Dilema gadis ternoda

Oleh Dr. Amran Kasimin

SOALAN: Saya dinodai oleh teman lelaki tanpa kerelaan. Saya sangat menyesal. Walaupun demikian, perasaan rindu kepadanya semakin menebal dan sering bertemu seperti pasangan muda lain.

Ada kalanya kami mengulangi perbuatan terkutuk ini, biarpun hakikatnya hati tetap membantah. Sekarang saya telah bertunang dengan seorang jejaka yang setakat ini memenuhi kehendak saya.

Kejujurannya, menyebabkan saya berdosa, mengkhianatinya kerana perbuatan saya yang lalu. Saya terus-menerus rasa bersalah sekiranya tidak memberitahu apa yang sebenarnya berlaku sebelum ini. Apa perlu saya buat?

– Nah, Skudai.

———————————————

JAWAPAN: Allah melarang melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan zina, seperti duduk berdua-duaan di tempat sunyi di antara lelaki perempuan. Begitu juga ke tempat-tempat yang mengasyikkan, membangkitkan rasa ghairah, menonton video lucah, menatap gambar-gambar yang membangkitkan syahwat dan sebagainya.

Perbuatan yang menyebabkan zina diistilahkan sebagai ‘wasitah’ atau perantaraan. Jika perbuatan-perbuatan ini dapat dijauhkan maka perzinaan juga dapat dihindarkan.

Seperti yang dijelaskan, berkhalwat iaitu duduk di tempat sunyi di antara lelaki dan perempuan tetap dilarang biarpun melibatkan tugas, di antara suami orang dan isteri orang, apatah lagi sekiranya masih bujang.

Apabila seorang lelaki itu berkhalwat dengan perempuan di tempat sunyi, maka makhluk yang ketiga ialah iblis dan syaitan yang merangsang. Rasulullah memberi amaran menyatakan barangsiapa mengembala kambing di tepi kolam, ditakuti ia akan terjerumus di dalamnya. Sesungguhnya mencegah atau berjaga-jaga itu adalah lebih baik daripada memperbaiki atau merawatnya.

Termasuk dalam tegahan zina ialah apa- apa kegiatan yang boleh merangsang seks seperti disebut di atas atau di kelab-kelab malam yang menyediakan tempat menari lelaki dan perempuan, mengunjungi kelab- kelab yang menyediakan persembahan muzik atau nyanyian yang mengkhayalkan, mengunjungi tempat-tempat yang terdapat padanya manusia separuh bogel atau tiga suku bogel di mana-mana sahaja termasuk di beberapa tempat di pulau tertentu yang begitu banyak dikunjungi perempuan Barat.

Tegahan lain ialah melihat gambar-gambar yang membangkitkan syahwat. Perbuatan mereka yang mencetak, mengedar, menyiarkan dan sebagainya gambar-gambar ini secara langsung atau tidak langsung adalah terlibat dengan perbuatan yang ditegah atau diharamkan menurut perhitungan syariah.

Sesuatu perbuatan yang diharamkan dalam Islam bererti bahawa terdapat banyak keburukan sama ada pada diri, keluarga atau orang awam. Kalau difikir secara serius, perbuatan-perbuatan tadi adalah merosakkan, tetapi ramai yang tidak mempedulikannya kerana nafsu atau kepentingan komersial.

Maksud duduk berdua-duaan atau berkhalwat, seperti yang difahami orang Melayu ialah melibatkan perbuatan berdua-duaan, sama ada di rumah, taman bunga, hotel, kenderaan atau di mana-mana tempat. Tegahan ini adalah umum tidak kira kedudukan atau pangkat seseorang. Kategori atau klasifikasi manusia bukan faktor pembanteras nafsu. Telah banyak bukti menunjukkan tentang lojiknya tegahan seperti ini.

