Suatu Kebahagiaan

Jun 12, 2008
Ada seorang lelaki berumur 92 tahun, meskipun dia buta tetapi mempunyai selera
tinggi, kepercayaan diri, dan bangga akan dirinya sendiri. Dia selalu berpakaian kemas saban hari dengan rambutnya yang teratur rapi.

Isterinya yang berumur 70 tahun baru sahaja meninggal dunia. Kerana hidupnya kini sebatang kara mentelah lagi telah uzur dimamah usia, dia tiada pilihan melainkan harus menginap dirumah tumpangan orang-orang tua. Setelah menunggu dengan sabar selama beberapa jam di lobi, dia tersenyum manis ketika diberitahu bahawa kamarnya telah siap.

Ketika dia berjalan dipimpin oleh petugas menuju ke elevator, dia menggambarkan keadaan kamarnya yang kecil dan jendela menghadap ke sebuah taman.

” Saya menyukainya ” katanya dengan antusiastik seperti seorang anak kecil berumur 8 tahun yang baru saja mendapat hadiah.

” Pak, anda belum melihat kamarnya, tahan dulu perkataan tersebut ” kata si
petugas.

” Perkara ini tidak ada hubungannya ” orang tua itu menjawab.

Sambungnya lagi ” Kebahagiaan adalah sesuatu yang kamu putuskan dari awal.
Apakah aku akan menyukai kamarku atau tidak, tidak tergantung dari bagaimana
perabutnya diatur tetapi bagaimana aku mengatur fikiranku. Aku sudah
memutuskan menyukainya. Itu adalah keputusan yang kubuat setiap pagi ketika
aku bangun tidur.

Aku mempunyai sebuah pilihan; aku boleh menghabiskan waktu ditempat tidur
menceritakan kesukaran-kesukaran yang terjadi padaku kerana ada sebahagian
dari tubuhku yang tidak dapat berfungsi lagi, atau turun dari tempat tidur dan
berterima kasih atas bahagian-bahagian lain yang masih berfungsi.

Setiap hari adalah hadiah, dan selagi mataku ‘terbuka’, aku akan memusatkan
perhatian pada hari yang baru dan semua kenangan indah dan bahagia yang
pernah kualami dan kusimpan. Hanya untuk kali ini dalam hidupku. Umur yang
sudah tua adalah seperti simpanan di bank. Kita akan mengambil dari yang telah
kita simpan.

Jadi, nasihatku padamu adalah untuk menyimpan sebanyak-banyaknya
kebahagiaan di bank kenangan kita. “

Terima kasih padamu yang telah mengisi bank kenanganku. Aku sedang menyimpannya.

Ingat-ingatlah lima peraturan sederhana untuk menjadi bahagia :

1. Bebaskan hatimu dari rasa benci.

2. Bebaskan fikiranmu dari segala kekhuatiran.

3. Hiduplah dengan sederhana.

4. Give more

5. Expect less


Kekuatan Sebuah Doa

Mei 30, 2008

Siti adalah seorang yang miskin. suaminya sedang sakit dan sudah berbulan-bulan tidak dapat bekerja. dia memiliki tujuh orang anak kecil yang sedang kelaparan di rumah. Suatu hari Siti pergi ke sebuah supermarket Parkson Ria dengan bajunya yang compang-camping. Dengan teragak-agak dia memohon agar dibolehkan berhutang.

Encik Kamal, si pemilik supermarket mengusirnya keluar. Sambil terus menggambarkan situasi keluarganya, si ibuterus merayu.

“Tolonglah, encik. Saya janji akan segera membayar hutang tersebut setelah mendapat wang.”

Encik Kamal tetap tidak mengabulkan permohonan tersebut. alasan yang diberinya, “Kalau nak berhutang, awak perlu sekurang-kurangnya mempunyai kad kredit.”

Di kaunter pembayaran, ada seorang pelanggan lain bernama Nurhaliza, seorang gadis ayu yang dari awal mendengar dialog tersebut. Dia mendekati keduanya dan berkata: “Tak apalah, Encik Kamal. biar saya saja yang bayar untuknya.”

Kerana malu, si pemilik kedai akhirnya berkata, “Eh, takpelah, cik. Ini hal kecil aje. Kasihan juga saya tengok makcik ini.”

Sambil berfikir sejenak, Encik Kamal akhirnya berkata, “Beginilah, makcik. Tuliskan senarai barang keperluan yang makcik perlu dalam kertas ini dan timbangkan beratnya. Saya akan memberikan potongan harga secara percuma mengikut berat kertas itu.” katanya sambil tersenyum di dalam hati. sekurang-kurangnya tidaklah dia dianggap sebagai seorang yang tamak oleh gadis itu.

