
Bangunan atau pakaian?
April 30, 2008Oleh Muhaini Abd Shukor
“SAYA suruh awak design strata lima tingkat, bukan design baju dengan kain bertingkat-tingkat!”
Aini tersentak. Lakaran blaus yang baru siap separuh dimasukkan ke laci. Tersengih-sengih, Aini menyusun lakaran awal reka bentuk bangunan lima tingkat tersebut.
“Saya dah siapkan puan tapi lama sangat tunggu giliran, saya pun buatlah benda berfaedah lain.”
“Dah banyak kali saya nampak awak buat benda lain masa kelas saya. Awak kena fokus, bukan campur adukkan pelbagai perkara pada satu masa. Kenapa, awak dah tak minat nak jadi arkitek? Nak jadi ‘fashion designer’ pula?”
Aini membatu. Sungguh, dia tidak tahu jawapannya. Sudahnya dia diam dan memulakan sesi tutorial bersama Puan Azian. Usai sesi, dia mengemaskan barang, mengambil lakaran dari dalam laci lalu keluar dari studio. Dia mahu ke Alamanda.
Masuk saja ke Alamanda, Aini terus menuju MPH Bookstore. Fokusnya - fesyen. Dia mula membelek majalah fesyen. Setiap helaian diselak dan setiap buku berkaitan dijelajah. Informasi terkini dicatat, idea yang terhasil dilakar, gaya fesyen yang digemari diteliti. Tiga jam di situ, dia puas lalu pulang.
Balik ke rumah, komen Puan Azian perlu dikaji. Setiap hari dia perlu berjumpa pensyarahnya itu untuk perkembangan projek akhir subjek reka bentuk seni bina. Maka setiap malam dia perlu memperbaiki kerjanya. Biasanya jam dua tiga pagi baru dia tidur. Kalau siap awal, dia menyambung lakaran fesyen muslimahnya. Kalau tidak, esoknya selepas sesi tutorial barulah dia melakar semula. Kadangkala dia tidak cukup rehat untuk memastikan pelajaran dan minatnya seiring. Siang sibuk belajar, malam memperbaiki kerja dan kadangkala menjahit baju baru.
Sabtu, dia berhasrat menjahit blaus merah yang sudah lama dirancang. Semuanya telah disediakan. Kain sifon merah dengan corak buluh di hujung dipotong mengikut ukuran. Kemudian kain satin linen diukur untuk dipotong. Baru separuh jalan, adiknya menjerit memanggilnya turun. Patutlah, dah pukul 11.
Sampai di dapur, dia segera mengambil kuali dan sudip lalu mula menggoreng ayam berempah yang sudah tersedia di tepi dapur.
“Nak jahit baju, gunalah mesin mak. Tapi jangan ralit sangat. Mak tak nak pelajaran kau terganggu.
“Lagi satu, Sabtu Ahad jangan lupa tolong mak masak. Kita ni orang perempuan, tinggi mana pun pelajaran dan kejayaan kita, kemahiran memasak kena ada.”
Aini hanya diam. Mindanya mencerna nasihat ibunya tadi. Acapkali ia diulang-ulang - menjahit, pelajaran dan memasak. Sesungguhnya, dia terharu dengan keprihatinan ibunya, berbeza dengan teman lelakinya yang tidak menyokong minatnya.
“Belajar architecture sajalah, tak payahlah nak menjahit, buat baju. Awak bukan ambil course fashion design. Beli saja baju di kedai, tak payah susah-susah!”
Azhar memang tak memahami, susah bercakap dengannya. Dia hanya perlukan sokongan. Selama ini pun pelajarannya cemerlang, jarang dia mendapat gred B ke bawah. Sepanjang lima semester pengajiannya, tiga kali dia beroleh anugerah dekan. Minatnya juga seiring pelajaran. Asal ada pembentangan, pasti dijahit persalinan baru. Rakan-rakan ramai yang menyokong, kadangkala mereka akan membelinya. Sepanjang pengajian, sudah penuh satu almari dua pintu dengan rekaannya yang pelbagai.
