Bahana cinta terlarang

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF

Salah faham mengenai pengertian cinta berpunca daripada kurangnya pemahaman dan kasih sayang. Bagaimana membendungnya?

SETIAP insan yang dilahirkan di dunia ini tidak pernah terlepas merasai kenikmatan, kehebatan dan kedukaan akibat cinta. Cinta yang tidak mengenal rupa atau darjat menimbulkan perasaan sayang dan rindu dalam hati seseorang.

Jika bijak mengawal dan mengatasi kuasa cinta, maka ia akan menyelamatkan pasangan yang bercinta daripada melakukan perkara terlarang.

Selain itu, antara cinta terlarang yang semakin hebat diperkatakan pada hari ini ialah cinta sejenis.

Dalam kes ini, dapat dilihat, golongan lelaki hanya berminat menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki manakala kaum wanita bersama wanita.

“Saya mula terjebak dengan cinta sejenis, sejak di sekolah menengah lagi. Walaupun pada ketika itu, saya menuntut di sekolah campuran dan merupakan ketua kumpulan dakwah tetapi akhirnya saya terlibat jua dengan perkara yang berdosa ini.

“Perasaan cinta terhadap lelaki semakin sukar dibendung. Apabila melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, saya mula berani dan melangkah ke tahap yang cukup memalukan. Melakukan seks di luar tabii,” jelas seorang pemuda yang hanya ingin dikenali sebagai Zarif yang turut memberitahu bahawa dia pernah melakukan seks di luar tabii berulang kali.

Lama kelamaan Zarif mula sedar percintaan terlarang tersebut tidak dapat menjamin kebahagiaan mahupun mengembangkan zuriat. Lalu dia mengambil keputusan bertunang bagi merawat diri.

Malangnya, ikatan pertunangan terpaksa diputuskan kerana Zarif gagal dan sukar untuk mencintai pasangan berlainan jenis.

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Aminah Abdul Rahman, pemodenan era globalisasi dan kehidupan sosial dari Barat, sedikit sebanyak mempengaruhi gaya hidup negatif masyarakat tempatan.

Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan di Barat atau hubungan songsang yang tiada batasan semakin ketara dan sukar dibendung.

Situasi tersebut turut mengundang remaja Malaysia berjinak-jinak melakukan perkara yang sama tanpa berfikir secara rasional.

“Remaja berpendapat, melangkah saja ke alam remaja maka diri mereka sudah cukup dewasa dan berfikiran matang. Bermula dari saat itu, mereka akan cuba meniru untuk bertindak dan berlagak seperti orang dewasa.

“Jika keinginan dihalang, mereka mula memberontak, terutamanya hal berkaitan cinta,” jelasnya pada Simposium Kekeluargaan di Kolej Universiti Sunway, Selangor baru-baru ini.

Salah faham mengenai pengertian cinta berpunca daripada kurangnya pemahaman dan kasih sayang. Kesannya, ia menjurus individu ke kancah aktiviti yang berlawanan dengan norma-norma positif masyarakat dan perundangan negara.
Sementara itu, pensyarah Norhashimah Abdul Jalil menegaskan, cinta terlarang bukan sahaja melibatkan kes cinta hubungan sejenis.

Malah, ia turut merangkumi sumbang mahram, berkhalwat, bersekedudukan, hubungan seks sebelum kahwin, hamil luar nikah, menggugurkan kandungan, masalah pembuangan bayi, kahwin lari dan pergaulan bebas.

“Keseronokan cinta terlarang hanya sementara. Hakikatnya, ia tidak sama seperti menjalin hubungan cinta dengan cara yang halal.

“Berdasarkan pengalaman saya, disebabkan cinta, kehidupan seseorang itu musnah kerana terpaksa merengkok dalam penjara selama setahun. Semuanya, gara-gara melahirkan anak luar nikah,” ujar pensyarah Bahagian Program Matrikulasi Kanada Antarabangsa subjek Pengajian Islamik Malaysia, Moral, Keluarga dan Individu di Kolej Universiti Sunway ini.

Bercerita lanjut mengenai gadis malang tersebut, Hashimah menjelaskan, Amira mula mengenali seks dan bertukar-tukar pasangan ketika berusia 13 tahun. Ketagihan dan pengaruh seks itu berpunca apabila dia mula menonton video lucah bersama saudara-maranya sejak usia enam tahun.

Dek kerana hidup dalam keluarga yang porak peranda, Amira tidak diberi didikan agama dan kasih sayang yang secukupnya. Lantas, Amira lari dari rumah dan tinggal bersama pasangannya.

“Adakah kita mahu situasi sebegini berlaku kepada rakan-rakan atau anak kita sendiri? Sebagai ibu bapa yang prihatin, berikan didikan agama yang secukupnya, sentiasa memanjatkan doa dan bentuk mereka supaya tidak tersasar daripada jalan yang betul.

“Golongan remaja juga perlu bijak memilih kawan dan pasangan agar tidak terlibat dengan gejala yang tidak sihat,” nasihat Hashimah.

Dalam menangani kes sebegini, Aminah menyarankan ibu bapa, guru, jiran tetangga dan juga rakan sebaya sentiasa prihatin dengan persekitaran.
 

Advertisements

3 responses to “Bahana cinta terlarang

  1. Lesbian semua ni memang biasa terjadi kalau kat sekolah perempuan semua..itu la bahaya nya. Mungkin kita kena monitor anak-anak kita tentang apa yg dia baca (novel jenis apa) dan jugak apa yg dia tengok kat internet. Dan juga kawan-kawan best friends dia siapa kat sekolah. Dan yg penting masukkan je ke sekolah agama sekali supaya tak byk buang masa. Tq.

  2. jangan ikutkan hati….

  3. Kalau sudah naluri begitu, elok diteruskan,dan akhirnya insaf dan bertaubat. terlalu siksa memendam perasaan dan berpura-pura. hanya yang pernah mengalaminya tahu betapa peritnya menafikan perasaan dan naluri tersebut.entahlah, sendiri buat sendirila tanggung.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s