Dengan ragu-ragu dan hampir putus asa dengan tawaran tersebut, Siti menundukkan kepalanya sebentar sambil menulis sesuatu di atas kertas. setelah kertas tersebut diletakkan ke dalam timbangan, mata si pemilik kedai bagai terbeliak melihat jarum timbangan bergerak jatuh ke bawah secara mendadak. dia menatap pelanggan yang ingin menolong tadi sambil berbisik, “Benarkah apa yang aku lihat?”

Si pelanggan yang baik hati itu hanya tersenyum.

Semasa Siti mengambil barang-barang yang diperlukannya, Encik Kamal diam-diam mengalihkan kertas tersebut ke sisi timbangan yang lain. tetapi jarum timbangan masih jatuh ke bawah seolah-olah diletakkan guni pasir. Setelah siti mendapatkan semua barang-barang yang diperlukannya, Encik Kamal terus mengangkat barang-barang tersebut ke atas timbangan, sehingga tidak muat lagi tetapi masih tidak mampu menimbangi berat kertas tersebut.

Walaupun berasa aneh dengan fenomena itu, Encik Kamal tidak dapat berbuat apa-apa kerana perkara itu berlaku di luar jangkaannya. Setelah mengucapkan terima kasih, Siti beredar pulang ke rumah dengan hati gembira, sambil mengendong barang-barang yang diperolehnya. Suami dan anak-anaknya sedang setia menanti di rumah.

Setelah Siti hilang dari pandangan, si pemilik kedai diam-diam membelek kertas di atas timbangan tersebut.  Tertulis sebuah doa pendek: “Tuhan, hanya Engkau Maha Mengetahui apa yang hambaMu perlukan. Hamba menyerahkan segalanya ke dalam tanganMu.”

Apabila diteliti, akhirnya Encik Kamal mendapati timbangan yang dipakai tersebut ternyata rosak. Dia menyesal dan malu dengan keangkuhan dirinya sendiri.

Pengajaran: Hanya Tuhan yang Maha Memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Berdoalah kepada TuhanMu yang Maha Pengasih, nescaya akan dikabulkanNya. kekuatan sebuah doa terletak pada keyakinan dan penyerahan kita pada pertolongan Allah.


Kasih Si Kecil

April 21, 2008

Seekor anak anjing yang kecil mungil sedang berjalan-jalan di ladang pemiliknya. Ketika dia mendekati kandang kuda, dia mendengar binatang besar itu memanggilnya. “Kamu mesti masih baru di sini, cepat atau lambat kamu akan mengetahui bahawa pemilik ladang ini mencintai saya lebih dari binatang lainnya. Kerana saya mampu mengangkut banyak barang untuknya, saya kira binatang sekecil kamu tidak akan bernilai sama sekali baginya”, ujarnya dengan sinis.

Anjing kecil itu menundukkan kepalanya dan pergi. Tapi, dari kandang sebelah, ia mendengar suara seekor lembu. “Saya adalah binatang yang paling terhormat di sini sebab puan di sini membuat keju dan mentega dari susu saya. Kamu tentu tidak berguna bagi keluarga di sini”, dengan nada mencemuh.

Belum lagi kesedihannya hilang, ia mendengar teriakan biri-biri. “Hai lembu, kedudukanmu tidak lebih tinggi dari saya. Aku memberi bulu kepada pemilik ladang ini. Saya memberi kehangatan kepada seluruh keluarga. Tapi kata-katamu soal anjing kecil itu, memang benar. Dia sama sekali tidak ada manfaatnya di sini.”

Satu demi satu binatang di situ ikut serta dalam pencemuhan itu, sambil menceritakan betapa tingginya kedudukan mereka di ladang itu. Ayam pun berkata bagaimana dia telah memberikan telur, kucing bangga bagaimana dia telah menghapuskan tikus-tikus dari ladang itu. Semua binatang sepakat kalau si anjing kecil itu adalah makhluk tak berguna dan tidak sanggup memberikan sumbangan apapun kepada keluarga itu.

