Bendung rasa negatif

Oleh NORLAILA HAMIMA

EMOSI kita, sama ada gembira atau sedih, kita yang tentukan. Pilihan di tangan kita. Ini kata seorang pakar psikologi ketika membincangkan isu ‘pemilihan’ emosi yang boleh mempengaruhi perjalanan hidup seharian seseorang.

Kalau kita memilih untuk gembira, hari yang dilalui terasa ceria walaupun rutin. Secara tidak langsung, riak wajah kita juga tampak lebih manis dan tenang.

Malah, ada orang menyifatkan kegembiraan itu macam rama-rama cantik, mampu menyenangkan hati sesiapa yang memandang.

Walaupun ada kajian menunjukkan kebolehan untuk gembira banyak disumbangkan oleh faktor genetik, ramai penyelidik percaya perasaan positif, khususnya gembira, boleh dipupuk dan dirangsang dengan mengawal serta membendung perasaan negatif seperti pesimis, geram dan marah.

Apabila perasaan negatif dapat dikawal, baru perasaan positif seperti empati (kebolehan meletakkan diri dalam kedudukan atau keadaan orang lain), ketenangan dan kesyukuran boleh dipupuk dan dirangsang.

Perkara paling asas untuk mendapat kegembiraan ini ialah, kita mesti selesa dengan diri sendiri dan menerima kelebihan serta kekurangan diri dengan hati terbuka. Usah jadikan rupa paras atau warna kulit sebagai perbandingan yang menyebabkan kita rendah diri kerana ia anugerah terbaik dan unik Allah kepada setiap insan.

Keselesaan ini membuat kita yakin dan tenang; yang menjadi tonggak kepada kesejahteraan fikiran. Ada kajian menunjukkan individu yang gembira hidup sembilan tahun lebih lama berbanding golongan yang kerap tertekan dan murung. Untuk mendapat hidup bahagia dan gembira, kita kena berusaha mencarinya kerana kegembiraan tidak datang bergolek depan mata.

Antara strategi yang boleh dilakukan untuk gembira ialah:

Pilih untuk gembira — Pilihan ini ada di tangan setiap orang dan jadikan ia sebagai sasaran setiap hari. Bagaimanapun, perasaan gembira bukan datang begitu saja kerana sumbernya perlu dicari dan dipelajari.

Antaranya ialah belajar kemahiran mengurus diri, kebolehan berinteraksi dengan baik dan perkara yang boleh meningkatkan prestasi kerja. Pilih untuk ada di persekitaran atau berkawan dengan orang yang bersikap positif serta mampu membuat anda gembira.

Menurut pensyarah psikologi Universiti Virginia, Profesor Jon Haidt, untuk tenang, seseorang boleh memilih sama ada mahu menjadi pemaaf atau seorang yang selalu bersyukur dan berterima kasih.

Pupuk perasaan syukur — Kesyukuran ini perlu hadir dalam hati dan bukan hanya pada kata-kata. Lumrah manusia sering membandingkan diri sendiri dengan orang yang ada pelbagai kelebihan daripada pelbagai sudut.

Memang tidak salah jika ia dijadikan penguat semangat untuk berusaha, tetapi jika ia menjadi punca kesedihan, langkah terbaik ialah menyenaraikan kelebihan dimiliki seperti kasih sayang keluarga, suami, anak, makanan, tempat tinggal mahupun persekitaran.

Amalkan sifat pemaaf — Penyelidik berpendapat berfikiran negatif, memendam kemarahan dan sentiasa memikirkan keburukan orang lain memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental. Satu-satunya cara untuk mengikis kesan buruk ini ialah memaafkan kesilapan orang lain pada kita. Ini mengurangkan ingatan kita terhadap insiden pahit yang boleh merangsang perasaan marah.

Sebaliknya, kaji pendapat orang lain yang mungkin ada benarnya; walaupun kebenaran itu pahit untuk ditelan. Kenang semula perasaan anda apabila mendapat kemaafan daripada orang lain dan kebaikan yang lahir daripadanya. Apabila sudah memaafkan, berusaha melupakan kenangan kurang manis dan elak mengungkitnya semula.

