebelum mengakhiri solat istikharah di hujung dinihari yang kian sepi.

Semilir yang datang dari samudera nan luas masih setia bertiup nyaman. Sesekali kedengaran siulan sang camar yang berselang-seli dengan desahan ombak.

“Seri..” Arshad menggapai tangan kananku.

“Cuba Seri teka, apa agaknya benda ni?” Arshad meletakkan sesuatu di telapak tanganku.

Aku cuba mengecam benda tersebut dengan sentuhan jari.

“Hmm, ini pasti cengkerang siput kan?” Aku cuba menebak.

“Betul, sayang.” Sejak dari hari pertama Arshad melamarku tempoh hari, acap kali perkataan sayang itu begitu mudah bermain di bibirnya.

Aku hanya mengangguk tanpa sepatah bicara.

“Seri, cuba Seri teka benda apa pula ni?” Arshad meletakkan benda lain di telapak tanganku.

Jemariku menyentuh permukaan kotak baldu berbentuk bulat yang lembut dan rata. Melihatkan aku yang tidak dapat menjawab tekaannya, dia mengambil semula benda tadi dari tanganku.

Kali ini dia meletakkan sebuah objek besi yang berbentuk bulat. Aku cuba meraba. Terasa ada bonggolan kecil di tepi objek besi yang bergelang kecil itu.

“Shad, apa ni? Shad nak main-mainkan Seri, ya?” Aku makin keliru kerana tidak mampu meneka nama objek yang sebenar.

“Seri, ini cincin emas, ada sebutir permata putih jernih di tengah-tengahnya. Cincin ni memang Seri punya. Shad hadiahkan sebagai tanda pernikahan kita nanti.” Arshad memadamkan kekeliruanku.

“Sebenarnya Seri tak boleh terima cincin ni, jari manis Seri tak sesuai memakai cincin yang secantik ini.” Aku menggeragapi tangan Arshad dan mengembalikan semula cincin itu ke telapak tangannya.

“Seri, kenapa Seri tolak cinta Shad? Shad ni memang tak cukup layak ke untuk Seri?” Arshad seakan-akan memberontak dengan tindakanku sebentar tadi.

Aku bungkam, tercari-cari kata-kata yang paling sesuai untuk dilontarkan.

“Shad, bukan Seri tak dapat menerima cinta Shad tapi Seri ingin mencapai impian Seri. Seri nak jadi cikgu, itu kan hasrat dan cita-cita yang Seri idam-idamkan selama ini.” Aku cuba memohon sedikit pengertian daripada lelaki itu.

“Baiklah, kalau macam tu, cuba Seri teka lagi, apa pula benda yang ini?” Arshad masih mahu meneruskan teka-tekinya.

Beberapa helai kertas yang tebalnya tidak sampai satu inci diletakkan di atas ribaanku.

“Apa lagi ni, Shad?” Aku sudah tidak sanggup dikelirukan lagi.

“Ini borang permohonan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah, Shad akan tolong Seri isikan borang ni. Kalau permohonan ni diterima dan Seri dah berkhidmat sebagai seorang guru, Shad akan terus menikahi Seri.” Arshad menerangkan satu persatu.

“Terima kasih, Shad.” Hanya itu yang mampu aku terjemahkan kerana seluruh hatiku saat ini sudah dibaluti dengan sejuta kegembiraan yang tidak mampu kugambarkan dengan kata-kata.

Irama desiran ombak yang tidak lekang membasahi persisiran pantai masih senada alunannya seperti dahulu. Sang camar juga masih bebas berterbangan dengan riuh kicaunya yang sentiasa riang.

Tiga tahun telah berlalu. Biarpun begitu pantas putaran waktu, aku masih sama dengan Seri yang dulu. Seri yang dilahirkan dengan sepasang mata buta. Namun sesuatu yang tidak boleh disangkal ialah, wanita buta ini adalah isteri kepada Arshad Hakimi, seorang ibu kepada sepasang anak kembar yang sempurna deria penglihatannya dan apa yang lebih membanggakan, aku kini seorang guru yang berkhidmat di sebuah Sekolah Khas Cacat Penglihatan.

Ribuan terima kasih kupersembahkan buat suamiku, Arshad Hakimi yang tidak pernah kenal rasa jemu meminjamkan sepasang matanya untukku.

Puji dan syukur tanpa henti kupanjatkan ke hadrat Ilahi kerana memberikan aku sejalur cahaya di sebalik kegelapan yang maha pekat ini.
 


Cerpen Cinta: Yes Sir!

Februari 21, 2008

Oleh Noor Aisyah Mokhtar

ORANG kata, jangan benci sangat pada seseorang, kelak kita akan menyintainya separuh mati. Walau tidak termaktub dalam kitab, namun kata-kata inilah yang diperturunkan dari generasi ke generasi.

Pepatah Inggeris pula ada menyebut, it takes a second to know someone, a minute to like someone, an hour to love someone but it takes the rest of your life to forget your love ones. Tiada kajian saintifik membuktikan kesahihannya kerana proses kehidupan manusialah yang menjadi saksi kebenaran pepatah tersebut.

Kata orang, cinta pertama sukar dilupakan walau datang cinta lain kemudiannya. Aku menyangkal. Perjalanan hidupku membuktikan sebaliknya. Tidak semua orang bertuah memiliki cinta pertama sebagai cinta sejati. Bagiku, cinta pertama untuk dikenang. Cinta yang datang kemudiannya mungkin cinta sejati.

Kita tidak tahu bila kita akan bertemu cinta sejati kita. Mungkin pada cinta pertama, kedua, ketiga atau akhirnya kita menyedari bahawa cinta sejati kita hanyalah pada Ilahi. Namun aku bersyukur kerana cinta sejatiku pada Penciptalah yang mempertemukanku dengan insan yang salah dahulu sebelum menemui cinta sejatiku.