Terpukul oleh kecaman binatang-binatang lain, anjing kecil itu pergi ke tempat sepi dan mulai menangis menyesali nasibnya. Sedih rasanya, sudah yatim piatu, dianggap tak berguna, disingkirkan dari pergaulan pula…

Ada seekor anjing tua di situ mendengar tangisan tersebut, lalu mendengar keluh kesah si anjing kecil itu. “Saya tidak dapat memberikan sumbanga kepada keluarga di sini, sayalah haiwan yang paling tidak berguna di sini…”

Terharu, anjing tua berkata, “Memang benar bahwa kamu terlalu kecil untuk menarik pedati. Kamu tidak berupaya memberikan telur, susu ataupun bulu. Tetapi bodoh sekali jika kamu menangisi sesuatu yang tidak mampu kamu lakukan. Kamu harus menggunakan kemampuan yang diberikan oleh Tuhan untuk membawa kegembiraan.”

Malam itu ketika pemilik ladang baru pulang dan kelihatan amat lelah Kerana perjalanan jauh di panas terik matahari, anjing kecil itu lari menghampirinya, menjilat kakinya dan melompat ke pelukannya. Sambil menjatuhkan diri ke tanah, pemilik ladang dan anjing kecil itu berguling-guling di rumput disertai tawa ria.

Akhirnya pemilik ladang itu memeluk dia erat-erat dan mengelus-elus kepalanya, dan berkata, “Meskipun saya pulang dalam keadaan letih, tapi rasanya semua jadi sirna, bila kau menyambutku semesra ini. Kamulah yang paling berharga di antara semua binatang di ladang ini. Kamu kecil, tapi sangat mengerti ertinya kasih…”

Moral:
Jangan sedih ketika kamu tidak dapat melakukan sesuatu seperti orang lain Kerana memang tidak memiliki kemampuan untuk itu. Tetapi apa yang kamu dapat lakukan, kerjakan itu dengan sebaik-baiknya. Dan jangan sombong jika kamu merasa banyak melakukan beberapa hal pada orang lain, karena orang yang tinggi hati akan direndahkan dan orang yang rendah hati akan ditinggikan. Selalu begitu.


Seorang Gadis Bernama Li-Li

Januari 31, 2008

Seorang gadis Cina bernama Li-Li menikah dan tinggal bersama suami dan ibu mertua. Semenjak itu, Li-Li menyedari bahwa dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan ibu mertuanya dalam semua perkara. Sikap dan prinsip mereka berbeza dan Li-Li sangat marah dan tidak begitu menyenangi ibu mertuanya. Li-Li juga sering dikritik ibu mertuanya. Hari demi hari, minggu demi minggu, Li-Li dan ibu mertua tidak pernah berhenti berleter dan bertengkar. Keadaan menjadi bertambah buruk, kerana berdasarkan tradisi Cina, Li-Li harus taat kepada setiap permintaan ibu mertua.
 
Semua ketegangan dan pertengkaran di dalam rumah menyebabkan si suami yang miskin itu berada di dalam tekanan. Akhirnya, Li-Li tidak tahan lagi dengan sikap panas baran dan dominasi ibu mertuanya, dan dia memutuskan untuk melakukan sesuatu.
 
Li-Li pergi menemui teman baik ayahnya, Mr. Huang, yang menjual herba ubatan Cina. Li-Li menceritakan segala masalah yang dialaminya dan meminta Mr.Huang memberinya sejumlah racun supaya masalahnya dapat diselesaikan.
 
Mr. Huang berfikir sejenak dan tersenyum dan akhirnya berkata, “Li-Li, saya akan menolong kamu, tapi kamu harus dengar dengan teliti dan melakukan apa yang saya suruh”
 
Li-Li menjawab, “Baik, saya akan melakukan apa saja yang pakcik minta.”
 
Mr. Huang mencari-cari sesuatu di dalam sebuah bilik dan kembali beberapa minit kemudian dengan membawa sejumlah herba.
 
Dia memberitahu Li-Li, “Kamu tidak boleh menggunakan racun yang bertindak-balas cepat untuk membunuh ibu mertuamu, kerana nanti akan menyebabkan orang berasa curiga. Oleh sebab itu saya memberi kamu sejumlah herba yang secara perlahan akan meracuni tubuh ibu mertuamu. Setiap hari masakkan daging atau ayam dan kemudian campurkan sedikit herba ini. Untuk memastikan bahawa tidak ada orang yang mencurigaimu, kamu harus berhati-hati dan berbuat baik dengan ibu mertuamu. Jadikan dia sebagai sahabat. Jangan berdebat dengannya, taati dia, dan layani dia seumpama seorang ratu.”
 
Li-Li berasa sangat senang. Dia kembali ke rumah dan mula merancang pembunuhan ibu mertuanya.
 
