Arkib Label: luahan rasa

Kini Kau Milik Orang Lain – Suatu Luahan Hati Seorang Lelaki

Kini kau milik orang lain
Air mata kelelakianku gugur jua biarpun ditahan. Aku kecundang lantaran nokhtah cinta yang terbina begitu lama terputus di tengah jalan.

Di dalam tidurku, aku menangis apabila mengenangkan berita mengenai pertunanganmu.

Luahan Hati Cinta Kecewa

Sayangku,

Aku cukup terkilan dengan nokhtah cinta kita. Di lembah itu kita dipertemukan, segala pahit maung kita lalui dengan tabah sehinggalah kau berjaya mencapai kerjaya yang kau impikan. Aku cukup meminati kerjayamu apatah lagi sikapmu.

Lantaran kesungguhanku untukmu, pelbagai persediaan awal telah kubuat, duit hantaran kita dan cincin pertunangan. Kusimpan berdikit biarpun aku hanya membuat kerja kampung.

Aku sedar sikap berdiam diriku memakan diri. Aku terlalu mengharapkan kawan sebagai perantaraan antara kisah kita. Puas sudah kukirim surat tapi tidak kesampaian. Alamat yang diberikan padaku oleh kawan kita salah. Harapkan penyokong, penyokong membawa rebah. Dikhabarkannya pula bahawa aku sudah mempunyai insan lain.

Setelah bertunang, kau menghubungiku untuk memberitahu hal pertunanganmu. Aku cukup terkejut dan terkilan setelah mendengarnya. Aku tidak dapat menerima hakikat bahawa kau sudah bertunang. Kau akan
berdampingan dengan insan lain dan kau akan mengahwini orang lain. Aku tidak dapat menerima hakikat yang kau akan mendapat anak daripada lelaki lain… cukup tidak dapat aku terima. Lantaran kecewa dan terkilan dengan sikapmu, aku menghabiskan segala wang perbelanjaan dalam masa sebulan. Hatiku sebak apabila melihat wang dan cincin itu.

Juitaku,
Perempuan tetap dengan sikap hati perempuannya. Begitu mudah berubah. Pernahkah kaufikirkan pengorbanan yang aku lakukan demi cinta kita? Titisan keringatku gugur demi membaja cintaku padamu. Berapa lamakah
penantianku dalam membuang masa menantimu ? Sedikit pun tidak kauhargainya. Khabar angin mengatakan kau sedia menerima lelaki lain yang baru kaukenali. Cinta yang dibina seabad lama, dilupa seminit sahaja. Aku cukup kecewa, sayang. Segala kerja tidak menjadi. Bayangan kecewa, terkilan, kesal membayangi setiap langkahku. Bulan tidak pernah berubah biarpun awan sentiasa menggamit lalu.

Aku menginsafi diriku kini, insan haus yang mengharap seteguk air di padang pasir.

Biarpun puas kucuba menanam kebencian padamu demi masa depanku, tapi gagal dewiku. Kau cukup baik bagiku. Tidak ada kesalahan kucari demi untuk membencimu. Makin ku membencimu makin keliru pemikiran ini. Yang paling kutakut, kalau kau akan dipersiakan.

Bulan Oktober kau akan diijabkabulkan. Sukar untuk kuterima peristiwa manismu. Dalam luluh hati dan ketidakredaan terpaksa kulafazkan ‘Selamat Pengantin Baru’. Jangan dikenang saat manis antara kita demi kebahagiaan rumah tanggamu kerana kutahu kau adalah gadis baik.

Mungkin hati ini akan terubat. Mungkin sebulan, setahun, sepuluh tahun aku akan dapat melupakanmu. Dan yang nyata tragedi Oktober akan kuingat sampai mati. -

Luahan rasa:
JD