Usiaku genap 22 tahun tiga hari lepas. Aku punya kisah cinta yang padan dengan pepatah tersebut. Ya, kerana bencilah aku menahan rasa cinta separuh mati kini. Walaupun baru kutinggalkan hampir empat bulan lalu, aku yakin dan percaya, cinta itulah yang akan terus kukenang selamanya.
Dia, banyak mengajarku bidang ilmu yang kucintai, arkitektur. Dia dengan sinis, sering menegurku tanggungjawab dan peranan seorang insan. Dia, kutinggalkan bersama kenangan. Pastilah kerana cintaku ini pernah bergelar pensyarahku, juga mantan suamiku.

“Saya cabar awak.”

“Saya cabar awak kahwin dengan saya sebaik saja awak habis belajar, which means in this three months time. It’s just a challenge. If you aren’t dare to, i bet you to tell me all the reasons why you hate me so much. Well, what would you say?”

Cabarannya langsung tidak mengujakan namun ayat terakhirnya benar-benar mencabarku. Aku terima cabarannya asalkan dia juga menyahut cabaranku - kecuali ketika upacara membatalkan wuduk di majlis akan nikah, aku mencabarnya agar tidak langsung menyentuhku. Saat dia menyentuhku, talak jatuh ke atasku. Dengan wajah selamba dan senyuman sinis, dia menyahut cabaranku. Termeterailah perjanjian kami malam itu bersaksikan rakan-rakanku. Gila.

Lawatan akademik yang paling menyayat hati. Rakan-rakan menghakimi perbuatanku. Pelbagai pertanyaan mereka lontarkan. Pulang dari Bali dan kembali meneruskan pengajian, saban hari mereka memujukku melepaskan cabaran. Asal saja Encik Zhafran mengajar, suasana janggal. Kerap dia menghasutku dengan sinis supaya melepaskan cabarannya. Lemas, kadangkala berasa hampir tewas namun janji tetap janji. Aku mahu lebih tabah, lebih kuat. Cukuplah kisah lama.

Hakikatnya aku tidak tahu salahku hingga begitu sekali dia membenciku. Aku hanya insan biasa dengan rutin hidup normal, suka mengelamun dan tiada keistimewaan lain.

Seingatku, hari pertama semester ketiga, dia hadir memperkenalkan diri sebagai Encik Zhafran, mengajar reka bentuk seni bina. Panggilan formal dan santai, Sir Zhafran. Satu tabiatnya, setiap kali dia bertanya ya atau tidak, kami perlu menjawab, “Yes sir!” atau “No Sir!” dengan tegas. Aneh.

Entah mengapa, setiap kali dia menyebut namaku, Aisyah, aku rasa menyampah. Walaupun begitu, aku tetap menghormatinya. Dia prihatin dengan kerjaku, tidak pernah sekalipun dia mungkir singgah di mejaku ketika sesi tutorial. Komennya yang tegas dan membina menyenangkanku. Realitinya, dia juga penyumbang kepada kejayaanku beroleh A dalam subjek tersebut. Untuk itu, aku amat berterima kasih.

Entah mana silapnya, sikap ramah dan prihatinnya terhadapku cuma bertahan satu semester sahaja. Menginjak ke semester keempat, ada saja sikap dan perbuatanku yang tidak kena di matanya. Sesi tutorial, dia tidak lagi singgah di mejaku. Sesi pembentangan, dia jarang menumpukan perhatian namun banyak pula komen dan sindirannya. Kadangkala, terasa seperti diaibkan.

Rakan-rakan menyuruhku bersabar. Mereka juga hairan dengan perubahan tingkahnya terhadapku. Aku muhasabah diri, mencari khilaf yang mungkin menggurisnya. Namun aku buntu. Perasaanku yang sedih dengan perlakuannya bertukar benci lalu aku juga bersikap dingin terhadapnya.

Benar, kebencian bernanah andai kita tidak merawatnya. Setahun dibiar, akhirnya ‘nanah’ itu pecah lalu terluahlah segala kebencian. Malam persembahan kebudayaan Malaysia - Bali menjadi saksi kebencian kami yang akhirnya bertukar tragedi. Dalam amarah, kami saling mencabar disaksikan rakan-rakan. Aku akan pastikan kemenangan milikku.

Menghormati syariat dan adat, dia melakukan semua yang sepatutnya - menghantar rombongan dan merancang majlis. Ibu tergamam tatkala cincin emas dihulurkan Datin Afifah. Bila ditanya, tenang saja kami menjawab, dah jodoh. Kami memang pandai berlakon, mesra dan ramah di khalayak ramai.

Rabu, peperiksaan akhir tamat. Sabtu, hari ‘bahagiaku’ menjelang. Majlis akad nikah bersekali resepsi disambut meriah. Tidak henti-henti aku menguntum senyum ‘bahagia’. Pastilah, sebentar nanti aku akan memenangi cabaran ini. Hatiku ketawa puas.

Selepas Zuhur, bersaksikan seluruh ahli keluarga, pensyarah dan rakan-rakan, kami diijabkabul. Saat bertentang mata dengannya dan menguntum senyum, aku sayu. Walaupun sekadar permainan, akhirnya aku bergelar isteri. Bodohkah aku?

Cabaran bertukar tangan. Kehidupan kami unik. Tiada bulan madu. Di kondonya, kami tinggal berlainan bilik. Dingin dan terasing. Tiada interaksi yang kerap, bertegur sekadar bertanya perkara yang patut, mengejutkan Subuh atau saling menyindir. Makan biasanya asing, dia di dapur dan aku di hadapan televisyen. Aku menjalani kehidupan yang bahagia sepanjang menyiapkan tesis akhir pengajian bersama ’suamiku’. Dia juga berpegang pada janji. Aku rasa selamat walau tidak mengunci pintu bilik di malam hari.