******************
Isnin, usai bertemu Puan Azian membentangkan projek akhir, Aini melepas lelah di meja santai kegemarannya yang agak tersorok. Dia mengeluarkan fail lakaran fesyennya. Cadangnya, petang ini tumpuan pada lakaran tersebut, malam nanti barulah projek reka bentuk diteliti. Teruk juga dikomen Puan Azian tadi.
Salam yang menyapa telinganya menghentikan kerjanya. Dia menguntum senyum apabila Encik Izad, tutor matematiknya duduk di hadapannya. Mereka berbual seketika. Sudah dua semester dia belajar dengan Encik Izad. Semester kedua mereka lebih kerap berinteraksi apabila suatu hari Encik Izad memulangkan failnya yang tercicir selepas tamat kuliah. Fikirnya Encik Izad akan berasa hairan dengan hobinya, sebaliknya dia menunjukkan minat pada hasil kerjanya. Sejak itu mereka rapat dan Aini senang bersamanya.
Aini mengeluh apabila Puan Azian menelefon memintanya naik. Dia malas hendak mengemas. Seperti dapat membaca fikirannya, Encik Izad menawar diri menjaganya sementara dia berjumpa Puan Azian. Aini menguntum senyum. Dia segera ke bilik Puan Azian. Selepas berbincang dan menjawab beberapa soalan mengenai lawatan pelajar tahun akhir selepas tamat pengajian, Aini menuju semula ke meja kerjanya. Encik Izad dan failnya tiada. Aini panik, fikirannya kosong hingga tidak menyedari Encik Izad yang datang dari arah kanannya.
“Maaf, tadi ada student minta tolong. Saya kemas dan bawa sekali fail awak. Maaf buat awak bimbang. Nah, harta awak.”
Aini lega. Selepas mengucapkan terima kasih, mereka beredar menuju haluan masing-masing. Encik Izad ke bilik kuliah manakala Aini pulang ke rumah, dia berhasrat menyiapkan blaus merahnya.
Malam itu, sedang dia asyik menggayakan blaus merah yang sudah siap dijahit, Azhar menelefon. Dengan riang dia memberitahu Azhar tentang blausnya. Tidak semena-mena, Azhar menyatakan hasrat untuk berpisah. Katanya, Aini sudah tidak ada masa lagi untuknya. Dia cuba memahami kesibukan Aini hingga menyebabkan mereka jarang berjumpa. Tapi, lama kelamaan, dia berasa dirinya tidak penting lagi pada Aini, dia jarang dipeduli. Dia kecewa. Maka, daripada berterusan makan hati dengan sikap Aini, lebih baik dia memutuskan hubungan mereka dan meneruskan hidup.
Aini terkejut, kecewa. Perhubungan selama empat tahun itu berakhir. Aini rasa semangatnya hilang. Perpisahan tersebut benar-benar memberi tamparan padanya.
Kesan kejadian tersebut, Aini lebih banyak diam dan termenung. Rakan-rakan yang menegur dibalas dengan senyuman dan cerita ringkas tentang perpisahannya. Selebihnya dia menyendiri. Keceriaannya juga hilang bersama semangatnya. Dia tidak lagi bersemangat di kelas. Fikirannya lebih banyak menerawang. Failnya juga sudah lama tidak terusik. Ibunya risau melihatnya. Aini benar-benar berubah.
Terlalu melayan perasaan memang memudaratkan. Projek reka bentuk sudah memasuki fasa baru di mana setiap pelajar wajib tampil dengan idea dan konsep serta reka bentuk bangunan yang diingini. Hanya tinggal lima minggu lagi sebelum tarikh penghantaran. Ketika rakan-rakannya sudah bersedia dengan pembentangan masing-masing, dia langsung belum menyiapkannya. Akibatnya, petang Khamis itu dia teruk dimarahi ketiga-tiga pensyarahnya. Mereka memberi amaran tentang prestasinya yang jatuh mendadak. Mereka juga bimbang dia terpaksa mengulang subjek tersebut.