Minggu demi minggu berlalu, bulan berganti bulan, dan setiap hari, Li-Li memasakkan ibu mertuanya dengan masakan yang dibuat secara khusus. Li-Li ingat segala pesanan Mr. Huang. Untuk mengelakkan sebarang kecurigaan, Li-Li berhati-hati mengawal emosinya, mentaati ibu mertuanya, melayan ibu mertuanya seperti ibunya sendiri dan bersahabat.
 
Setelah enam bulan berlalu, suasana rumah berubah menjadi ceria. Li-Li telah belajar mengawal emosinya dengan baik sehingga hampir tidak pernah meledak dalam amarah atau kekecewaan. Dia tidak bertengkar sekalipun dengan ibu mertuanya, yang sekarang kelihatan jauh lebih baik dan mudah bersahabat.
 
Sikap ibu mertua terhadap Li-Li juga berubah. Dia mula menyayangi Li-Li seperti anaknya sendiri. Dia semakin senang memberitahu teman-teman dan kenalannya bahawa Li-Li adalah menantu terbaik yang pernah ditemuinya. Li-Li dan ibu mertuanya sekarang sangat rapat di antara satu sama lain.
 
Suami Li-Li turut gembira melihat perubahan yang berlaku. Suatu hari, Li-Li datang menemui Mr. Huang dan minta pertolongan lagi. Dia berkata, “Mr. Huang, tolonglah saya untuk mencegah racun itu membunuh ibu mertua saya. Dia telah berubah menjadi seorang wanita yang sangat baik dan saya mengasihinya seperti ibu saya sendiri. Saya tidak ingin dia mati kerana racun yang saya berikan.”
 
Mr. Huang tersenyum dan mengangkat kepalanya. “Li-Li, tidak usah bimbang. Saya tidak pernah memberimu racun. Herba yang saya berikan dulu adalah vitamin untuk meningkatkan kesihatannya. Satu-satunya racun yang pernah ada ialah di dalam fikiran dan sikapmu terhadapnya, tapi semuanya sudah lenyap dibersihkan oleh kasih sayang dan perhatian yang kamu berikan padanya.”
 
Moral:
Pernahkah anda menyedari bahawa sebagaimana perlakuanmu terhadap orang lain akan sama dengan apa yang akan mereka lakukan terhadap kita?”Pepatah China berkata: Orang yang mengasihi orang lain akan dikasihi”


Pemburu Yang Tamak

Januari 30, 2008

Pada satu hari, seorang pemburu telah menangkap seekor burung murai. Dengan perasaan sedih burung murai itu merayu kepada si pemburu.

Burung itu bertanya, ” Apa yang ingin engkau lakukan pada diriku?”

Lelaki itu menjawab ” Akan aku sembelih engkau dan makan engkau sebagai lauk”

“Percayalah, engkau tidak akan begitu berselera memakanku dan aku tidak akan mengenyangkan engkau. Jangan engkau makan aku, tetapi akan aku beritahu engkau tiga nasihat yang lebih baik dari engkau  memakanku “

Si burung berjanji akan memberikan nasihat pertama ketika berada dalam genggaman orang itu. Yang kedua akan diberikannya kalau ia sudah berada di cabang pohon dan yang ketiga ketika ia sudah mencapai puncak bukit.

Terpengaruh dengan rayuan si murai itu, si pemburu pun bersetuju. Lalu dia meminta nasihat pertama. Kata burung itu, “Kalau kau kehilangan sesuatu, meskipun engkau menghargainya seperti hidupmu sendiri, jangan menyesal.”

Orang itu pun melepaskannya dan burung itu segera melompat ke dahan. Di sampaikannya nasihat yang kedua, “Jangan percaya kepada segala yang bertentangan dengan akal, apabila tak ada bukti.”

Kemudian burung itu terbang ke puncak gunung. Dari sana ia berkata, “Wahai manusia malang! Jika tadi engkau sembelih aku, nescaya engkau akan dapati dalam tubuhku ada dua biji mutiara. Berat setiap mutiara itu adalah dua puluh gram.”

Terperanjat sungguh si pemburu itu mendengar kata-kata si burung murai.. Si pemburu berasa dirinya telah tertipu. “Bodohnya aku! Bagaimana aku boleh terlepas peluang yang begitu baik!”

Pemburu itu sangat menyesal memikirkan kehilangannya. Namun katanya, “Setidaknya, katakan padaku nasihat yang ketiga itu!”