Keadaannya yang demam teruk satu pagi sebulan selepas pernikahan kami menyedarkanku. Dalam demam dan batuk, dia berkeras tidak mengizinkanku menyentuhnya, bimbang nanti jatuh talak. Gila aku dibuatnya. Kutegaskan sekali lagi syarat cabaran, hanya dia yang tidak boleh menyentuhku, bukan aku. Selama tiga hari menjaganya, aku menyediakan makanan, menyuapkan ubat, menuam dahinya, mengelap badannya malah menemankannya hingga tidur. Kami cuma diam, kadangkala aku perasan genangan air matanya. Sepanjang itu dia berusaha tidak menyentuhku. Betapa dia berpegang pada janji. Aku bungkam. Mengapa?

Selepas dia pulih, kehidupan kami kembali normal. Runsing dengan sikapnya dan tertekan menyiapkan tesis, fikiran dan kesihatanku terganggu. Walaupun demam, aku nekad menyudahkannya. Gagal. Panas badan menghentikanku. Tinggal beberapa muka lagi ketika aku tertidur di depan komputer pukul empat pagi. Jam satu petang terjaga, aku panik. Komputerku ditutup. Pandanganku menangkap tiga buah buku berkulit keras siap dijilid dengan namaku di atasnya. Kusemak hingga helaian terakhir. Itu tesisku! Semua fakta dan hujah yang kulakarkan disampaikan dengan terperinci, padat dan lengkap dengan gambarajah. Sebahagiannya bukan kerjaku, pasti kerja dia.

Maaf saya siapkan, takut awak tak sempat hantar sebelum pukul 5. Jangan risau, saya bukan pensyarah penilai. Makanan dah disediakan, makanlah. Kalau tak larat drive, call me, i’ll fetch you. I’m half day today. So then, take care. Again, sorry.

-Zhafran-

Nota kecil tersebut membuatkanku terjelepok ke lantai. Aku menangis, meraung kecil. Geram dan menyampah, sebal. Cukuplah!

Tiga bulan sebumbung dengannya, aku tidak sanggup berpura-pura lagi. Aku perlu segera keluar dari rumahnya dan hilang daripada pandangannya. Aku tak mampu terus bersamanya. Aku nekad menerima tawaran belajar ke Glasgow. Tanpa perasaan, kunyatakan hasrat dan minta dia melepaskanku dengan alasan aku ingin mencari cinta pertamaku. Lama dia diam, kemudian mengangguk dan berlalu. Ibu bapaku hanya kuberitahu tentang hasrat menyambung pengajian.

Lapangan terbang menyaksikan pertemuan dan perpisahan. Di sini juga ada ketawa dan air mata. Dan malam itu, aku ditemani keluarga dan Zhafran. Dia banyak mendiamkan diri, sekali-sekali melayan adik-adikku dan tersenyum memandangku. Saat perpisahan, aku menyalami seluruh ahli keluargaku. Sampai giliran Zhafran, keluargaku menjauh. Hanya aku dan dia. Tiba-tiba, dia menyentuhku, menarik tanganku bersalam dengannya. Hatiku luruh. Perlahan-lahan kutunduk mencium tangannya. Air mataku bergenang. Bangkit semula, dia mencium dahiku lama. Dengan perlahan, dia berbisik, “Saya lepaskan awak. Carilah cinta awak. Saya doakan awak bahagia.”

Lambaian terakhirku pada mereka disertai deraian air mata yang deras mengalir. Aku sebak, amat. Hingga mereka hilang daripada pandangan, aku hanya nampak Zhafran dan senyuman ikhlasnya. Aku menangis dan menangis. Aku mengerti segala yang berlaku, aku yang memintanya. Namun hatiku benar-benar pedih. Tamatlah cabaran, perjanjian dan hubungan kami. Tapi aku pasti, sesuatu telah lama lahir dalam hatiku. Sebelum berlepas, nombor Zhafran kudail. Lama baru kudengar suaranya. Hatiku pedih.

“Kita kalah. Tapi saya kalah teruk bila awak tak tanya alasan membenci awak.

“Sir, i hate you. I have to since i realized that i’ve fallen into you the second you call out my name years ago and i can’t believed it.

“Saya bukan gadis suci. Memang saya masih dara tapi Ashraf dah terlalu banyak menyentuh saya. Saya kesal dan saya bertaubat. Tapi saya rasa jijik, benci diri sendiri. Saya tak layak untuk sesiapa. Untuk itu, saya tak sanggup menyintai awak. Lepas kahwin, saya semakin membenci diri kerana saya sedar awak sayangkan saya. Tapi saya tak layak untuk awak!” Aku teresak.

“I’m sorry i love you sir. But i’m so sorry i can’t love you. Take care.”

*****************

Cintaku berakhir di situ. Di bumi Inggeris ini, aku belajar mengubati hati, menyibukkan diri dengan tugasan dan kuliah. Aku jumpa Ashraf, dia sudah berubah, juga minta kukembali padanya. Maaf, hatiku bukan lagi untuknya. Sesekali ingatanku melayang mengenang Zhafran. Kadangkala termimpikannya dan apabila sedar, aku menangis.

Sejak di KLIA, kami sudah tidak berhubung. Mungkin dia juga sepertiku, ingin melupakan satu sama lain dan memulakan hidup baru. Melupakan? Semakin kuberusaha, semakin kusedari betapa kumerinduinya.

Petang Khamis itu, aku bersiap ke masjid untuk bacaan Yassin. Musim luruh yang nyaman menenangkan hatiku tatkala menyusuri jalan. Pemandangan hijau dan lautan langit biru mengasyikkanku. Bam! Berpinar kepalaku terlanggar tiang lampu di tepi kawasan masjid. Dahi kugosok, cuba mengesan sebarang perubahan.

“Langsung tak berubah, suka mengelamun.”

Aku tersentak lalu berpaling ke arah suara itu. Wajah yang kurindui itu kini di hadapanku, sedikit cengkung.

“Ikut saya.” Zhafran terus menarik lenganku dan mengheretku ke pintu masjid. Agak ramai orang di dewan utama. Dia berpusing memandangku. Matanya menjilat wajahku lama. Aku diam, berdebar.