Lawan pemikiran negatif — Pemikiran negatif umpama sampah dalam otak. Kita perlu belajar mengenal pasti pemikiran negatif supaya ia boleh dikawal dan dibuang. Contohnya, apabila nampak seseorang yang dikenali, anda mungkin terfikir perkara negatif mengenainya, tetapi ini adalah pemikiran yang boleh merosakkan persahabatan.

Yang perlu dilakukan ialah menepis pemikiran negatif tadi dan cari sifat positif yang dimiliki rakan berkenaan. Tidak kira berapa benci atau meluat pun kita pada seseorang, pastinya dia sebagai manusia ciptaan Tuhan (yang sama seperti kita) mempunyai kebaikan dan kelebihan tersendiri.

Tambah sahabat — Antara penawar kesedihan ialah mempunyai sahabat baik yang sentiasa mengambil berat mengenai anda. Kajian di Australia mendapati, warga emas berusia 70 tahun ke atas yang ada ramai sahabat hidup lebih lama dan gembira.

Sesetengah pakar psikologi percaya senario kehidupan sekarang yang bersifat individualistik antara punca peningkatan kes kemurungan dan tekanan yang berlaku di seluruh dunia. Ketiadaan kawan untuk meluahkan masalah menyebabkan ramai buntu fikiran hingga sanggup melakukan pelbagai tindakan nekad, termasuk membunuh diri.

Kegembiraan ada di keliling kita dan biasanya ia datang dalam bentuk kecil — Contoh paling mudah ialah menghadiahkan senyuman kepada orang lain, termasuk yang tidak dikenali, tanpa mengharapkan balasan. Pergerakan yang menggunakan beberapa otot di muka ini ada ‘khasiat’ kerana ia secara automatik membuat anda senang hati.

Sentiasa berbuat baik — Tidak kira sekecil mana pun bantuan yang diberi, ia boleh membuatkan si penerima dan pemberi bantuan gembira.

Jika tekanan boleh merangsang penyakit, penyelidik percaya kegembiraan memiliki ‘kuasa’ yang boleh melindungi kita daripada masalah kesihatan. Orang yang gembira berasa lebih yakin dengan keupayaan diri dan ia diakui menjadi ‘vitamin’ kepada sistem imun badan yang boleh mempercepatkan kadar penyembuhan.

Ini sebabnya di kebanyakan hospital, terutama di luar negara, ada kumpulan sokongan bagi pelbagai masalah kesihatan. Kumpulan sokongan ini membabitkan pesakit, bekas pesakit, ahli keluarga, rakan dan kakitangan perubatan yang berfungsi memberi semangat kepada pesakit melawan penyakit dihidapi.

Ia penting supaya pesakit kuat semangat dan percaya mereka boleh sembuh. Semangat dan kepercayaan ini sebenarnya ada pengaruh besar kepada pesakit kerana ia membuatkan badan memberi tindak balas lebih baik terhadap ubat.

Sertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan — Pilih aktiviti yang sesuai dengan minat anda, tetapi lebih baik jika ia turut memberi manfaat kepada orang lain dan persekitaran. Contohnya menyertai badan kebajikan, menjadi sukarelawan sama ada untuk membantu mangsa bencana mahupun memulihara alam sekitar.

Melalui cara ini kita bukan saja menambah kenalan, tetapi turut belajar banyak perkara baru. Tanpa anda sedari, proses belajar perkara baru dan bagaimana berdepan halangan boleh membantu minda menjadi lebih cerdas.

Malah, banyak kajian menunjukkan aktiviti yang mencabar minda ini boleh melindungi kita daripada pelbagai penyakit kemerosotan ingatan seperti dementia dan Alzheimer.

Wang bukan segala-galanya — Memang betul wang boleh merangsang kegembiraan, tetapi bukan semua kegembiraan boleh dibeli dengan wang. Walaupun kajian menunjukkan penduduk di negara kaya lebih gembira berbanding penduduk negara miskin, tetapi apabila sudah memiliki rumah, makanan, pakaian dan segala keperluan lain, mempunyai banyak wang tidak membuatkan seseorang jadi lebih gembira, kata penyelidik Universiti Princeton, Profesor Daniel Kahneman.