Seperti diketuk, dia mula sedar realiti kehidupan. Selepas sesi pembentangan, dia menangis di meja santainya. Dia merenung kesilapan diri dan insaf. Betapa bodohnya dia terhanyut kerana perpisahan yang kecil itu dan terlalu melayan perasaan hingga menyusahkan diri sendiri dan membimbangkan orang-orang di sekelilingnya. Dia kesal, bersalah dan malu. Tapi dia masih belum cukup kuat untuk bangkit semula.
Dalam esak dan tangis, sehelai tisu dihulurkan padanya. Encik Izad senyum memandang Aini yang jelas terkejut dengan kedatangannya.
Dengan rasa segan, Aini menyambutnya dan mula mengesat air matanya. Dibiarkan Encik Izad duduk menemaninya.
“Semua orang ada jatuh bangunnya Aini. Tapi tak kira betapa kali kita jatuh, yang penting kita kena bangun semula. Tentang perpisahan awak, awak kena kuat dan buktikan yang perpisahan itu tidak mengubah diri awak. Awak ada terlalu banyak keistimewaan dan kebolehan untuk dimanfaatkan. Jangan disebabkan peristiwa itu awak nak melepaskan segala-galanya.”
Encik Izad menghela nafas.
“Saya perasan awak dah berubah. Awak bukan lagi Aini yang saya kenal, yang ceria, yang bersemangat. Mana Aini yang selalu merungut letih siapkan projek reka bentuk? Mana Aini yang selalu buat orang ketawa masa pembentangan? Mana Aini yang selalu berkepit dengan failnya? Mana Aini yang dulu? Mana?”
“Bersemangatlah, bangun! Jangan sia-siakan hidup awak. Jangan satu hari nanti awak menyesal sebab awak lambat sedar! Tak ada sesiapa yang akan pedulikan awak kalau awak tak sayang diri sendiri.”
Saat itu Aini seperti disuntik kekuatan. Jerkahan demi jerkahan itu benar-benar mengembalikan semangatnya. Ya, dia harus bangun untuk meneruskan hidup, untuk berjaya dan untuk semua orang di sekelilingnya. Dia tidak sanggup meleburkan segala pengorbanan waktu, tenaga dan wang ringgit selama ini demi satu ujian kecil dalam hidupnya. Dia akan bangun demi sayangnya pada diri sendiri dan demi kasih sayang orang-orang yang menyayanginya. Dia perlu bangun dan berlari dengan pantas.
Cebisan hidupnya dikutip semula. Dengan semangat baru, dia mengatur langkah. Projek akhir diteliti semula. Pandangan dan kritikan diminta pada pensyarah dan rakan-rakan yang menyambut baik ‘kepulangannya’. Setiap hari dia menyiapkan kerja hingga lewat pagi. Esoknya dia akan pastikan pensyarah ditemui untuk mengkritik hasilnya. Hingga saat-saat terakhir, dia masih berusaha dengan gigih kerana dia sedar bebannya dua kali ganda lebih banyak akibat kesilapannya dulu.
Sesi penghantaran dan pembentangan akhir, dia bersedia seadanya. Blaus merah yang disiapkan dulu dikenakan dengan skirt labuh paras buku lali dan tudung. Semangatnya membara. Petang itu dia membentangkan hasil kerjanya dengan baik dan dapat menjawab setiap soalan daripada pensyarah dan pengkritik jemputan. Lewat pembentangannya, rakan-rakan bertepuk gemuruh apabila Puan Azian menyatakan rasa bangga dengan perubahan dan hasil akhir projeknya yang nyata tidak menghampakan.
Peperiksaan juga dijawab dengan baik setelah siang malam bersengkang mata memahami semula pelajaran yang tertinggal. Petang Sabtu selepas tamat minggu peperiksaan, mereka bertolak ke Bandung untuk bersuka ria meraikan tamat pengajian.