“Saya tahu awak ada banyak soalan tapi kita boleh cerita nanti. Sekarang ni, saya nak kita masuk dalam dan nikah semula.”

Jantungku seolah terhenti. Kutatapnya dalam. Tanpa sedar aku menapak selangkah ke belakang.

Dia menghela nafas. “Aisyah, awak tahu tak saya dah lama sayangkan awak?”

“Setiap kali saya panggil nama awak, hati saya berdebar. Saya rasa bersalah, saya tak patut jatuh cinta pada pelajar sendiri. Sebab itulah saya dingin terhadap awak untuk mengurangkan rasa bersalah saya. Tapi tak sangka perbuatan saya menyusahkan hingga awak membenci saya. Malam tu di Bali, sebenarnya saya melamar awak takut-takut. Tapi lain pula jadinya.”

Aku tergamam dengan penjelasannya.

“Semua orang buat kesilapan Aisyah, saya pun. Tapi yang penting ialah cara kita menanganinya, siapa kita pada hari ini dan apa kita nak jadi nanti. Kisah silam awak langsung tak mencacatkan perasaan saya terhadap awak.” Dia berhenti.

“Sebulan saya di sini mencari awak, mengikuti rutin harian awak, memandang awak dari jauh. Saya tunggu awak habis edah. Saya tak nak rujuk, nanti kena sambung cabaran dulu. Saya nak nikah semula dengan awak, saya nak awak jadi isteri saya semula.”

Matanya bergenang. “Saya bukan malaikat. Tak ada satu ketika pun saya tak rasa nak sentuh awak. Bila awak tidur, saya masuk bilik tengok awak. Saya teringin usap awak, teman awak tidur. Saya geram tengok awak ketawa depan TV. Dulu masa awak jaga saya, saya rasa susah sangat. Saya sedih kenapa kita jadi macam tu.”

Terdengar esakan. “Aisyah, i need you, i love you so much. I can’t be apart from you anymore. Will you take your stupid ex-hubby as your real husband again?”

Terlalu pantas dan mengejutkan. Sebak dan terharu. Lidahku kelu, air mataku sedari tadi tidak berhenti. Lama kuterdiam, cuba mencerna kata-katanya.

“Aisyah, yes or no?”

Lamunanku tersentak. “Yes sir! I do!”

Opss! Dia senyum. Aku tunduk malu.

Orang kata, jika kita cintakan seseorang, bebaskan dia. Jika dia kembali, maknanya dia memang tercipta untuk kita. Aku melepaskan Zhafran namun dia kembali semula padaku. Dia menyedarkanku bahawa kita tidak boleh pilih dengan siapa kita hendak jatuh cinta. Dia membuatkan aku yakin pada diriku. Banyak perubahan berlaku padaku sepanjang mengenalinya. Dia membuatkan aku percaya, sesiapa jua berhak untuk bahagia kerana bahagia diusahakan oleh kita sendiri.

Luahkan hasrat dan impian kita dengan ikhlas dan berusaha memperolehinya. Tiada doa yang tidak didengar, tiada usaha yang disia-siakan. Percaya pada diri dan hati kita. Cintailah diri dan cintailah segala yang kita ada, jangan persiakannya. Oleh itu, Zhafran, terima kasih untuk segalanya.

“Aisyah sayang, where are you dear? Come here honey, i need your help.”

“Yes sir!!”


Cinta Seindah Langit

Februari 20, 2008

Mohd Khairul Riza Tuan Mohd Yusop

RUMAH banglo dua tingkat. Angin bertiup menyapa balkoni. Panas petang terasa-rasa. Ain menyelak helaian demi helaian novel yang ditatap sejak pukul tiga tadi. Diletakkan sebentar di atas meja. Merehatkan mata. Ain mendepang tangan. Mengeliat. Rambut yang terurai dihembus lembutnya angin.

“Ain, ada surat untuk Ain.”

Ain menjengah ke bawah. Kelibat posmen bermotosikal merah baru sahaja berlalu. Yanti menunjuk-nunjuk sesuatu yang berada di tangannya. Surat untuk akukah?

**************
“Ini untuk cikgu.”

Ain memandang Ipin yang mengunjukkan kepadanya seikat petai.

“Petai?” tanya Ain sambil memerhati Ipin yang kusut-masai. Berkasut selipar, dengan baju sekolah yang sudah kusam.

“Ayah bagi,” jawab anak kecil itu. Tangannya masih menghulur petai yang masih belum diambil Ain.

Ain jadi kasihan. Tangannya lantas menyambut huluran anak itu. “Cakap pada ayah, cikgu ucap terima kasih.” Ipin angguk-angguk.

“Cikgu, terima kasih kerana pujuk ayah saya,” ucap Ipin.

“Sama-sama. Berterima kasih juga pada abang Zehran.”

Ipin angguk-angguk. Kemudian Ipin lari menyertai kawan-kawannya. Mata Ain mengekor setiap langkah Ipin. Budak lelaki berambut kerinting dengan beg kain berwarna hijau tua kelihatan girang apabila menyertai kawan-kawan sebayanya. Ain senyum.

“Membalas budi?” tiba-tiba sahaja Ruqayah menegur. Ain terkejut. Dia menampar lembut Ruqayah. Ruqayah senyum.

“Bukan membalas budi. Tapi berbahasa. Adat memberi dan adat membalas,” balas Ain.

“Masak sambal tumis petai,” Ruqayah memberi cadangan.

“Kau yang masak ya.”

“Kenapa? Orang bandar tak pandai masak tumis petai.”

“Aku orang bandar yang kampung.”

“Apa-apa sahajalah,” balas Ruqayah sambil berlalu meninggalkan Ain yang masih lagi tercegat.

“Aku ajak Zehran makan bersama kita ya. Biar dia rasa sambal tumis petai buatan kau.”

Ain membulatkan matanya mendengarkan kata-kata rakan serumahnya itu.

***************

“Mama menangis?”

Ain hairan melihat mamanya berlinangan air mata.