Si burung murai menjawab,”Alangkah tololnya kau meminta nasihat ketiga sedangkan yang kedua pun belum kau renungkan sama sekali. Sudah kukatakan padamu agar jangan kecewa kalau kehilangan dan jangan mempercayai hal yang bertentangan dengan akal. Kini kau malah melakukan keduanya. Kau percaya pada hal yang tak masuk akal dan menyesali kehilanganmu. Cuba engkau fikirkan, hai orang yang dungu. Aku, dagingku, darahku dan buluku tidak logik  seberat dua puluh gram. Oleh itu, bagaimana mungkin akan ada dalam perutku dua biji mutiara yang masing-masing seberat dua puluh gram? Aku  tidak cukup besar untuk menyimpan dua butir mutiara besar! Kau tolol! Oleh kerananya kau harus tetap berada dalam keterbatasan yang disediakan bagi manusia.”

Murai menyambung lagi, “Nasihatku yang ketiga adalah, memberi nasihat kepada sedozen bahlul seperti engkau ini adalah seperti menabur benih di tanah usang, tidak akan memberi faedah!”

Kemudian terbanglah si burung murai yang bijak itu meninggalkan si lelaki yang termenung akan ketamakannya itu.

Moral:
Itulah contoh betapa halobanya anak Adam yang jadi kelabu mata dari mengetahui kebenaran.

Jika seseorang menginginkan yang serba banyak atau terlalu panjang angan-angannya atas sesuatu yang lebih, nescaya hilanglah sifat qana’ (merasa cukup dengan yang ada). Dan tidak mustahil ia menjadi kotor akibat haloba dan hina akibat rakus sebab kedua sifat itu mengheret kepada pekerti yang jahat untuk mengerjakan perbuatan-perbuatan mungkar, yang merosakkan maruah (harga diri).


Pencuri Impian

Januari 25, 2008

Di sebuah kota, ada seorang gadis muda yang sangat suka menari. Kepandaiannya menari sangat terserlah dibandingkan dengan rakan-rakannya yang lain, sehinggakan dia seringkali menjadi juara dalam pelbagai pertandingan yang diadakan. Dia berfikir, dengan bakat yang dimilikinya saat ini, suatu hari nanti apabila dewasa, dia ingin menjadi penari bertaraf dunia. Dia membayangkan dirinya menari di Russia, China, Amerika, Jepun, serta ditonton oleh ribuan penonton yang memberi tepukan gemuruh kepadanya.

Suatu hari, kotanya dikunjungi seorang pakar tari yang berasal dari luar negara. Pakar ini sangatlah hebat. Dari tangan dinginnya telah banyak dilahirkan penari-penari kelas dunia. Gadis muda ini ingin sekali menari dan menunjukkan kebolehannya di depan sang pakar tersebut, malah jika boleh memperoleh kesempatan menjadi muridnya.

Akhirnya kesempatan itu datang juga. Si gadis muda berjaya menemui sang pakar di belakang panggung, seusai sebuah persembahan tari. Si gadis muda bertanya: “Tuan, saya ingin sekali menjadi penari kelas dunia. Apakah tuan punya waktu sejenak, untuk menilai saya menari? Saya ingin tahu pendapat tuan tentang tarian saya”. “Okey, menarilah di depan saya selama 10 minit”, jawab sang pakar.

Belum lagi 10 minit berlalu, sang pakar berdiri dari kerusinya, lalu berlalu meninggalkan si gadis muda begitu saja, tanpa mengucapkan sepatah kata apa pun.

Betapa hancur si gadis muda melihat sikap sang pakar. Si gadis terus berlari keluar. Pulang ke rumah, dia menangis tersedu-sedu. Dia menjadi benci terhadap dirinya sendiri. Ternyata tarian yang selama ini dia bangga-banggakan tidak ada maknanya di hadapan sang pakar. Kemudian dia ambil kasut tarinya, lalu dilemparkan ke dalam gudang. Sejak saat itu, dia bersumpah tidak akan menari lagi.

Puluhan tahun berlalu. Sang gadis muda kini telah menjadi ibu dengan tiga orang anak. Suaminya telah meninggal. Dan untuk menyara keluarganya, dia bekerja menjadi pelayan di sebuah kedai di sudut jalan.