Dia mahu bergembira dan menikmati saat-saat akhir bersama ‘keluarga’ yang telah tiga tahun bersamanya. Ya, dia benar-benar pulih dan sedang menikmati hidup kini. Dia yakin, Aini yang dulu telah kembali malah lebih bersemangat.
Seminggu di Bandung, pelbagai ilham fesyen diperoleh dan dia tidak sabar ingin membuka failnya semula. Pulang dari Bandung, segmen fesyen dalam akhbar mingguan Ahad itu mengejutkannya. Sukar dinafikan fesyen muslimah di bawah label Muslim Mode amat serupa dengan kebanyakan rekaannya. Bukan hanya rekaan, warna, perincian dan penggayaan juga persis koleksinya. Dia tergamam tatkala terpandang satu wajah yang dikenalinya. Dia mahukan penjelasan.
Pagi esoknya, Aini ke pejabat Encik Izad dengan akhbar tersebut. Perasaan marahnya berselang-seli dengan rasa sedih diperlakukan begitu oleh insan yang dipercayainya. Dia benar-benar kecewa dengan Encik Izad.
“Eh, baru seminggu tak jumpa awak dah makin gelap. Main panas ke kat Bandung?”
Sapaan Encik Izad yang kebetulan menuju ke arahnya dibalas dengan wajah masam. Encik Izad terpandang akhbar di tangannya. Belum sempat membuka mulut, Encik Izad lebih dulu bersuara.
“Ikut saya, jangan tanya apa-apa. Nanti awak faham.”
Dalam kebingungan Aini dibawa ke gedung beli-belah terkemuka di tengah kota. Sepanjang perjalanan mereka hanya diam. Selepas memikir, dia hanya menuruti Encik Izad.
Muslim Mode, Aini tersentak memandang nama butik eksklusif yang dimasukinya. Encik Izad memintanya tunggu di sebuah bilik yang dihias sederhana dengan meja kerja. Sedang dia ralit memerhatikan keadaan sekeliling, Encik Izad masuk dengan seorang wanita yang anggun bergaya.
“Keluasan bilik ni memadai tak untuk awak?” Wanita anggun itu senyum.
“Hah?” Aini tidak dapat menangkap maksudnya.
Encik Izad senyum. “Kenalkan, ini kakak saya, Puan Noraini, pengusaha Muslim Mode. Maaf saya tak berterus-terang. Sebenarnya saya nak buat kejutan selepas awak balik Bandung. Tapi majlis yang kakak saya aturkan terpaksa dicepatkan seminggu. Jadi saya minta maaf awak terpaksa mengetahuinya begini.”
Aini masih bingung.
“Ingat tak masa saya hilang dengan fail awak? Sebenarnya waktu tu saya fotokopi semua lakaran awak. Saya percaya awak berbakat dan dunia muslimah perlukan pereka fesyen yang sensitif macam awak.
“Jadi saya serahkan pada kakak untuk menilai hasil kerja awak. Kakak saya berkenan sangat. Percaya tak, awak baru saja dapat kerja sebagai salah seorang pereka fesyen butik ni dan sekarang kita semua sedang berada dalam bilik kerja awak. Suka tak?”
Aini terpana. Belum sempat akal logiknya menelan kenyataan tersebut, Puan Noraini menghampirinya dengan kotak kecil berwarna merah jambu.
“Bulan depan syarikat akan adakan sidang media dan majlis memperkenalkan semua pereka di bawah label Muslim Mode. Jadi, jangan terkejut lama sangat sebab kita ada banyak kerja nak buat. Nah, pakai produk ni sebab saya mahu awak kelihatan menyerlah pada hari tu. Oklah, saya ada hal lain. Awak berboraklah dengan Izad.”