“Dahulu lagi papa dah beritahu. Tak perlu ambil kursus perguruan tapi Ain degil. Sekarang tengok apa sudah jadi. Bukankah lebih baik Ain uruskan sahaja syarikat papa,” Dato’ Ahmed mencelah.

Ain lihat papanya.

“Oh ini pasal surat tadilah.” Ain mula mengerti kenapa rumahnya kelihatan muram sahaja.

“Tak payahlah pergi Ain. Mama risau. Lagipun tempat yang Ain nak pergi itu pedalaman. Mama takut Ain tak boleh suaikan diri nanti.”

“Mama, Papa, ini tugas seorang guru. Lagipun Ain suka apabila dapat mengajar di sana. Memang sudah jadi impian Ain untuk membantu anak bangsa kita.”

“Suka. Mengajar anak Orang Asli di perkampungan Orang Asli.”

“Mama, Ain ibarat benih. Dihantar ke mana-manapun dia akan tumbuh. Cuma doa mama dan papa sahaja yang berupaya menyiram benih itu untuk tumbuh subur.”

Datin Maria merenung anaknya. Dirangkulnya Ain. Mereka berpelukan. Ain juga menitis air mata.

***************

Masih lagi menggunakan kapur. Papan hitam berlubang sebelah kiri. Kerusi meja berselerakan. Lantainya hanya bersimen. Ain menghulurkan senyuman kepada anak muridnya. Hanya lima orang. Tiga perempuan dua lelaki.

“Bangun. Selamat pagi cikgu.” Seorang anak murid lelaki yang berkulit hitam bangun mengucapkan hormat. Empat yang lain turut mengikut apa yang dikatakan oleh murid lelaki tersebut.

“Selamat pagi,” balas Ain.

Ain ke mejanya yang sedikit berhabuk. “Menyesal? Aku tidak pernah menyesal,” bisik hati kecilnya.

“Mana kapur tulis?” tanya Ain.

Seorang murid bangun. “Kapur tulis dalam meja.”

Ain memandang murid tersebut.

“Kamu Ipin?” tanya Ain lagi.

Murid tersebut mengangguk.

“Terima kasih kerana tumpangkan cikgu semalam.”

*****************

“Kalau begitu kita putus sahaja ikatan ini,” luah marah Imran.

Ain terpana. Tiga tahun bercinta sesenang itu sahaja Imran memutuskan apa yang cuba dipertahankan selama ini.

“Putus disebabkan pendirian aku ini sahaja.”

“Selalunya keputusan kau tidak cocok dengan aku.”

“Hei Imran kenapa selama ini kau tak nampak ketidakserasian kita? Kenapa sejak daripada dulu sahaja kau tidak putuskan ikatan ini?” Ain membalas marah.

“Kau yang tidak membuatkan kita serasi.”

Ain mengetap bibir. Imran sudah melampau. Hanya kerana tindakan aku menerima tawaran mengajar di sana sahaja, Imran terus membuat keputusan sebegitu.

“Kau tahu tentang cita-cita aku kan. Baiklah kalau itu yang kau pinta aku terima keputusan engkau. Di sana ada ramai lagi yang akan menerima kehadiran aku dalam hidup mereka.”

“Carilah Orang Asli sebagai kekasih baru kau,” jerit Imran.

“Jangan menghina, Imran,” kali ini Ain telah kenal wajah sebenar Imran.

****************

Mujurlah beg yang diisi pakaiannya tidak besar. Jadi tidaklah berat sangat beban yang ditanggung. Dia juga bernasib baik kerana telah diberitahu terlebih dahulu oleh guru besar tempatnya akan mengajar. Guru besar itu memberitahu perjalanan masuk ke perkampungan Orang Asli tersebut agak jauh. Jadi, janganlah bawa banyak barang.

Ain berhenti sebentar. Dia duduk pada akar pokok. Ain lihat kasutnya berselut merah. Baju yang dipakainya basah dek peluh.

“Letihnya. Tapi letih lagi aku bercinta dengan Imran selama ini.” Ain senyum sendiri.

Baginya, potret Imran sudah lama dibuang jauh. Dia mahu membina lukisan hidup yang baru. Ain angkat beg. Dia mahu meneruskan perjalanan. Jika dia menunggu petang tentunya panas akan tiba.

Ketika Ain melangkah, sebuah motosikal menghampirinya. Motosikal itu berhenti berdekatan dengannya. Penunggang motosikal yang tidak memakai baju itu berwajah serius. Dia membawa beberapa potong rotan. Seorang anak kecil di belakangnya. Duduk di atas potongan rotan tersebut.

“Pergi mana?” lelaki tersebut bertanya.

“Pergi sekolah rendah sana. Saya guru baru di situ,” jawab Ain teragak-agak.

Tali begnya dipegang erat. Dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang buruk.

“Jauh lagi. Kena jalan jauh lagi,” beritahu lelaki itu.

“Tak mengapa,” balas Ain.

“Naik motor.”

“Hah! Naik motor.” Ain terkejut mendengar pelawaan lelaki itu. Naik motor dengan lelaki Orang Asli yang tidak berbaju itu.

“Oh tidak, aku lebih rela berjalan kaki,” bisik hati Ain.

Lagipun mana ada ruang sudah. Motor tersebut telah penuh diikat dengan rotan. Anaknya pun terpaksa duduk di atas batang rotan.

“Eh, tak mengapa pak cik,” Ain cuba menolak apabila lelaki tersebut turun daripada motosikalnya.

Rotan yang dibawanya dilempar ke tanah. Anak lelaki tersebut juga sudah turun. Lelaki itu merenung Ain. Ain jadi takut. Ain tidak selesa.

“Bukan naik dengan aku. Naik dengan dia,” lelaki tersebut seakan mengerti apa yang difikirkan Ain.

“Dengan anak pak cik.” Ain terkejut apabila lelaki itu menunjuk ke arah anaknya yang tersengih sejak daripada tadi.

“Dia pandai bawa motor. Sekolah itu jauh lagi.”