Apabila seorang lelaki itu berdua-duaan di tempat seperti dijelaskan dan apabila nafsu menguasai diri, terutamanya lelaki, pasangannya seumpama tidak boleh berbuat apa-apa. Hendak menjerit rasa malu kerana melibatkan diri, malu menjatuhkan maruah orang yang sedang bernafsu, mungkin kerana ia teman rapat, seorang yang dihormati dan berpangkat atau dianya seorang ketua.

Boleh jadi juga seseorang itu benar-benar menjerit meminta tolong, tetapi tempat itu jauh daripada manusia seperti di taman bunga, dalam kereta yang berkunci atau di hotel-hotel yang sukar didengar jeritan.

Yang ada hanya syaitan yang turut menggoda, membangkitkan rasa ghairah lelaki terlibat. Kerana itu, jeritan hanya sia-sia. Hal seumpama ini menjadi tidak terkawal sekiranya perempuan terlibat akhirnya tenggelam sama dibuai nafsu.

Di sini kita dapat memikiri kenapa berkhalwat itu ditegah dan diharamkan.

Saudari menjelaskan yang diri saudari telah “ternoda’’ kerana dilakukan tanpa kerelaan. Namun, sekiranya difikir baik-baik, saudari tidak suka diperlakukan sedemikian rupa oleh teman lelaki saudari, tetapi hakikatnya saudari telah memberi peluang atau ruang pada pasangan saudari.

Saudari tidak mahu dinodai tetapi tindak tanduk seolah-olah bersedia untuk dinodai, iaitu mahu diheret ke tempat-tempat yang jauh daripada manusia, di salah satu tempat seperti yang saya jelaskan.

Allah s.w.t. menjadikan manusia berpasang-pasangan untuk memperoleh kebahagiaan dan ketenangan di muka bumi. Kejahilan dan nafsu menyebabkan manusia seumpama tidak mengendahkan larangan Allah yang akhirnya membinasakan diri.

Orang yang ternoda akan menyesal kerana ia merasakan kehilangan sesuatu yang tidak diperoleh kembali, termasuk kehilangan maruah diri. Dunia dirasakan gelap, ganas, sempit dan merungsingkan.

Di antara kesal dan taubat adalah dua perkara yang berbeza. Saudari kesal kerana sebab-sebab yang jelas. Tetapi apabila berjumpa dengan teman lelaki lagi, saudari mengulangi perbuatan yang pernah dikesalkan.

Orang yang menurutkan nafsu, akan mengulanginya lagi. Kerana tunduk pada nafsu itu menyeronokkan pada mereka yang terkulai di bawah tipu helah iblis dan syaitan.

Kerana itulah, orang yang pernah melakukan zina akan mengulanginya. Setelah melakukannya beberapa kali, penyesalan itu akan terhakis sedikit demi sedikit dan akhirnya terhapus. Ada juga orang yang berpegang pada peribahasa, “Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.”

Kalau peribahasa ini dijadikan pegangan untuk memuaskan nafsu, ini merupakan panduan menyesatkan. Saudari membantah setiap kali mengulangi perbuatan terkutuk itu semata-mata kerana masih waras, berupaya mengimbang atau memberi hukuman antara perbuatan baik dan jahat, tetapi saudari tertipu, kalah dengan nafsu jahat saudari.

Saudari sepatutnya bukan setakat menyesal, tetapi mesti bertaubat, iaitu berazam tidak mengulanginya lagi, menjauhkan elemen yang boleh menjebak saudari pada perlakuan yang sama dan lain-lain syarat bertaubat seperti yang disyariatkan.

Rasa salah dan dosa hanya perlu pada Allah. Merujuk kes saudari rasa salah itu bukan pada tunang. Perasaan seperti itu timbul kerana saudari jujur dan berfikiran sempurna. Walaupun demikian, kalau saudari memberi tahu hal yang sebenar kepadanya, keburukan akan timbul. Tanggapan tunang akan berubah. Mungkin ia menyesal, memandang rendah kerana saudari telah ternoda. Manusia sering mahukan sesuatu yang terbaik, original dan tidak cacat tanpa berupaya memikiri sama ada dirinya mempunyai sifat seperti itu atau tidak.