Puan Noraini beredar. Sampai di pintu, dia menguntum senyum seraya berkata, “Oh, by the way, awak tahu tak yang adik saya dah lama sukakan awak? Seingat saya dah setahun dia asyik bercerita pasal awak, baru beberapa bulan akhir ni dia cerita pasal bakat awak dalam bidang fesyen…”
“Kakak!”
Puan Noraini ketawa lalu keluar meninggalkan kami. Encik Izad tersipu-sipu. Aini terlongo. Mindanya masih belum habis menaksir kata-kata mereka. Entah mengapa, kata-kata akhir Puan Noraini membuatkan jantungnya berdegup kencang. Pandangannya tertancap pada anak mata Encik Izad, meminta penjelasan. Segala-galanya terlalu pantas.
Encik Izad menghampirinya. Lama terdiam dan merenung satu sama lain, dia menghela nafas.
“Kalau perasaan saya pada awak membuatkan awak tak selesa, lupakan saja. Saya tak sanggup hilang awak. Tapi saya ikhlas, saya tak mempermainkan awak. Saya nak bantu awak sebab saya tahu awak berbakat. Saya cuma nak awak gembira dan hargai apa yang awak ada. Aini, saya lega kalau awak gembira.”
******************
Hari yang cukup bermakna. Walaupun Aini masih keliru namun dia pasti dengan keputusannya hendak bekerja di Muslim Mode. Impiannya tercapai. Sedikit sebanyak dia gembira Encik Izad ada untuk menyokongnya. Tentang jodoh, dia percaya, suatu masa nanti masakan mungkin dia menolak insan seperti Encik Izad jika mereka memang ditakdirkan bersama.
Arkitektur? Suatu masa nanti dia ingin bergelar arkitek Aini. Kini, dia pasti bahawa semua orang boleh mencapai impian dan hasrat hati asalkan berusaha tanpa jemu. Jika dia boleh berjaya dalam kedua-dua bidang tersebut, dia percaya orang lain juga boleh. Paling penting, manfaatkan apa yang dimiliki, berusaha sedaya upaya dan hargai semua orang di sekeliling kita.
Dengan senyum gembira, Aini meyakinkan diri, siapa kata arkitek tak mampu jadi pereka fesyen?
Buli Siber
April 29, 2008Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
SEMUA orang pasti pernah menerima mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang berunsur fitnah dan cuba memburuk-burukkan seseorang.
Apabila anda menerimanya, apa yang anda lakukan? Memadamnya atau menyebarkannya kepada kawan lain supaya lebih ramai orang tahu?
Tahukah anda, menyebarkan SMS atau e-mel begini yang tidak diketahui kebenarannya adalah satu bentuk pembulian siber? Jadi selepas ini jika anda menerima SMS atau e-mel berunsur fitnah, padamkan segera dan usah memanjangkannya kepada orang lain.
Buli satu masalah besar. Ia boleh membuatkan seseorang berasa terluka, sakit hati, malu, takut, sunyi, terasing dan sedih. Buli tidak terhad kepada perlakuan fizikal saja seperti memukul, menendang, mencubit atau menolak.
Buli juga boleh dilakukan dengan kata-kata dengan memberi gelaran, mengancam, menjadikan seseorang bahan ketawa atau memfitnah (mengada-adakan cerita).
Kini ada saluran baru untuk membuli seseorang iaitu melalui Internet atau lebih dikenali sebagai buli siber. Sebenarnya ia bukan perkara baru dan kita melihat pelbagai contoh buli siber seperti yang pernah dipaparkan dalam akhbar.
Mengapa boleh wujud pembuli? Sesetengah pembuli mahu mendapat perhatian. Pembuli mungkin berfikir membuli kaedah popular yang memudahkan mereka mendapat apa dihajati. Kebanyakan pembuli melakukan pelbagai tindakan untuk membuat diri berasa penting, besar dan berpengaruh.
Sikap keluarga yang suka marah-marah, menjerit dan memberi gelaran buruk kepada ahli keluarga lain juga boleh mendorong seseorang, terutama kanak-kanak, menjadi pembuli.