Ain serba salah. Jika sekolah itu jauh lagi dia perlu naik motosikal dengan anak lelaki tersebut. Dia sudah penat berjalan. Anak lelaki tersebut tersengih menunggu dia membuat keputusan.

******************

“Saya Zehran. Renjer hutan di kawasan ini,” pemuda yang berpakaian seragam hijau memperkenalkan diri.

Ain lihat Ruqayah mengerling kepadanya.

“Zehran ini dah lama di sini. Dialah yang menolong aku masa mula-mula datang dahulu,” terang Ruqayah. Ain angguk-angguk tanda mengerti.

“Saya harap Cik Ain tak macam guru-guru lain. Berpindah ke sini kemudian minta tukar sebab tak tahan dengan suasana sekitar. Semua mahukan keselesaan. Saya kasihan tengok anak-anak di sini.”

“Insya-Allah saya akan menjalankan tugas sebaik mungkin,” Ain seolah-olah berikrar sebuah janji.

Zehran tersenyum. Nampak lesung pipitnya. Hati Ain tenang melihat wajah Zehran. Entah kenapa apabila memandang wajah Zehran hatinya menjadi tenang. Semua kesedihan hilang. Dia jadi ralit memandang wajah itu.

Ruqayah berdehem. Ain terkejut. Malu.

*****************

Sudah seminggu Ipin tidak datang ke sekolah. Ain benar-benar resah. Kelas yang lima orang sudah jadi empat orang. Kadang-kadang pernah hanya dua orang sahaja di dalam kelas. Sakitkah Ipin? Hati Ain teringat-ingat. Wajah Ipin yang selalu tersengih dan sering menggaru kepala terbayang-bayang di fikirannya.

“Dia buat perangai lama dia,” Ruqayah menjawab apabila Ain memberitahu permasalahan tentang Ipin sewaktu berada di bilik guru.

“Dulu dia kerap tak datang ke sekolahkah?” tanya Ain.

Ruqayah angguk-angguk. Namun terus menulis sesuatu di mejanya.

“Sejak engkau datang sahaja dia rajin datang. Mungkin dia terpesona dengan kecantikan kau.”

Ruqayah cuba berkelakar namun Ain tidak ambil peduli. Dia teringatkan Ipin.

Ruqayah berhenti menulis. Dia merenung Ain.

“Kalau dia ponteng pun bukan sebab dia yang mahukan begitu.”

Ain pandang Ruqayah. “Habis itu sebab apa?”

“Tenaga mereka diperlukan untuk menolong keluarga. Aku pernah dengan yang si Ipin itu kena tolong ayahnya cari rotan. Aku dengar juga yang ayah dia nak berhentikan sekolahnya.”

Ain merenung jauh ke luar bilik guru. Kata-kata Ruqayah membuatkan hatinya terasa-rasa.

*******************

“Kenapa cikgu suka pandang langit?” tanya Ipin yang datang bertandang ke rumah Ain.

“Sebab langit indah. Ada bintang. Ada bulan,” balas Ain.

Ipin mendongak. Melakukan apa yang dibuat Ain.

“Tapi malam ini tak ada bulan pun.”

Ain pandang Ipin. “Malam ini gelap. Kalau tak ada bulan, bintang masih ada.”

“Langit itu luas. Ipin cuba anggap langit itu sebagai cita-cita. Bukankah ia begitu luas untuk digapai,” sambung Ain lagi.

Ipin diam. Ain tahu Ipin tidak faham dengan apa yang dicakapkan.

“Apa cita-cita Ipin?” tanya Ain.

Ipin termenung panjang. “Emm, nak jadi cikgu macam cikgu juga.”

“Wah bagusnya. Kenapa nak jadi cikgu?” tanya Ain lagi.

“Ipin nak mengajar di sini. Nak bantu orang kampung Ipin. Nak jadi macam cikgu.”

Ain tersenyum bangga. Begitu mulia dan tinggi hasrat anak itu.

“Kalau nak jadi cikgu kena rajin datang sekolah.”

“Emm,” Ipin angguk-angguk. Ain dapat lihat kesungguhan di wajahnya.

********************

“Kenapa pilih kawasan ini?”

“Aku antara manusia-manusia yang terpilih.”

Zehran renung Ain. Ain cuba mengalihkan pandangannya agar tidak bertembung dengan pandangan pemuda itu. Ain malu.

“Kau pula kenapa berada di sini?”

“Kerana kau cintakan hutan. Sayangkan rimba. Di sini aku dapat semua itu.”

“Nak jadi Tarzan ya?”

Zehran ketawa.

“Kalau aku jadi Tarzan, aku mahu kau jadi Janenya.”

Ain diam. Apakah maksud kata-kata Zehran itu?

**********************

“Dia perlu tolong aku. Dia anak sulung kena kerja.”

Itulah jawapan yang diterima Ain tatkala dia berjumpa dengan ayah Ipin, Itam. Mujurlah Zehran sudi menemankan dia mencari rumah Ipin.

Ain bertekad di dalam hatinya. Dia akan cuba memujuk agar Ipin dibenarkan bersekolah semula.

“Ipin budak pandai. Nanti kalau besar dia boleh dapat kerja yang baik,” pujuk Ain lagi.

“Kalau dia pandai, aku tak ada duit nak bagi di sekolah tinggi-tinggi.”

Ain dapat melihat kedegilan Itam.

“Kami Orang Asli hanya perlu hidup macam ini sahaja. Ipin kena tolong aku cari rotan. Kalau tidak siapa yang nak bagi adik-adiknya makan.”

“Pak cik kena fikirkan masa depan Ipin. Pak cik nak lihat Ipin kerja macam pak cik? Bersusah payah masuk hutan. Sedangkan anak orang lain belajar. Pak cik tak cemburu lihat anak-anak orang lain kerja bagus-bagus sedangkan Ipin terus susah seumur hidupnya.”