Suatu hari, ada sebuah persembahan tari yang diadakan di kota itu. Nampak sang pakar berada di antara para menari muda di belakang panggung. Sang pakar nampak tua, dengan rambutnya yang sudah putih. Si ibu muda dengan tiga anaknya juga datang ke persembahan tari tersebut. Selesai acara, ibu ini membawa ketiga anaknya ke belakang panggung, mencari sang pakar, dan memperkenalkan ketiga anaknya kepada sang pakar.

Sang pakar masih mengenali ibu muda ini, dan kemudian mereka bercerita secara akrab. Si ibu bertanya, “Tuan, ada satu pertanyaan yang tersimpan di hati saya iaitu tentang penampilan saya sewaktu menari di hadapan tuan bertahun-tahun yang silam. Sebegitu terukkah penampilan saya saat itu, sehingga tuan terus pergi meninggalkan saya begitu saja, tanpa berkata sepatah pun?”

“Oh ya, saya ingat peristiwa itu. Terus terang, saya belum pernah melihat tarian seindah yang kamu lakukan waktu itu. Saya rasa kamu akan menjadi penari kelas dunia. Saya tidak mengerti mengapa kamu tiba-tiba berhenti dari dunia tari”, jawab sang pakar.

Si ibu muda sangat terkejut mendengar jawapan sang pakar. “Ini tidak adil”, seru si ibu muda. “Sikap tuan telah mencuri semua impian saya. Kalau memang tarian saya bagus, mengapa tuan meninggalkan saya begitu saja ketika saya baru menari beberapa minit. Tuan seharusnya memuji saya, dan bukan mengacuhkan saya begitu saja. Jika tidak, pasti sekarang saya sudah menjadi penari bertaraf dunia. Bukan hanya menjadi pembantu kedai.”

Si pakar menjawab lagi dengan tenang “Tidak …. tidak, saya rasa saya telah berbuat yang sepatutnya. Anda tidak semestinya minum anggur satu barel untuk membuktikan anggur itu enak. Demikian juga saya. Saya tidak harus menonton anda 10 minit untuk membuktikan tarian anda bagus. Malam itu saya sangat lelah setelah pertunjukan pentas. Maka sejenak saya tinggalkan anda, untuk mengambil kad nama saya, dan berharap anda mahu menghubungi saya lagi keesokan hari. Tapi anda sudah pergi ketika saya keluar. Dan satu hal yang perlu anda fahami, bahawa anda sepatutnya fokus pada impian anda, bukan pada ucapan atau tindakan saya.“

“Dan pujian? Kamu mengharapkan pujian? Ah, waktu itu kamu sedang belajar. Pujian itu seperti pedang bermata dua. Ada kalanya memotivasikanmu, namun boleh juga melemahkanmu. Dan faktanya saya melihat bahawa sebahagian besar pujian yang diberikan pada saat seseorang sedang belajar, hanya akan membuat dirinya puas dan pertumbuhannya berhenti. Oleh itu, saya lebih suka mengacuhkanmu, agar hal itu dapat membuatmu memajukan diri lebih cepat lagi. Lagipun, pujian itu seharusnya datang dari keinginan saya sendiri. Anda tidak sewajarnya meminta pujian dari orang lain.“

“Anda lihat, ini sebenarnya hanyalah masalah remeh. Seandainya anda pada waktu itu tidak menghiraukan apa yang terjadi dan tetap menari, mungkin hari ini anda sudah menjadi penari kelas dunia.”

Mungkin anda sakit hati pada waktu itu, tapi sakit hati anda akan cepat hilang setelah anda berlatih kembali. Tapi sakit hati kerana penyesalan anda hari ini tidak mungkin hilang selama-lamanya.”


Nilai Sepuluh Ringgit

Januari 22, 2008

Seorang bapa pulang ke rumah dalam keadaan letih disambut oleh anak lelakinya yang berusia tujuh tahun di muka pintu.

“Ayah, boleh tak Amin tanya satu soalan?”

“Ya, nak tanya apa?”

“Berapa pendapatan ayah sejam?”

“Itu bukan urusan kamu. Buat apa nak sibuk tanya?”

“Amin saja nak tahu ayah. Tolonglah bagi tahu berapa ayah dapat sejam bekerja di pejabat?”

“20 ringgit sejam.”

“Oh…” kata si anak sambil tunduk menekur lantai. Kemudian memandang wajah ayahnya semula sambil bertanya, “Ayah….boleh tak Amin pinjam sepuluh ringgit daripada ayah?”