Mereka beranggapan dengan menjerit, bersikap pemarah dan memanggil nama tertentu adalah perkara normal kerana ia dilihat berlaku setiap hari dalam keluarganya. Pembuli begini tidak faham dan tidak peduli perasaan orang lain.
Sesetengah pembuli tahu tindakan mereka boleh memalukan atau melukakan perasaan orang lain. Mereka sengaja berbuat demikian untuk mencapai keinginan dan memuaskan hati.
Namun ada juga pembuli tidak tahu bagaimana sakit hati, malu dan terseksanya mangsa buli akibat perbuatan mereka.
Hal ini tidak terkecuali dalam buli siber. Pembuli siber menggunakan SMS, e-mel, blog (diari atau catatan peribadi yang boleh dibaca sesiapa saja di Internet) atau laman web untuk mengganggu, mengancam dan memalukan seseorang tanpa mendedahkan identiti mereka yang sebenar.
Ada bermacam jenis pembulian siber; daripada membuat fitnah atau khabar angin, menyebarkan gambar yang boleh memalukan sehinggalah menghantar mesej memalukan, berulang kali mengganggu (termasuk gangguan seksual), mengancam atau memeras ugut.
Semua orang terdedah kepada risiko buli siber. Bagaimanapun, kumpulan paling berisiko adalah pelayar Internet muda. Ada dua perbezaan utama antara buli di alam nyata dan siber. Pembuli siber menggunakan teknologi untuk menyebarkan mesej dengan cepat kepada ramai orang.
Malah, mereka boleh mengambil gambar memalukan menggunakan kamera telefon bimbit dan menyebarkannya kepada kawan lain dalam masa beberapa minit saja. Selain telefon bimbit, komputer dan Internet membolehkan pembuli berselindung di balik nama samaran yang secara tidak langsung memberi mereka peluang melakukan aktiviti buli dengan lebih rancak.
Menurut Pengurus Pemasaran Serantau Symantec, Effendy Ibrahim, pembulian siber lebih bersifat serangan peribadi yang ditujukan khas untuk seseorang.
Biasanya ia dilakukan remaja atau golongan muda dan kadangkala orang dewasa yang bermasalah.
“Buli siber adalah perlakuan anti sosial secara on-line. Ia jelas menunjukkan si pembuli ada masalah tingkah laku dan mental. Pembulian siber juga mungkin menandakan individu itu kesunyian dan mahukan perhatian daripada pengguna Internet lain,” katanya.
Mengapa pembulian siber perlu dibimbangkan? Kajian Symantec mendapati 72 peratus remaja Asia berumur 15 hingga 24 tahun menggunakan Internet untuk pelbagai perkara, termasuk mencari maklumat, memuat turun lagu atau perisian serta mencari kenalan.
Lebih 42 peratus pengguna Internet di Malaysia berumur kurang 24 tahun, 47 peratus pelajar sekolah menengah dan lapan peratus pula masih belajar di sekolah rendah.
Internet menjadi sebahagian hidup golongan muda kini. Menghalang mereka menggunakan Internet seolah-olah melumpuhkan separuh hayat mereka.
Namun kita perlu berhati-hati kerana pengguna Internet bukan saja terdedah kepada pembulian, malah berisiko menjadi mangsa penipuan dan 93 peratus mangsa adalah pengguna Internet persendirian.
“Gangguan ini bukan saja memalukan, tetapi boleh menyebabkan seseorang remaja berasa rendah diri sehingga ada yang nekad membunuh diri.
“Di luar negara, seorang remaja perempuan berumur 13 tahun membunuh diri selepas teman lelaki Internet memutuskan ‘hubungan’ dan berkata dunia akan menjadi lebih baik jika remaja perempuan itu tiada.
“Sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 60 kes buli siber dilaporkan ke Keselamatan Siber Malaysia di bawah kategori gangguan elektronik. Jumlah yang rendah ini bukan bermakna tidak banyak kes buli berlaku, tetapi kebanyakan mangsa ‘malas’ untuk menghebohkannya dan menganggap ia tidak perlu dilayan,” kata Effendy.
Apa yang remaja fikir dan buat?
Ini sebabnya ibu bapa perlu ambil tahu kegiatan Internet anak. Ia bukan saja untuk memantau anak melayari laman web tidak sepatutnya, malah boleh melindungi anak daripada menjadi mangsa buli siber.
Jika anak menjadi mangsa buli siber, dia mungkin merahsiakan perkara ini kerana malu dan bimbang anda marah atau melarang mereka menggunakan telefon bimbit mahupun komputer. Bagaimanapun, usah risau kerana beberapa tanda yang boleh diperhatikan iaitu:
Bagaimana menangani buli siber:
Ibu bapa juga perlu ambil tahu adakah anak mereka menjadi pembuli siber. Antara langkah yang boleh diambil ialah:
Panduan perlindungan jenayah Internet:
Ingat:
Panduan untuk ibu bapa:
Ancaman on-line ramaja
> 71 peratus menerima pesanan daripada individu tidak dikenali.
> 45 peratus ditanya mengenai maklumat diri oleh orang tidak dikenali.
> 61 peratus pernah menghantar maklumat diri dalam laman web rangkaian sosial seperti MySpace, Friendster, Xanga atau Facebook.
> 34 peratus melihat bahan seks yang tidak ingin dilihat secara online.
> 13 peratus pernah menerima mesej berunsur seks.
> 9 peratus diganggu dalam pelbagai cara.
Puisi dari filem LOVE
April 28, 2008Rugi lengah berkahwin
April 24, 2008Oleh NOOR HASLIZA NUSI
MEMETIK kata dari buku bertajuk Membina Rasa Cinta, nukilan pakar motivasi, Dr. HM Tuah Iskandar, cinta lahir bersama lahirnya manusia. Ia satu perasaan yang sukar difahami. Anda tidak boleh lari daripada cinta kerana semakin anda cuba menyendiri semakin ia datang menghampiri.
Kata orang dahulu pula, tidak elok bercinta lama-lama, takut nanti dikebas orang. Pepatah ini membuktikan bahawa jalinan cinta yang sudah lama dibina sepatutnya diakhiri dengan ikatan perkahwinan.
Justeru itu, jangan berlengah untuk menggapai waktu kemuncak ke alam pernikahan. Ini kerana cinta tidak akan berakhir dalam sebuah kehidupan yang hakiki.
Setiap insan inginkan kebahagiaan, disayangi, dibelai, dihargai dan dihormati oleh apa yang dinamakan cinta. Menurut Tuah, waktu bercinta, cintalah pasangan seadanya dan apabila berkahwin, cintalah pasangan sebenar-benarnya.
Dalam meniti usia yang semakin lewat senja, rugi sekiranya ada dalam kalangan kita melewatkan perkahwinan, biarpun tiada lagi yang ingin dipertaruhkan kala percintaan sedang membara.
Kata Tuah, tempoh menjalinkan hubungan cinta yang terlalu lama boleh mendatangkan impak pada sesebuah kebahagiaan yang dinikmati dalam alam percintaan. Ini sekali gus akan meletakkan pasangan berhadapan dengan pelbagai risiko tanpa dipinta.
“Saat dilamun cinta, janganlah sesekali membiarkan masa berlalu dengan begitu lama, takut ia mengundang perkara yang tidak diingini. Antara risiko yang mungkin melanda pasangan ialah rasa bosan yang tidak diduga dan boleh muncul pada bila-bila masa.
“Cinta yang dibina sejak sekian lama tidak semestinya boleh menimbulkan rasa kasih dan sayang yang berterusan. Pasangan mungkin beralih pandangan pada suatu sudut yang berbeza. Ia boleh membentuk rasa bosan, hilang perasaan, keraguan dan kurang keyakinan terhadap pasangan.