Entah dari mana Ain mendapat keberanian sebegitu untuk berkeras dengan ayah Ipin. Itam merenung Ain. Ain menguatkan semangatnya. Biarlah apa yang berlaku dia tetap akan memujuk Itam.

“Dia kena tolong aku,” rengus Itam terus berlalu pergi meninggalkan Ain.

Ain memandang Zehran. Memohon simpati.

********************

“Aku pernah terluka disebabkan cinta.”

“Sebab itu kau sampai ke sini?” teka Ruqayah.

“Tidak. Aku memang mahu ke sini. Tapi si dia tidak mengerti dan tidak mengizinkan aku ke sini,” terang Ain.

“Tidak mahu mencari pengganti?”

Ain ketawa mendengar pertanyaan Ruqayah.

“Kenapa kau ketawa?”

“Entahlah barangkali lucu mendengar pertanyaan kau.”

“Lucu?”

“Ruqayah, cita-cita aku mahu membuat jasa untuk penduduk kampung ini terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya nanti ada anak murid aku yang berjaya.”

“Pelik.”

“Kenapa pula pelik?”

“Semangat keguruan kau itu.”

“Tak pelik pun.”

“Ada orang tanya kau.”

“Tanya apa? Kalau bab agama kau lebih bagus. Aku cikgu matematik sahaja.”

“Serius ini Ain. Bukan main-main.”

“Aku pun tak main-main.”

“Ada orang berminat dengan engkau.”

Ain terperanjat. “Siapa?”

“Pemuda berbaju hijau,” Ruqayah berteka teki.

Di fikiran Ain terbayangkan Zehran. Ain mengetapkan bibirnya. Rekahan pintu cintanya dibuka buat kali kedua. Adakah cintanya akan bersemi jauh di pedalaman?

******************

“Zehran mahu berjumpa aku.”

Hati Ain berdebar-debar setelah diberitahu perkara itu oleh Ruqayah. Kata Ruqayah, Zehran ada perkara penting yang mahu diberitahu.

“Adakah kerana pertanyaannya itu?”

Ain teringatkan apa yang telah disampaikan Ruqayah. Zehran berminat dengannya.

“Apakah aku telah bersedia bercinta semula setelah dikecewakan Imran?” Kisah Imran masih menghantuinya.

“Aku datang ke sini kerana satu impian. Impian memberi ilmu.” Ain menggosok-gosok jari jemarinya. Perasaan hatinya berperang-perang.

“Dah lama tunggu?” tiba-tiba suara Zehran menyapa. Ain terkejut.

“Baru sahaja,” jawab Ain ringkas.

“Ada perkara penting?” tanya Ain lagi. Zehran lama diam. Hati Ain resah.

“Saya dah berjaya pujuk Itam. Dia benarkan Ipin sekolah semula.”

Ain memandang Zehran.

“Betulkah apa yang awak cakap?” Ain begitu gembira mendengar perkara tersebut. Walaupun sangkanya Zehran mahu bertanya tentang perkara yang pernah diberitahu oleh Ruqayah.

“Ya.”

“Syukurlah. Terima kasih awak kerana membantu.”

“Sama-sama. Awak kena buktikan yang awak boleh didik pelajar macam Ipin sehingga berjaya.”

“Saya akan buktikan,” janji Ain. Ain bangun.

“Awak nak ke mana?” tanya Zehran.

“Nak balik.”

“Saya belum tanya awak perkara yang penting itu lagi.”

“Tadi, perkara Ipin itu bukan perkara penting yang awak nak beritahu?”

“Ada lagi yang lebih penting.”

“Apa?”

“Saya mahu melamar awak.”

Ain diam. Kelu. Dadanya berdebar-debar.
 


Cerpen Cinta : Lelaki Yang Kucinta

Disember 7, 2007

Airmata mengalir perlahan dari kelopak mataku. Dadaku terasa sesak. Bayangan Farin berlegar-legar di ruangan mataku. Senyumannya, gelak tawanya, kemarahannya dan renungan matanya. Semua tentang dia, semua yang pernah kami lalui bersama. Ada tawa dan ada jua airmata. Sukar untuk ku melupakan lelaki yang telah sebati dalam hatiku. Cintanya telah bernafas dalam tiap denyutan jantungku. Namanya telah menjadi nadi yang berselirat di seluruh tubuhku. Walau pun banyak perkara menyakitkan hati yang pernah dilakukannya. Walau pun dia seringkali mungkir janji serta tidak pernah menepati masa, tapi dialah lelakinya yang membuatku dilamun cinta. Dialah orangnya yang telah memiliki seluruh cintaku. Tidak setitis pun cinta dalam hatiku yang tersisa buat lelaki lain. Aku telah serahkan semuanya padanya. Hatiku yang berdegup kencang di dada ini hanya mengenali seorang lelaki yang bernama Farin. Dialah lelakinya yang mampu memujuk ku bila saja ku merasa sedih dan marah. Dia sajalah yang mampu membangkitkan ghairah hidupku bila aku merasa lemah dan sengsara. Dialah lelakinya yang sentiasa akan ku maafkan tidak kira sebesar mana pun kesalahannya kerana aku benar-benar dilamun cinta padanya. Entah apa sebabnya dan di manakah kelebihannya. Cintaku padanya tidak punya sebarang alasan.. Aku tidak pernah menemui jawapan setiap kali mencari alasanku menyintainya. Tapi tetap saja aku akur betapa aku amat menyintainya kerana aku tidak pernah mampu membenci Farin sekali pun hatiku terasa teramat pedih setiap kali dia menyakiti hatiku.