Si ayah menjadi berang dan berkata, “Oh, itu ke sebabnya kamu tanya pasal pendapatan ayah? Kamu nak buat apa sampai mintak sepuluh ringgit? Nak beli barang mainan lagi? Jangan nak membazir. Ayah kerja penat-penat bukan untuk buang duit sebarangan. Sekarang pergi balik ke bilik dan tidur, dah lewat dah ni…”

Kanak-kanak tujuh tahun itu terdiam dan perlahan-lahan melangkah kembali ke biliknya. Si ayah duduk di atas sofa dan mula memikirkan mengapa anaknya yang kecil itu memerlukan duit sebanyak itu. Kira-kira dua jam kemudian si ayah kembali tenang dan terfikir kemungkinan anaknya benar-benar memerlukan duit untuk keperluan di sekolahnya kerana anaknya tidak pernah meminta wang sebanyak itu sebelum ini. Dengan perasaan bersalah si ayah melangkah menuju bilik anaknya dan membuka pintu. 
Didapati anaknya masih belum tidur. “Kalau kamu betul-betul perlu duit, nah ambillah sepuluh ringgit ini,” kata si ayah.

Kanak-kanak itu segera bangun dan tersenyum girang. “Terima kasih banyak ayah,” katanya begitu gembira. Kemudian dia tercari-cari sesuatu di bawah bantalnya dan mengeluarkan sekeping not sepuluh ringgit yang sudah renyuk.

Bila ternampak duit itu si ayah kembali berang. “Kenapa kamu mintak duit lagi sedangkan kamu dah ada duit sebanyak itu? Dari mana kamu dapat duit di bawah bantal tu?” Jerkah si ayah.

Si anak tunduk tidak berani merenung wajah ayahnya. “Duit ini Amin kumpul dari belanja sekolah yang ayah beri setiap hari. Amin minta lagi 10 ringgit sebab duit yang Amin ada sekarang tak cukup,” jawab si anak perlahan.

“Tak cukup untuk beli apa?” soal balik si ayah.

“Ayah, sekarang Amin sudah ada 20 ringgit. Ayah ambil duit ni. Amin nak beli sejam dari masa ayah. Amin nak makan malam bersama ayah,” jawab si anak tanpa berani memandang wajah ayahnya.

Baru si ayah benar-benar faham maksud anaknya itu….

Moral:
Kadangkala kita terlampau sibuk sehingga mengabaikan insan tersayang yang dahagakan kasih sayang dan perhatian kita. Oleh itu, luangkan sedikit waktu untuk bersama mereka…


Kisah Sebuah Jam

Januari 18, 2008

Alkisah, seorang pembuat jam tangan berkata kepada jam yang sedang dibuatnya. “Hai jam, apakah kamu sanggup untuk berdetik paling tidak 31,104,000 kali selama setahun?” 

“Ha?,” kata jam terperanjat, “Mana sanggup saya?”

“Bagaimana kalau 86,400 kali dalam sehari?” tanya  si pembuat jam.

“Lapan puluh enam ribu empat ratus kali? Dengan jarum yang ramping-ramping seperti ini?” jawab jam penuh keraguan.

“Bagaimana kalau 3,600 kali dalam satu jam?” cadang si pembuat jam.

“Dalam satu jam harus berdetik 3,600 kali? Banyak sekali itu” tetap saja jam ragu-ragu dengan kemampuan dirinya.

Tukang jam dengan penuh kesabaran kemudian berkata lagi kepada si jam. “Kalau begitu, sanggupkah kamu berdetik satu kali setiap detik?” 

“Oh, kalau begitu, aku sanggup!” kata jam dengan penuh semangat.

Maka, setelah selesai dibuat, jam itu berdetik satu kali setiap detik. Tanpa terasa, detik demi detik terus berlalu dan jam itu sungguh luar biasa kerana ternyata selama satu tahun penuh dia telah berdetik tanpa henti. Dan itu bererti ia telah berdetik sebanyak 31,104,000 kali.

Moral :
Ada kalanya kita ragu-ragu dengan segala tugas pekerjaan yang begitu terasa berat. Namun sebenarnya kalau kita sudah menjalankannya, kita ternyata mampu. Malah yang kita anggap mustahil untuk dilakukan sekalipun.


Gagak Belajar Berjalan

Januari 8, 2008

Pada suatu masa dahulu, ketika berada di atas tanah, gagak tidak berjalan sambil melompat-lompat seperti sekarang. Boleh dikatakan bahawa cara gagak berjalan sebenarnya tidaklah buruk. Akan tetapi, gagak sentiasa menganggap cara ia berjalan amat buruk.