 Jangan lokek dengan pujian — Masyarakat kita memang lokek memberi pujian, terutama pada anak dan ahli keluarga, sedangkan ia boleh merangsang banyak perkara baik, kata Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh.

Pujian ke atas perkara kecil, terutama keupayaan orang lain — contohnya apabila anak mengemas alat permainannya — bukan saja boleh memberi kesan positif kepada individu yang dipuji, tetapi turut membuatkan anda berasa senang hati. Bagaimanapun, pujian biar ikhlas dan kena pada tempatnya.

Pekerja berasa lebih gembira dan bersemangat apabila mendapat pujian daripada ketua atau majikan. Pujian seringkas ‘bagus atau baik’ sudah memadai. Ia tanda penghargaan yang boleh merangsang semangat pekerja untuk berusaha lebih baik dan bersungguh-sungguh.

Belajar terima setiap dugaan dengan hati terbuka — Ia membolehkan kita berfikir dengan tenang dan dapat membuat keputusan lebih baik. Ketenangan ini bagaimanapun perlu dipelajari dan diamal. Memang ia tidak mudah, tetapi tiada yang mustahil sebelum dicuba.

Dekatkan diri dengan agama. Tidak kira apa juga fahaman yang anda anuti, kepercayaan terhadap Tuhan memang diakui meningkatkan keyakinan dan ketenangan fikiran seseorang.

Ketua Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Muhamad Husaain Habil, pernah berkata antara ubat paling mujarab untuk menghilangkan tekanan fikiran ialah sembahyang dan mendekatkan diri dengan Tuhan. Jadi apabila setiap kali berasa susah hati atau sedih, ingat bahawa kita ada Allah yang sentiasa mendengar keluhan dan rintihan hamba-Nya.

Bersenam — Senaman bukan saja baik untuk badan, tetapi menjadi ubat anti kemurungan yang sangat berkesan bagi jangka pendek dan panjang. Apabila bersenam, kita lebih segar dan tenang. Kajian membuktikan senaman mampu mengurangkan kemurungan pada semua peringkat umur dan kesannya lebih baik jika individu bermasalah turut mendapatkan rawatan perubatan.

Bahkan, ada penyelidik mendapati senaman boleh menjadi sebahagian ‘rawatan’ penting untuk pelbagai jenis masalah seperti keresahan, rasa rendah diri, isu berat badan dan ketagihan. Ia juga mampu meningkatkan fungsi mental dan fizikal; selain membuka peluang berinteraksi dan bersosial dengan orang lain yang turut bersenam bersama.

Advertisements

3 responses to “Bendung rasa negatif

  1. erm…sy seorg yg selalu pk negatif..bkn ape, sy seorg yg byk kekurangan diri..sbelum wat pape, sy akan pk negtif lu n baru pk yg positif.. x taw la..tp sy yakin klu kite da set kn dlm otak kite yg kite maw bergembira sepanjang ari, pasti kite akn gembira wlupown ade sesuatu yg membuat kita mara or sedih.. it’s all about ur mind..

  2. pahami kenapa kita rasa sedih…. hayati perasaan sedih tu… selesaikan masalah yang berkaitan.. dan kemudian pilihlah untuk gembira… kerana hidup kita x lama…. apa2 pun berlapang dada la atas segala sesuatu… ingat! every cloud has its silver lining…. cheers… xxx kr xxx

  3. HIDUP NI UTK DINIKMATI..
    BUKAN UTK RASA SEDIH, KECEWA DAN PATAH HATI..
    BUANG PERASAAN TU JAUH2.. SEMUA ORG ADA KEKURANGAN DAN KELEBIHAN MSG2.. JADI BERSYUKUR APA YG ADA.

    JAUHILAH DARI SIFAT2 MAZMUMAH. SEBAHAGIAN DRP HASUTAN DAN BISIKAN SYAITAN..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s