Dia yang ku cinta itulah lelaki bernama Farin, yang membuat hatiku mengila merinduinya.. yang menjadikan segenap jiwaku resah mengingatinya.. yang menyebabkan seluruh perasaanku gundah bila ku tak mendengar suaranya. Sesekali aku bertanya sendiri, apakah ini? Mengapa aku merasa sungguh menderita dengan hanya mencintainya. Tapi tidak sedikit pun penderitaan yang ku rasai ini mengurangi rasa cinta padanya. Malah semakin aku cuba melupakannya, semakin kuat rindu yang mencengkam hatiku. Debaran yang terasa begitu manis setiap kali ku sebut namanya dalam hatiku. Aku tahu cintanya padaku tidak sebesar yang ku miliki terhadapnya. Malah hatinya seakan-akan tidak pernah menjadi milik ku. Dia yang ku cintai itu sememangnya seorang lelaki yang menyukai gadis-gadis. Sekali pun aku tidak pernah percaya dengan kata-kata manisnya. Semua dusta indah yang didengarkannya ke telingaku. Namun aku tetap jua jatuh cinta padanya. Aku tetap jua merindui kata-kata dustanya itu. Bahkan hatiku ini seakan suka diperbodohkan dengan janji manis dan pujuk rayunya. Aku memang bodoh!! Aku tahu benar dengan kebodohanku. Namun hati ini bagaimana? Mahukah hati ini mengerti? Mengapa hati ini masih ingin merindu? Ah..cinta tak perlu alasan. Cinta itu sememangnya buta. Dan aku rasakan cinta juga bodoh! Kerana cinta yang sedang bernyawa dalam tiap helaan nafasku ini telah menjadikan ku si bodoh totol. Dan aku jadi tidak berdaya.. lemah.. dan di sini.. di dada ini.. ada denyutan rindu yang mendesak hingga aku kelemasan.. akal fikiranku yang sihat tidak lagi berfungsi kerana debaran jantungku mula dipenuhi getaran yang meresahkan dan dalam helaan nafasku seakan mengalir namanya.. bila ku pejamkan mata.. aku lihat wajahnya.. senyumannya.. renungannya.. kemanjaannya. Ah.. manisnya perasaan ini.. inikah cinta?
 

Ia benar-benar adalah sejenis penyakit. Dan aku telah menghidap penyakit ini di tahap kritikal. Penyakit ini telah membuatkan hatiku lali pada kecurangan Farin. Penyakit ini telah membuat saraf otak ku yang pintar ini menjadi bengap hingga aku rela kehilangan kawan-kawan hanya untuk Farin. Aku sanggup membelakangkan keluarga demi lelaki ini walau pun ku sedari dia seringkali curang padaku. Sekali pun aku sedar betapa bodohnya diriku ini. Tapi mahukah ia dimengertikan? Aku telah dirasuk sepenuhnya oleh lelaki itu. Aku mencintainya lebih dari apa pun. Aku sayangkan dia lebih dariku menyayangi nyawaku. Aku mahukannya dia lebih dari udara yang ku hela ini. Aku mencintainya sedalam-dalamnya dan tidak ada kata-kata yang dapat memujuk hatiku yang telah menjadi hamba cinta. Hanya ada cinta.. hatiku ini telah di penuhi cinta…

Hinggalah suatu hari. Farin datang padaku. Wajahnya yang kacak itu kelihatan tenang. Dia tarik tanganku dan kami duduk di sebuah kerusi panjang. Dia renung mataku seketika. Aku angkat kening sebagai isyarat bertanya.

“ Sayang.. dengar baik-baik..”

Suaranya lembut. Begitu lembut sekali dan itulah yang selalu memancing rindu dihatiku. Aku angguk perlahan. Memandangnya dengan penuh rasa cinta.

“ Aku cintakanmu..sayang..Farin benar-benar sayangkan Ika..  tapi.. aku terpaksa putuskan cinta kita..Farin terpaksa.. Farin tidak boleh memilih Ika”

Nafasku terhenti dan darahku seakan tersumbat lalu berhenti mengalir. Dan aku terus mendengar penjelasannya dalam keadaan separa sedar. Katanya dia akan berkahwin dengan seorang gadis, entahlah gadis yang mana satu. Aku tidak dapat mendengar apa alasannya kerana aku telah pun menangis tak henti-henti. Hancur dan luluh.. hati ini hancur luluh mendengar semuanya. Airmata gugur tak ada hentinya. Sengsara.. derita.. dan airmata ini terus mengalir entah dari mana datangnya. Ia terus keluar dan tidak dapat di hentikan. Berkali-kali ku cuba hubungi Farin. Kalau-kalau kali ini kami bukannya putus sungguh-sungguh, kalau-kalau ini hanya ujian seperti yang pernah terjadi antara kami dulu. Tapi hampa. Nombor telefon Farin seakan tidak wujud lagi. Farin ternyata benar-benar memisahkan diri dari hidupnya. Farin benar-benar meninggalkanku.. memutuskan cintaku!

Tolonglah! pujuklah aku ini. Tangisan ini tidak mau berhenti.. tolonglah! Peluklah aku.. sapukan airmataku.. sesiapa.. datanglah. Aku terasa ingin mati.. ingin lenyap! Kesengsaraan ini amat memilukan.. amat pedih…. Pernahkah kamu rasakan kepedihan seperti ini? Kesakitan yang mencengkam seluruh diriku.. aku ingin tenggelam ke lautan yang dalam dan membenamkan kesakitan ini jauh-jauh. Aku sakit.. aku derita.. aku sengsara.. dan aku sungguh tidak berdaya! Lenyapkan aku.. lenyapkan aku dari dunia ini.. tolonglah..

“ Tok..tok.. tok..!”

Pintu di ketuk dengan kuat. Aku menguatkan kakiku melangkah, terhuyung hayang tetapi berjaya juga membuka pintu. Sebaik saja pintu terbuka seorang lelaki muncul. Aril terpacak di depan pintu. Muka yang risau.

“ Ika.. aku fikir kau sudah mati.. kau tidak mengangkat telefon dan tidak membalas mesej.. kau tahu tak betapa risaunya kami?”

Aku tidak menyahut. Hanya membuka pintu untuknya dan membiarkan dia masuk. Rumahku bersepah seolah-olah baru lepas di rompak orang. Tapi semua itu adalah kerjaku sendiri ketika melepaskan perasaan. Dia mengekori dari belakang. Aku masuk ke bil