Pada suatu hari, gagak melihat puyuh galah berjalan. Ia berasa gaya puyuh berjalan amat lembut lagi cantik. Oleh itu, ia pun pergi mengunjungi puyuh galah lalu memintanya menjadi gurunya. Ia hendak mempelajari cara puyuh galah berjalan.

Gagak pun mempelajari cara berjalan dari puyuh galah dalam tempoh masa yang agak lama. Walaubagaimanapun, ia masih tidak dapat mempelajari langkah puyuh galah berjalan. Akhirnya, ia pun berputus asa dan tidak mahu belajar lagi.

Apabila hendak pulang ke rumahnya, gagak telah pun terlupa bagaimana cara untuk berjalan.Oleh itu, terpaksalah ia beredar dari situ dengan berjalan sambil melompat-lompat.

Moral: Apabila mempelajari kebolehan orang lain, kita perlu berbuat demikian berdasarkan kebolehan diri.


Lelaki Dan Kepompong Kupu-kupu

Disember 28, 2007

Seorang lelaki telah menemui  kepompong  kupu-kupu di tengah jalan. Ada lubang kecil pada kepompong itu. Dia duduk mengamati lubang itu dan melihat ada kupu-kupu cuba berjuang untuk membebaskan diri melalui lubang kecil itu. Kemudian kupu-kupu itu berhenti mencuba. Ia kelihatan  telah berusaha sedaya upaya dan kini tidak mampu untuk melakukan lebih jauh lagi. Akhirnya lelaki tersebut mengambil keputusan untuk membantu kupu-kupu tersebut. Dia mengambil  gunting dan memotong sisa kekangan dari kepompong itu.

Kupu-kupu tersebut keluar dengan mudahnya. Namun, dia mempunyai tubuh gembung dan kecil, sayap-sayapnya berkeriut. Lelaki tersebut terus mengamatinya sambil berharap sayap-sayap itu akan mekar dan melebar sehingga mampu menampung tubuh kupu-kupu itu, yang mungkin akan berkembang seiring dengan berjalannya waktu. Namun, harapannya hanya tinggal harapan.

Hakikatnya, kupu-kupu itu terpaksa menghabiskan sisa hidupnya merangkak di sekitarnya dengan tubuh gembung dan sayap-sayap berkeriut dan tidak sempurna. Dia tidak pernah mampu terbang.

Lelaki yang membantu kupu-kupu tersebut tidak mengerti bahawa kupu-kupu tersebut perlu berjuang dengan daya usahanya sendiri untuk membebaskan diri dari kepompongnya. Lubang kecil yang perlu dilalui kupu-kupu tersebut akan memaksa cairan dari tubuh kupu-kupu itu ke dalam sayap-sayapnya sehingga dia akan siap terbang dan memperoleh kebebasan dari kepompong tersebut.

Kadang-kadang perjuangan adalah suatu yang kita perlukan dalam hidup kita.Jika Tuhan membiarkan kita hidup tanpa ranjau dan perjuangan, kita mungkin akan jadi lemah dan tak tahan ujian. Kita mungkin tidak kuat  untuk menghadapi rintangan bagi mencapai cita-cita dan harapan yang kita idamkan.

Kita mungkin tidak akan pernah dapat ‘terbang’ jauh. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

 Kita memohon kekuatan dan keteguhan hati…Dan Tuhan memberi kita dugaan dan ujian  untuk membuat kita kuat dan cekal..

Kita memohon kebijaksanaan…Dan Tuhan memberi kita berbagai persoalan hidup untuk diselesaikan agar kita bertambah bijaksana dan matang.

Kita memohon kemakmuran…Dan Tuhan memberi kita akal dan tenaga untuk dipergunakan sepenuhnya bagi mencapai kemakmuran.

Kita memohon cinta…Dan Tuhan memberi kita orang-orang bermasalah untuk diselamatkan dan dicintai.

Kita memohon kemurahan rezeki dan kebaikan hati…Dan Tuhan memberi kita kesempatan-kesempatan yang silih berganti.

Begitulah cara Tuhan membimbing Kita…

Adakah jika saya tidak memperoleh apa yang saya idamkan, bererti bahawa saya tidak mendapatkan segala yang saya inginkan ?

Kadang-kadang Tuhan tidak memberikan apa yang kita minta, tapi dengan pasti Tuhan memberikan yang terbaik untuk kita, kebanyakan kita tidak dapat melihat hikmah disebaliknya, bahkan tidak mahu menerima rencana Tuhan, padahal  itulah yang terbaik untuk kita.