“Perlu diingatkan, cinta tidak semestinya indah. Ia selalunya dipenuhi 1001 rasa termasuklah marah, merajuk, sedih, ungkit-mengungkit, sakit hati, gaduh, tidak mengerti dan dendam yang tiada kesudahannya,” ujarnya.
Jelasnya, faktor kewangan, urusan rumah tangga dan anak-anak tidak sepatutnya menjadi alasan pasangan hari ini untuk lambat berkahwin.
“Ketakutan membiayai kehidupan, sememangnya menjadi alasan yang kini menghantui ramai pasangan khususnya golongan lelaki untuk mendirikan rumah tangga. Sebenarnya, rezeki seseorang akan bertambah sekiranya dia membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
“Pernahkah kita mendengar, orang yang mendirikan rumah tangga dan dikurniakan cahaya mata selama ini, tidak mampu menyara hidup bersama anak-anak? Walaupun tidak semewah yang diharapkan, tetapi mereka tetap dianugerahkan keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri,” tegasnya.
Jadi, katanya, berfikirlah sebelum melakukan suatu perkara yang membatasi perhubungan.
Menurut Tuah, tidak elok dipandang sekiranya bercinta terlalu lama.
“Cinta bukan sahaja mengajar seseorang erti kebahagiaan dan kematangan, tetapi ia juga boleh mendorong ke arah perilaku yang tidak baik di sisi agama,” katanya.
Justeru itu, bagi pasangan yang sedang mabuk bercinta, terdapat lima elemen yang mampu membuatkan cinta itu berkekalan dan disudahi dengan ikatan perkahwinan sekiranya ia diamalkan dalam kehidupan harian. Antaranya ialah:
Cinta pada Allah
Ketika sedang hangat dilamun cinta, sedarilah kita pada hakikatnya di manakah lahirnya erti sebuah cinta. Setiap insan perlu mencintai Allah dan mensyukuri nikmati yang diberikan. Tanamkan dalam hati, ‘Aku cinta Allah’. Niat yang betul pasti akan dimakbulkan oleh-Nya.
Cinta pada Nabi
Pelengkap kehidupan adalah cinta pada Allah dan Rasul-Nya. Ibarat cinta pada sebuah kereta, tetapi tayarnya tidak. Apakah yang akan timbul sekiranya cinta yang dilahirkan bukan secara keseluruhan dan tiada keikhlasan?
Cinta kepada ibu dan ayah
Kasih ibu hingga ke syurga, kasih bapa tiada penghujungnya. Sama ada yang masih hidup mahupun telah kembali kepada-Nya, tanamkan rasa cinta kepada ibu dan ayah. Restu ibu dan ayah membawa sinar kebahagiaan sepanjang hayat. Jadi, hubungan cinta mesti mendapat keredaan daripada mereka.
Cinta kepada guru
Guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri untuk kebahagiaan orang lain. Besar nyala api, besar lagi ilmu yang diberikan. Sekiranya memperoleh ilmu, maka kita tidak akan sesekali mempersiakan kehidupan yang mencabar sehingga boleh mencetuskan perbuatan yang terkutuk dan dilarang agama. Peranan seorang guru mempunyai persamaan seperti seorang ibu.
Cinta pada diri sendiri
Sayangilah diri anda seperti mana anda menyintai ibu dan ayah. Jangan sesekali menganiaya diri sendiri sehingga sanggup mengorbankan separuh kehidupan, akibat dinodai perasaan cinta yang mendalam dari insan bergelar kekasih.
Tanya pada diri sama ada bersedia ataupun tidak dengan cinta pasangan itu.
Menurut Tuah, lima elemen di atas memberi impak mendalam pada diri sendiri dan ia berkesan membentuk sebuah perhubungan cinta ke arah yang lebih positif dan berpendirian.
DIkirim oleh Haniey