Mungkin tunang saudari tidak ambil kira latar belakang saudari. Ini boleh berlaku kerana menganggapnya perkara biasa, telah berlalu dan di luar kerelaan. Ia terlalu kasih atau simpati untuk menyelamatkan saudari. Hal demikian mungkin berlaku dalam keadaan waras, normal, tetapi bagi orang Timur, perempuan yang ternoda tidak dianggap sebagai perkara biasa. Ia sentiasa menghantui fikiran seseorang.

Ditakuti juga tunang saudari menganggap saudari jahat dan mudah diperlakukan demikian. Kerana itu saudari mungkin akan terjebak lagi, akibat apa yang saudari anggap jujur. Besar kemungkinan tunang saudari akan memutuskan ikatan apabila ia jemu dan patah hati dengan memberi helah menyatakan saudari tidak suci lagi, tidak layak dijadikan isteri, banyak kali meniduri lelaki dan sebagainya. Ketika itu saudari tidak mempunyai alasan untuk menafikannya.

Jelas di sini, kejujuran bukan semestinya dibuktikan melalui pengakuan yang seseorang itu telah ternoda. Rasa marah akan timbul apabila tunang saudari bertemu dengan teman lelaki yang menodai saudari.

PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin.
Lot 3673, Jalan Aman,
Kg. Sungai Merab Luar,
43000 Kajang, Selangor.

Petikan: Mingguan Malaysia

Advertisements

6 responses to “Dilema gadis ternoda

  1. Padan laa macam aku penah baca..Dipetik dari Mingguan Malaysia rupenya..Hehehehe

  2. Tahniah, petikan artikel yang bermanfaat.. semoga dijauhi Allah segala keburukan

    IbnRajab
    http://ibnrajab.wordpress.com

  3. Dr. Amran, berilah hikmah dan kata2 yg terbaik untuk menasihati. Terasa setiap kata2 Dr. Amran seperti jari yang di tunjuk dalam mata. Setiap kita manusia akan mengalami masa2 dimana kita heedless, seperti kakek kita Nabi Adam as. Setiap kita pasti akan masuk at least satu kali dalam lubang dosa yg menghimpit dada. Jika sudah terjadi dosa itu, apa daya? Can we turn back the time? Never!!! Jadi, belajar dari kesalahn kakek kita, repent, minta ampun kepada Tuhan dan akui kesalahan dan kelemahan diri di hadapan keagungan dan kebesaran Tuhan. KIta tdk punya kekuatan apapun di hadapan Tuhan. Minta bantuan Tuhan untuk merubah diri dan menjadi hamba yg seperti Dia inginkan. Saatnya untuk perbaiki diri! Jangan buka lg lubang masa lalu!Merendahlah di hadapan Tuhan, Tuhan akan anugrahkan kemulian. Jangan putus asa. Dan jangan menghakimi dan menilai diri lebih, itu sikap iblis.

  4. Allahu a’lam

  5. ana setuju dgn pendapat indah. tak ingat ana baca di mana, dosa itu satu rahmat bagi mereka yg ingin bertaubat.masa yang lalu tidak boleh diputar semula.ramai manusia yang melakukan kesalahan, tetapi tidak ramai yang tahu cara utk koreksi. hanya Allah sahaja yang sebaik2 hakim untuk judge kita. Bertaubat dgn sebenar2 taubat, dgn memnuhi syarat2 taubat, banyakkan taubat dan berdoa. Sedangkan seorang pelacur pun boleh masuk syurga hanya memberi minum kepada seekor anjing. Peringatan untuk diri sendiri juga

  6. saya sokong pendapat indah dan islah…kerana setiap manusia pasti akan melakukan kesalahan..kita tak boleh menghakiminya…hanya Allah saja yang berhak..kita harus memberinya peluang untuk bertaubat..pintu taubat terbuka untuk semua insan yang alpa dan ingin kembali ke pangkal jalan…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s